Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Buku Melayu S'pura 2020 bakal dilancar online

Pesta Buku Melayu Singapura 2020 bakal dianjurkan secara online dari 13 hingga 20 Sep.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pesta Buku Melayu Singapura 2020 bakal dianjurkan secara online dari 13 hingga 20 Sep.

Dengan tema 'Meraikan Karya Melayu Singapura', pesta selama lapan hari itu bermatlamat untuk menarik minat para pembaca buku bahasa Melayu dan acara itu juga akan memperkenalkan buku-buku yang dihasilkan oleh para penulis, penerbit dan pelukis ilustrasi tempatan.

Pesta Buku Melayu Singapura pertama kali diadakan pada 2019 di Wisma Geylang Serai (WGS). Acara yang diadakan selama dua hari ketika itu berjaya memikat sekitar 3,000 pengunjung.

Pesta tersebut pada asalnya dijadual diadakan pada Mac 2020 di Wisma Geylang Serai.

Bagaimanapun, disebabkan oleh sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan COVID-19, Jawatankuasa Penganjur memutuskan untuk memindahkan acara itu ke laman Facebook Pesta Buku Melayu Singapura. Ini dilakukan dengan sokongan rakan-rakan kerja Jawatankuasa Penganjur.

Selain itu, sesi-sesi terpilih juga akan disiarkan melalui platform online WGS memandangkan ia mempunyai jangkauan yang lebih luas, terutamanya dalam kalangan ibu bapa muda yang berusia dalam linkungan 30-an tahun.

Pelancaran Pesta Buku Melayu Singapura 2020 akan dirasmikan oleh Menteri Negara Kesihatan merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim pada 8.30 malam, Ahad (13 Sep).

Sebanyak sembilan buku bahasa Melayu akan dilancarkan sempena perasmian pesta tersebut.

PELBAGAI PROGRAM DITAWARKAN

Lebih 20 program ditawarkan untuk segenap lapisan usia - dari si cilik hingga ke golongan dewasa.

Program-program tersebut bertujuan untuk menggalak masyarakat memupuk tabiat membaca dan lebih menghayati sastera bahasa Melayu, sekali gus menghargai bahasa dan budaya Melayu. Ini dengan harapan mereka akan lebih berminat untuk memiliki buku sastera Melayu.

Antara tarikan program itu termasuk segmen yang menampilkan Cef Roszilah M.Nor yang akan mengadakan sesi membuat kuih bagi menyokong sesi penceritaan buku kanak-kanak daripada Pustaka Nasional yang berjudul 'Apa Nama Kuih Ini'.

Buku tersebut disenarai pendek dalam Kategori Buku Bergambar Terbaik di Anugerah Buku Singapura 2020.

Program lain termasuk pameran penerbit tempatan, persembahan muzikal puisi Melayu, persembahan silat dan permainan tradisional Melayu bagi melestarikan dan memartabatkan lagi penggunaan bahasa Melayu.

Acara itu akan disiarkan secara langsung melalui lelaman Facebook Pesta Buku Melayu Singapura dan Wisma Geylang Serai.

Pesta Buku Melayu Singapura 2020 adalah sebahagian daripada gerakan #BuySingLit dan disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Majlis Buku Singapura, Wisma Geylang Serai dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB). 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan