Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta M'sia 2022 di Singapore Expo dijangka catat jualan melebihi sasaran RM7 juta

Pada hari pertama sahaja, acara empat hari di S'pura itu menjana jualan bernilai RM1.53 juta (S$480,000).

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta M'sia 2022 di Singapore Expo dijangka catat jualan melebihi sasaran RM7 juta

(Gambar: Ahmad Hamzah/Facebook)

SINGAPURA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan Malaysia Fest 2022 yang sedang berlangsung mencatat nilai jualan mengatasi sasaran RM7 juta (S$2.2 juta) menyusuli sambutan yang amat memberangsangkan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Ahmad Hamzah ketika berkongsi keyakinan itu bersama media Malaysia dan Singapura di luar majlis pelancaran ekspo itu pada Jumaat (26 Ogos) berkata acara selama empat hari tersebut menjana jualan bernilai RM1.53 juta (S$480,000) pada hari pertama.

“Malaysia Fest telah diadakan pada 2019 sebelum ini. Kita telah merekodkan jualan bernilai RM1.3 juta (S$410,000) pada hari pertama ketika itu. Kita akan dapat mencatat lebih daripada (angka yang dicapai ekspo ini pada 2019),” katanya.

Beliau berkata penganjuran Malaysia Fest sebelum ini terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19.

Kira-kira 220 syarikat menyertai ekspo edisi kelima ini dengan mempamerkan produk agromakanan, kraf dan pelancongan, katanya.

Beliau berkata acara yang akan berakhir pada 28 Ogos, 2022 itu menyasarkan untuk menarik 90,000 pengunjung.

MAFI, menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, membawa kira-kira 3,000 papan petai.

“Sayur buah itu dibawa ke sini kerana terdapat permintaan yang tinggi. Selain petai, ulam-ulaman juga dibawa masuk pada kali ini,” katanya.

Encik Ahmad berkata terdapat permintaan yang tinggi terhadap durian namun kini bukan musim ‘raja buah’ itu.

Malaysia Fest yang pertama pada 2016 merekodkan jualan bernilai RM4.15 juta (S$1.3 juta) dan seterusnya menjana RM6.6 juta (S$2.1 juta) dan RM8.47 juta (S$2.6 juta) masing-masing pada 2017 dan 2018.

Acara pada 2019 mencatat jualan RM7.3 juta (S$2.3 juta) sekali gus memberi keyakinan kepada MAFI untuk meneruskan program itu, katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan