Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Buku Melayu 2021 kembali secara hibrid, berlangsung selama 2 bulan

Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS) 2021 kembali lagi dan dilancarkan secara rasmi pada Ahad (26 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Buku Melayu 2021 kembali secara hibrid, berlangsung selama 2 bulan

Empat buah buku dilancarkan di Pesta Buku Melayu 2021 pada 26 Dis, menampilkan karya penulis-penulis mapan Cik Isiah Majid, Encik H.B. Johar, Encik Suratman Markasan dan Cik Rohani Din.

SINGAPURA: Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS) 2021 kembali lagi dan dilancarkan secara rasmi pada Ahad (26 Dis).

Istimewanya tahun ini, ia akan diadakan sepanjang dua bulan dan akan menampilkan pelbagai aspek sastera Melayu hasil karya penulis tempatan.

Sepanjang dua bulan, orang ramai bakal disajikan dengan lebih 12 aktiviti menarik termasuk sesi bercerita, pameran 'Permainan Anak Kampung', acara berbalas pantun dan bengkel penulisan cerpen.

Edisi ketiga acara itu dianjurkan sepenuhnya oleh Majlis Pusat Singapura dan bukan lagi sebahagian daripada program #BuySinglit seperti edisi-edisi sebelum ini.

Ia turut disokong oleh para penerbit, pengkarya serta M3@Woodlands dan ditawarkan secara percuma.

Edisi kali ini juga berlangsung lebih lama berbanding edisi-edisi sebelum ini yang diadakan dalam tempoh kira-kira seminggu.

Menurut penganjur, langkah itu diambil supaya lebih ramai masyarakat boleh didampingi lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik sekarang.

Semua kegiatan akan diadakan secara fizikal dan online di wadah-wadah media sosial Majlis Pusat Singapura termasuk platform muat naik video TikTok, bagi menarik minat golongan yang lebih muda.

"Kami (Majlis Pusat) sedar tidak ramai daripada anggota masyarakat yang menyedari adanya penerbitan-penerbitan tempatan. Inilah satu cara yang kami boleh beritahu, umumkan kepada masyarakat bahawa terdapat banyak buku-buku tempatan yang kita boleh nikmati, yang kita boleh baca sama ada dapatkan di perpustakaan ataupun terus daripada penerbit-penerbit asal Singapura sendiri," tambah Cik Isiah.

FAISHAL: AMALAN MEMBACA ASAS BAGI MANUSIA

Di majlis pelancaran yang bertempat di Taman Warisan Melayu siang tadi, empat buah buku turut dilancarkan karya penulis-penulis mapan Cik Isiah Majid, Encik H.B. Johar, Encik Suratman Markasan dan Cik Rohani Din.

Buku dwibahasa Bahasa Melayu dan Inggeris karya Cik Rohani merupakan antara yang mencabar baginya kerana merangkumi tulisan rumi dan jawi.

Namun begitu, buku yang mengambil sekitar enam tahun untuk disiapkan ditulis berdasarkan pengalaman beliau sendiri.

"Saya tulis itu untuk generasi akan datang untuk difikirkan, direnungkan dan sebagai menjadi iktibar. Semua apa yang berlaku itu, berlaku di sekeliling Singapura, di khalayak ramai kita, di dalam masyarakat kita. Semoga masyarakat akan datang akan berfikir “oh di zaman itu, ini. Di zaman itu, ini,” kan? Ada cerita akan berlaku lagi pada masa depan dan mereka akan dapat membuat perbandingan," kata Cik Rohani yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang penulisan.

Dalam ucapannya, tetamu terhormat, Menteri Negara Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menarik perhatian bahawa tema yang dipilih bagi edisi kali ini iaitu "Makanan Minda untuk Kesihatan Hari Esok" sangat bersesuaian kerana amalan membaca itu merupakan sesuatu yang asas bagi manusia.

"Sastera membuka jendela minda, meluaskan pemahaman kita terhadap isu semasa dan mendatang, menyuburkan pemikiran serta mengukuhkan hubungan dengan warisan kita," kata Dr Faishal.

Dalam kesempatan itu, beliau turut memuji penerbitan buku-buku sepanjang tahun ini yang menerapkan ciri-ciri baru seperti penggunaan Realiti Tambahan (AR) untuk menarik minat membaca dan berharap ia dapat diteruskan.

Pesta Buku Melayu Singapura akan berlangsung hingga 12 Februari 2022.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa