Pesta Keluarga ChiChi Lala pupuk rasa cinta keluarga Melayu terhadap alam sekitar
Tidak pernah awal untuk memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar dan konsep kitar semula, termasuk kepada kanak-kanak berusia sekecil empat atau lima tahun lagi.
SINGAPURA: Tidak pernah awal untuk memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar dan konsep kitar semula, termasuk kepada kanak-kanak berusia sekecil empat atau lima tahun lagi.
Itulah yang disaksikan di Wisma Geylang Serai (WGS) apabila kanak-kanak dan golongan ibu bapa mengikuti pelbagai kegiatan menyeronokkan di Pesta Keluarga ChiChi Lala pada Sabtu (7 Dis).
Acara itu diatur bagi menggalak keluarga Melayu/Islam sama-sama memainkan peranan dalam menuju ke arah sifar sisa.
Menariknya, semasa pesta itu diadakan, WGS juga menjadi pentas pertunjukan fesyen di mana bintang-bintang cilik menggayakan hasil daya kreativiti masing-masing.

Mereka dicabar untuk mereka kostum menggunakan bahan-bahan dikitar semula.

Ada yang menggunakan kotak dan kadbod tisu untuk menjadi watak filem Wall-E. Ada juga yang menggunakan paket snek Super Ring, beg plastik Sheng Siong dan pinggan serta cawan plastik untuk tampil sebagai seorang puteri.

Kata orang tak padan cilik. Memang cukup menarik dan kreatif hasilnya.
Mereka melakukan semua itu untuk mencuba nasib memenangi pertandingan yang dianjurkan. Pemenang ditentukan berdasarkan kreativiti peserta dan penggunaan bahan.
RANGSANG DAYA IMAGINASI MENERUSI PENDEKATAN MESRA ALAM
"Matlamat Pesta Keluarga Chichi Lala adalah untuk memperkasa anak-anak kecil menjadi adiwira sifar sisa. Jadi kalau mereka belajar sejak kecil dari rumah, apabila mereka dewasa, mereka akan melakukan amalan-amalan yang baik," kata pengasas syarikat penganjur, Cik Shasha Ya'kob.

Pelbagai kegiatan percuma disertai 1,000 kanak-kanak dan ibu bapa mereka, termasuk mempelajari cara menghasilkan baja sendiri dan mengenal pasti apa yang boleh dikitar semula. Kanak-kanak juga dapat meneroka permainan pagar sesat (maze) yang diperbuat dari kadbod yang merangsang daya imaginasi mereka semasa mencubanya.

Menerusi pendekatan seperti ini, pihak penganjur dan WGS berharap mereka dapat meniup inspirasi kepada ibu bapa supaya mereka terdorong untuk memanfaatkan sebaik-baiknya bahan-bahan di rumah yang boleh dikitar semula.
"Dalam usaha kami menjadi nadi masyarakat, kami ingin mendekati semua lingkungan masyarakat. Kami teruja dapat menyaksikan banyak pelibatan para ibu bapa dan anak-anak mereka," kata Pengurus Besar WGS Encik Nur Effendi Esa.

Pihak penganjur merancang untuk mengadakan bengkel-bengkel pada skala lebih kecil selepas ini, di mana kanak-kanak boleh meneroka unsur alam sekitar menerusi pembelajaran subjek-subjek sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.