Skip to main content

Singapura

Pesta kerjaya Mediacorp kembali dengan tumpuan kepada kemahiran dunia sebenar, trend tenaga kerja

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta kerjaya Mediacorp kembali dengan tumpuan kepada kemahiran dunia sebenar, trend tenaga kerja
Pengunjung di acara Career Forward di Pusat Konvensyen dan Expo Sands pada 23 Mac 2024. (Gambar fail: TODAY)
Diterbitkan : 29 Jan 2026 05:41PM Dikemas Kini : 29 Jan 2026 05:45PM
  • Mediacorp akan menganjurkan Career Forward 2026 di Pusat Konvensyen Suntec pada 28 dan 29 Mac, menyasarkan graduan, pekerja baharu dan profesional pertengahan kerjaya.
  • Acara ini menawarkan sesi praktikal, seminar, ruang interaktif serta kaunseling kerjaya bersama WSG dan SkillsFuture Singapore.
  • Maktab Seni LASALLE turut terlibat dengan seminar khusus untuk pelajar Filem dan Animasi, memperkukuh pembangunan profesional kreatif.
  • Career Forward 2026, yang akan dilancarkan oleh Tan Kiat How, menekankan aplikasi kemahiran sebenar dan membina daya tahan dalam dunia kerja yang berubah pesat.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mediacorp akan menganjurkan edisi ketiga Career Forward pada Mac 2026, melengkapkan peserta dengan alat praktikal untuk menyokong pertumbuhan profesional mereka.

Pesta kerjaya itu akan menampilkan sesi yang memberi tumpuan kepada kemahiran dunia sebenar, trend tenaga kerja semasa dan halangan kerjaya yang biasa dihadapi, menurut Mediacorp dalam satu kenyataan pada Khamis (29 Jan).

Acara dua hari itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec pada 28 Mac dan 29 Mac, direka untuk pekerja kali pertama dan profesional pertengahan kerjaya.

Graduan dan pekerja baharu boleh menjangkakan sesi yang memberi tumpuan kepada kesediaan bekerja, pengoptimuman resume dan LinkedIn, persediaan temu duga serta kemahiran insaniah yang tetap penting dalam persekitaran kerja digital, menurut kenyataan Mediacorp.

Sesi untuk profesional pertengahan kerjaya direka untuk mereka yang sedang menimbangkan untuk tukar kerjaya, mula semula kerjaya atau langkah seterusnya.

"Sesi-sesi itu mewujudkan ruang untuk renungan, reka semula diri dan perbincangan jujur tentang cara menghadapi perubahan, membina daya tahan dan melengkapi diri dengan kemahiran masa depan dalam ekonomi yang berkembang pesat," menurut Mediacorp.

Selain sesi-sesi tersebut, para peserta juga akan diberi akses kepada gambar profil yang dipertingkatkan dengan AI dan kaunseling kerjaya oleh Workforce Singapore dan SkillsFuture Singapore, tambahnya.

"Berlandaskan tema ‘Your Career. In Action’, program tahun ini beralih daripada inspirasi kepada aplikasi praktikal," menurut Mediacorp.

"Acara tersebut akan menghimpunkan pengamal kerjaya, pemimpin industri dan institusi yang akan memberi panduan yang boleh dilaksanakan, perbualan jujur dan perspektif yang bersedia menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan pada masa hadapan."

Seminar-seminar tersebut akan meliputi topik-topik yang melengkapi sesi-sesi itu, menurut Mediacorp.

Walaupun sesi-sesi yang relevan untuk kedua-dua kumpulan sasaran akan diadakan di tempat sama, pesta kerjaya itu menyediakan bilik-bilik khusus berasingan untuk dua kumpulan utamanya, bagi memudahkan perbualan yang lebih tertumpu.

"Melangkaui pentas, Career Forward 2026 akan menampilkan ruang interaktif yang direka untuk menggalakkan penglibatan yang bermakna," tambah Mediacorp.

Ini termasuk "Zon Fleksi" dengan kawasan rehat untuk peserta berinteraksi dengan penceramah selepas sesi-sesi berkenaan, bertanya soalan dan meneruskan perbualan, tambahnya.

Mediacorp menyatakan bahawa ia juga akan meneroka penglibatan pembangunan profesional yang disusun bersama rakan kongsi seperti Maktab Seni LASALLE.

Ini termasuk seminar yang disesuaikan untuk pelajar Filem dan Animasi Maktab Seni LASALLE mengenai topik yang relevan dengan industri seperti melakarkan saranan, serta sesi intim "Tanya Apa Sahaja kepada Penerbit Kami", menurutnya.

"Bersama-sama, inisiatif-inisiatif ini menggariskan komitmen berterusan Mediacorp untuk memupuk bakat kreatif yang baharu muncul dan menyokong pembangunan generasi profesional media Singapura yang seterusnya."

Career Forward 2026 akan dilancarkan oleh Menteri Negara Kanan bagi Penerangan dan Pembangunan Digital, Tan Kiat How.

Pesta kerjaya itu menghubungkan lebih 19,000 peserta dengan pemimpin industri dan majikan tahun lalu, menurut Mediacorp.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita