Skip to main content

error

  • Could not retrieve the oEmbed resource.

Singapura

Pesta Buku Melayu SG 2022 bakal santuni kanak-kanak; pupuk nilai hidup bermasyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Orang ramai berpeluang untuk melestarikan kesusasteraan Melayu menerusi penjualan buku dan kegiatan bagi seisi keluarga semasa Pesta Buku Melayu Singapura 2022 berlangsung di Persada Budaya Wisma Geylang Serai dari 16 hingga 18 Disember 2022.

Acara yang dianjurkan oleh Majlis Pusat buat kali kedua itu, membawa tema 'Menyantuni Kanak-Kanak' dan ia bakal menyaksikan pelancaran tiga buku hasil karya penulis tempatan apabila acara tersebut dibuka secara rasmi pada Jumaat (16 Dis):

1. Novel Mustafa: Epik Kerohanian Seorang Kiai oleh Jamal Ismail

2. Kumpulan Puisi Aku Menghitung-Hitung Nama-Mu oleh Suratman Markasan

3. Buku bergambar 'My Name is Riz. I have Motor Neurone Disease' (Nama saya Riz. Saya ada Penyakit Motor Neuron) oleh Asri (Riz) Sunawan & Hidayah Amin (penulis) dan Khairudin Saharom (ilustrator).

Segala hasil jualan buku akan disalurkan kepada pembiayaan kos perubatan Encik Riz Sunawan. Encik Riz juga akan mengagihkan sebahagian hasil daripada penjualan bukunya kepada Motor Neurone Disease Association of Singapore, MNDaSG.

Lima penerbit tempatan akan menjual buku-buku hasil karya penulis tempatan merangkumi pelbagai genre untuk setiap golongan usia pembaca. Bahan-bahan bantuan pembelajaran dan pengayaan Bahasa Melayu juga boleh didapatkan di pesta buku itu.

Pengerusi Pesta Buku Melayu Singapura Isiah Majid melahirkan harapan agar penjualan buku akan dapat membangkitkan kesedaran masyarakat bahawa Singapura "tidak kering" dengan penerbitan karya berbahasa Melayu.

MENYANTUNI KANAK-KANAK SAMBIL MENERAPKAN NILAI KEMASYARAKATAN

Berikut adalah sorotan kegiatan yang bakal diadakan buat seisi keluarga.

Kebanyakan acara dan aktiviti dibuka kepada orang ramai tanpa sebarang bayaran dikenakan:

1. Litar STEM

Murid-murid sekolah rendah berpeluang mendalami pengetahuan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sambil memperkasa penguasaan bahasa ibunda.

Murid-murid akan melakukan eksperimen melalui bengkel Litar STEM yang dijalankan dalam bahasa Melayu. Antara lain, para peserta juga berpeluang membuat aiskrim dan mempelajari sistem tubuh badan.

Sabtu 17 Dis 2022, 10.00 pagi - 12.00 tengah hari
Pendaftaran:
https://bit.ly/STEMPestaBuku2022
Yuran: S$11.90

Juga sebahagian usaha bagi menggalak penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian adalah acara 'Silakan...', iaitu bengkel membuat sandwic yang memperkenalkan nama bahan-bahan dalam Bahasa Melayu untuk yang kurang arif.

Jumaat hingga Ahad 16 -18 Dis 2022, Jadual tertentu
Terbuka
Yuran S$2.00


2. Menjadi Dermawan

Acara Menjadi Dermawan pula bermatlamat untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak kecil supaya membesar menjadi seorang penderma yang murah hati, ujar Cik Isiah.

Murid-murid Little Beez Play School, iaitu tajaka kelolaan Majlis Pusat, akan menyediakan bingkisan istimewa untuk kanak-kanak daripada keluarga berkeperluan.

Namun jika lazimnya beg-beg bantuan diisi dengan bahan makanan, dalam acara kali ini, murid-murid akan melengkapkan beg-beg dengan buku cerita kanak-kanak, sumbangan para penerbit buku Singapura, bagi menyemai tabiat gemar membaca.

Jumaat 16 Dis 2022, 10.00 pagi

3. Puisi Pendek Kontemporari: Pendek Tidak Cetek

Kumpulan Angkatan Muda Sastera (KAMUS) akan menganjurkan sebuah bengkel untuk mengenal puisi Haiku (asal Jepun) dan Dukotu (asal Indonesia).

Bengkel yang akan dibimbing oleh Cik Kamaria Buang mengajak para peserta menghayati keindahan di sebalik pemilihan dan susun kata dalam struktur puisi.

Sabtu 17 Dis 2022, 2.00 petang - 5.00 petang
Pendaftaran: kamsussingapura [at] gmail.com
Yuran: S$20


4. Gig Puisi; Awak Jual Saya Beli

Dalam acara anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) ini, persada akan dibuka kepada para pengunjung untuk mendeklamasi sajak atau membaca syair karya mereka sendiri.

Sabtu 17 Dis 2022, 5.00 petang - 6.00 petang
Terbuka; Percuma


Kemahiran membalas pantun juga akan dilestarikan dalam satu sesi santai berpantun.

Awak Jual Saya Beliย 
Ahad, 18 Dis 2022, 11.30 pagi - 12.30 tengah hari
Terbuka; Percuma

5. Permainan Anak Kampung

Para pengunjung boleh mencuba beberapa permainan yang terkandung dalam buku Oh...Be...Som!

Selain memupuk minat membaca, acara ini diharap akan dapat menghidupkan semula permainan tradisional yang kian luput dari ingatan dek kehidupan di bandar.

Jumaat hingga Ahad 16 -18 Dis 2022, Jadual mengikut hari
Terbuka

6. Seni silat: Bersilat Yuk; Ilmu Bahasa dan Budaya dalam Seni Silat

Kanak-kanak dan para pelajar akan diperkenalkan kepada seni silat berdasarkan buku-buku bergambar. Dalam cara berasingan, orang ramai akan diperkenalkan kepada unsur bahasa dan budaya dalam seni silat.

Jumaat hingga Ahad 16 -18 Dis 2022, Jadual mengikut hari
Terbuka

7. Tulisan Jawi: Bengkel & Pertandingan

Tulisan Jawi akan dihidupkan semasa Pesta Buku Melayu Singapura melalui bengkel 'Kenal Jawi' bagi kanak-kanak dan peraduan mengolah teks rumi kepada tulisan Jawi bagi golongan dewasa.

Ahad 18 Dis 2022 (Bengkel Kenal Jawi: 3.00 petang - 4.00 petang)
Yang berminat boleh hubungi Majlis Pusat

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita