Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Budaya Melayu TWM diraikan online di tengah COVID-19

Pesta Budaya Melayu rasmi dilancarkan hari ini (27 Nov). Pesta tersebut merupakan acara tahunan Taman Warisan Melayu (TWM) yang bertujuan meraikan dan menampilkan pelbagai khazanah warisan dan budaya Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Budaya Melayu TWM diraikan online di tengah COVID-19

Pesta Budaya Melayu beralih kepada wadah online bagi 2020.

SINGAPURA: Pesta Budaya Melayu rasmi dilancarkan hari ini (27 Nov). Pesta tersebut merupakan acara tahunan Taman Warisan Melayu (TWM) yang bertujuan meraikan dan menampilkan pelbagai khazanah warisan dan budaya Melayu.

Acara tahun ini bagaimanapun beralih ke wadah digital sepenuhnya kali ini, disebabkan pandemik COVID-19. Meskipun demikian, ia tidak kurang bermakna.

Sepanjang tiga minggu, orang ramai boleh menyertai pelbagai persembahan, ceramah, bengkel dan kegiatan-kegiatan seni lain - semuanya dari keselesaan rumah mereka.

Menyerikan acara kecil-kecilan perasmian Pesta Budaya Melayu selaku tetamu terhormat, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Edwin Tong menegaskan usaha menjunjung warisan menjadi lebih penting sekarang kerana ia mampu memperkukuh identiti Singapura yang sedang melalui sebuah krisis.

"Pesta Budaya Melayu ini membantu memaparkan penghargaan mendalam terhadap warisan kita. Menerusi program-programnya, ia meraikan kepelbagaian dalam seni dan budaya Melayu, di samping memupuk pemahaman terhadap kemajuan masyarakat Melayu di Singapura," kata Encik Tong dalam ucapannya.

"Ia juga menarik perhatian kepada keterkaitan sejarah dan budaya yang ada dalam rantau ini, dan bagaimana ini mempengaruhi dan dipengaruhi pembangunan-pembangunan di Singapura," tambah beliau sambil menegaskan, warisan adalah kuasa yang dapat menyatukan rakyat.

Turut dilancarkan secara serentak di acara yang sama hari ini (27 Nov) adalah pameran khas terbaru TWM bertajuk 'Urang Banjar: Warisan dan Budaya Banjar di Singapura'.

"Ada simpulan bahasa Banjar berbunyi: 'haram manyarah waja sampai kaputing' yang bermaksud pantang menyerah dan berjuang sampai titik darah penghabisan. Ia satu pesanan bagi orang Banjar untuk terus berjuang sedaya mungkin dan tidak berputus asa sampai semua cita-citanya tercapai. Dengan azam kuat inilah, masyarakat Banjar dan TWM berjaya menganjurkan 'Urang Banjar dan Pesta Budaya Melayu 2020' untuk kita, di tengah-tengah pandemik sekarang ini," puji Encik Tong.

Sekitar 80 artifak dipamerkan di pameran tersebut untuk merungkai sejarah orang Banjar dari Selatan Kalimantan, Indonesia.

Mereka sering kali dikenali sebagai sekumpulan pedagang dan pakar pencanai intan berlian dalam masyarakat Melayu dahulu.

Anda boleh mengunjungi pameran tersebut di Taman Warisan Melayu. Ia percuma bagi semua rakyat Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan