Skip to main content

Singapura

Pesta Malam SG: Zizi Majid, Muhammad Izdi hasilkan pemetaan pancaran cahaya tentang sejarah 700 tahun SG

Selepas 17 tahun menunggu, impian penulis dan pengarah teater, Zizi Majid untuk menjayakan Pesta Malam Singapura tercapai jua akhirnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas 17 tahun menunggu, impian penulis dan pengarah teater, Zizi Majid untuk menjayakan Pesta Malam Singapura tercapai jua akhirnya.

Karyanya yang berjudul '700 Years' akan membawa para hadirin ke zaman silam Singapura seawal abad ke-14 menerusi persembahan pemetaan cahaya yang dipancarkan pada permukaan bangunan Muzium Negara.

Menerusi watak Seri Anggerik, para penonton akan dibawa menyusuri perjalanan menuju keadaan Singapura hari ini dalam persembahan pancaran cahaya itu selama 6 minit itu.

Diilhamkan daripada buku sejarah - 'Seven Hundred Years - A History of Singapore', ia menceritakan tentang seorang gadis bernama 'Seri Anggerik' yang kembali ke abad ke-14 melalui sebuah keris ajaib.

"Pertama kali saya nampak Pesta Malam Singapura, saya sungguh kagum dengan apa yang mereka buat pada masa itu. Bila Lembaga Warisan Negara (NHB) menghubungi saya ‘Anda nak buat?’, saya rasa macam terharu dan berkata 'okey sudah tentu saya nak buat kerja ini'," kata Cik Zizi yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang teater.

('700 Years', Gambar: NHB)

Konsep sebegitu juga merupakan antara elemen berunsur imaginatif dan magis yang sering disulam dalam karya-karya Cik Zizi sebelum ini.

"Di dalam cerita ini ada seorang puteri bernama Seri dan dia dikunjungi oleh puteri kayangan namanya Maya yang memberikan dia keris ajaib. Keris ajaib ini membawa dia dari abad ke-13 ke abad ke-14 berjumpa dengan Sang Nila Utama, abad ke-16 berjumpa dengan Shahbandar Singapura. Abad ke-18 berjumpa dengan Tengku Hussein dan Sir Stamford Raffles. Melalui abad ke-18, Seri juga menghayati karya-karya artis Singapura yang kami akan raikan di pemetaan pancaran cahaya di bangunan Muzium Negara," ujar Cik Zizi.

CABARAN HASILKAN KARYA SEPANJANG 6 MINIT

Hasil karya Cik Zizi itu adalah antara empat karya pemetaan pancaran cahaya yang disajikan sempena Pesta Malam Singapura tahun ini.

Menurut Cik Zizi, persiapan sudah mula dilakukannya sejak September 2022 iaitu sejurus selepas edisi Pesta Malam Singapura berakhir.

Sebelum ini beliau pernah menjadi finalis bagi Anugerah Blue Ink Playwriting dan merupakan bekas Pengarah Artistik Teater Ekamatra.

Jika beliau sudah terbiasa dengan format pementasan, antara cabaran yang perlu ditangani Cik Zizi ialah bagaimana untuk menulis karyanya itu sepanjang enam minit sahaja.

(Zizi Majid, Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya perlu menghasilkan cerita Singapura 700 tahun dalam masa 6 minit. Jadi itulah cabaran kepada saya. Selalunya saya tulis karya satu setengah jam, dua jam. Itu yang paling besarlah cabarannya," jelas beliau.

"Selalunya saya pentaskan skrip di pentas dengan pelakon 'live' tapi kali ini agak berbeza kerana ia semua dari segi animasi. Jadi saya perlu fikirkan bagaimana cerita boleh dirangkumi dengan baik menerusi dialog sahaja. Gene Sha Rudyn, Farah Ong, Farah Lola dan Ghazali Muzakir yang menghidupkan watak ini dengan suara sahaja," tambahnya.

Buat masa ini, Cik Zizi menetap di New York City, Amerika Syarikat bersama keluarganya dan bertugas sebagai seorang pensyarah di Universiti Syracuse.

Namun, semangatnya sebagai anak Singapura masih kuat membara dan beliau juga berharap karyanya itu dapat membangkitkan rasa cinta dan bangga dalam kalangan warga Singapura.

"Saya betul-betul berharap penonton akan bangga dengan sejarah Singapura 700 tahun dan mereka akan kagum dengan sejarah kita dan pergi buat kajian dan tahu yang kita bukan sahaja 200 tahun, kita bukan sahaja daripada zaman British tapi kita ada sejarah yang lama dan kaya dalam 700 tahun dan menjadi bangga sebagai warga Singapura," jelas Cik Zizi, yang juga seorang ibu dua anak.

SESUAIKAN KARYA AGAR DAPAT DINIKMATI SEMUA

Seorang lagi anak seni yang terlibat dalam menghasilkan '700 Years' ialah Muhammad Izdi Nordin, 37 tahun.

Sebagai seorang pelukis visual, beliau turut menerapkan sentuhannya sendiri dalam karya tersebut.

"Saya cuba memperkenalkan sentuhan saya kepada karya dengan memperkenalkan palet warna saya yang selalunya diinspirasikan 'Psychedelic' dari tahun 70an. Peranan saya dalam projek ini adalah sebagai Artis Visual. Saya mereka, saya membuat aset-aset grafik dan sebagainya. Saya mengambil tiga hingga enam bulan untuk menghasilkan karya itu," kata Izdi, yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang seni visual dan pereka grafik.

(Muhammad Izdi, Gambar: Syawal Yusoff)

Berbeza dari karya-karyanya yang sebelumnya dalam bentuk 'mural' dan 'realiti tambahan (AR)', Izdi juga membuat penyesuaian agar ia dapat dinikmati masyarakat umum.

"Mesej dan simbolisme saya dalam karya-karya saya selalunya agak gelap dan mengenai keadaan manusia tetapi untuk ‘700 years’, ia dipermudahkan untuk masyarakat umum lebih memahami dan menghayatinya," jelas Izdi, yang juga seorang Pensyarah Adjung di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA).

Karya tersebut juga dihasilkan dengan kerjasama seorang penggiat seni dari Perancis, Jérémie Bellot.

PESTA MALAM SG DIJANGKA MENARIK LEBIH 600,000 PENGUNJUNG

Buat julung-julung kalinya, elemen teater, seni visual dan media digital digabungkan dalam tarikan pemetaan pancaran cahaya kali ini.

Edisi ke-14 Pesta Malam Singapura itu menampilkan lebih 50 acara seni yang diadakan di daerah Bras Basah dan Bugis.

Selain dapat mempelajari tentang sejarah Singapura, orang ramai juga berpeluang mengalami sendiri acara-acara yang lebih interaktif.

"Salah satu acara 'highlight' untuk pesta tahun ini ialah ‘Time is a Black Circle’ oleh artis Dawn Ng di mana kami akan mengimbas kembali zaman 60an dan juga 70an di mana pengunjung boleh memakai kasut beroda dan membayangkan diri mereka di dalam disko sambil menikmati karya seni di dalam muzium ini," kata Pengurus Kanan bahagian Pesta dan Pembangunan Daerah, NHB, Encik Qazim Karim.

(Muhammad Izdi, Zizi Majid dan Qazim Karim, Gambar: Syawal Yusoff)

Lebih 600,000 pengunjung dijangka menghadiri acara pada tahun ini.

Acara-acara Pesta Malam Singapura berlangsung setiap malam bermula jam 7.30 malam, dari 18 hingga 26 Ogos.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita