Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Budaya Melayu 2022 raikan kisah masyarakat, galak perbincangan tentang identiti Melayu S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Budaya Melayu 2022 raikan kisah masyarakat, galak perbincangan tentang identiti Melayu S'pura

Pesta Budaya Melayu 2022 raikan kisah masyarakat, galak perbincangan tentang identiti Melayu S'pura. (Gambar: Taman Warisan Melayu)

SINGAPURA: Institusi kebudayaan penting seperti Taman Warisan Melayu (MHC) mesti terus dikemaskini agar kekal bersemangat dan bertenaga untuk generasi akan datang. 

MHC merupakan antara ruang penting di mana orang pelbagai masyarakat boleh  menghargai dan mempelajari tentang berbagai aspek budaya dan tradisi Melayu. 

Ini menurut Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial Desmond Lee semasa mengumumkan tentang kerja-kerja peningkatan pada kemudahan dan galeri di MHC, dalam ucapannya di majlis pelancaran Pesta Budaya Melayu 2022. 

(Gambar: Taman Warisan Melayu)

Pesta Budaya Melayu tahun ini meraikan kisah-kisah masyarakat serta evolusi budaya Melayu di Singapura, termasuk kaitannya dengan Nusantara. 

Ia juga bakal memaparkan kisah-kisah yang jarang diketahui umum seperti kisah Orang Laut dan Orang Pulau. 

(Gambar: Taman Warisan Melayu)

Untuk itu, pesta ini menjanjikan pelbagai persembahan, bengkel serta forum yang diadakan secara fizikal dan online pada tiga hujung minggu - bermula dari 28 Januari hingga 13 Februari 2022. 

 

"Tahun ini agak istimewa buat kami kerana ia suatu pesta yang kami adakan sebelum kami menutup pintu untuk projek ubahsuai MHC," kongsi Pengurus Besar, MHC, Cik Asmah Alias. 

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Ia juga amat istimewa kerana ia mengetengahkan kisah-kisah individu dan institusi-institusi, rakan kerja kami yang telah bekerjasama dengan kami selama sedekad untuk melestarikan bahasa dan budaya untuk menceritakan tentang kisah-kisah masyarakat dan juga tentang kisah-kisah sejarah orang Melayu di Singapura dan di Nusantara," tambah beliau lagi.

PERSEMBAHAN BANGSAWAN DIADAKAN

Antara program yang disediakan termasuk satu persembahan bangsawan berjudul Dang Anum oleh Anggerik Temasek Bangsawan.

"Saya melibatkan diri dalam satu persembahan Dang Anum di mana saya sedar bahawa terdapat ramai pelakon muda yang mempunyai kelulusan dalam jurusan teater," kata tokoh bangsawan Melayu, Encik Almahdi Al-Haj Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Nadiputra. 

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Encik Nadiputra juga bakal mengemudi persembahan itu selaku pengarahnya. 

"Tradisi bangsawan itu sendiri kita cuba kekalkan tetapi pada masa yang sama, kita harus menyuntik elemen teater supaya bangsawan itu lebih kuat dalam memaparkan kaedah seni lakonan," tambah Encik Nadiputra. 

Beliau menambah bahawa tradisi dan lenggok-lenggok persembahan bangsawan kali ini diberikan kekuatan dari segi emosi persembahan teatrikal dan juga unsur teknologi moden yang cuba dipaparkan. 

Selain itu, ada juga bengkel bangsawan yang memberi peluang bagi peserta melatih bakat lakonan mereka dan mempelajari beberapa watak Bangsawan tradisional Melayu iaitu sejenis opera Melayu atau teater yang diiringi dengan muzik dan tarian. 

Terdapat juga sebuah persembahan yang menggabungkan unsur dokumentari, hiburan dan pendidikan oleh kumpulan Sri Warisan. 

Ia akan memaparkan perjalanan Sri Warisan di MHC, sejak pembukaan pusat tersebut pada 2002. 

MOHOR PERAK MILIK SULTAN, ANTARA ARTIFAK DIPAMERKAN

Selain pesta budaya, sebuah pameran khas berjudul 'Cerita' juga dilancarkan malam tadi. 

Di pameran tersebut, lebih 80 artifak dipamerkan bagi berkongsi kisah tentang budaya dan warisan yang diturunkan dari generasi ke generasi yang lain. 

Antara artifak itu termasuklah mohor perak milik Tengku Hussein Shah Singapura. 

Mohor itu digunakan oleh Sultan untuk menandatangani kebanyakan dokumen rasminya. 

Mohor itu kemudian diturunkan kepada Tengku Sri Indra, yang merupakan keturunan Tengku Hussein Shah dan beliau sendiri pernah menetap di Istana Kampong Gelam. 

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Keistimewaannya adalah ia merupakan satu kenangan untuk mengingatkan kita bahawa Singapura berkembang berdasarkan satu keputusan di antara pihak British dan pihak Sultan Hussein untuk membangunkan negara ini," ujar Tengku Indra.

"Mohor itu lantas menjadi satu tanda yang mengatakan bahawa memang ada kerajaan Melayu di sini dahulu," tambah beliau. 

(Gambar: Taman Warisan Melayu)

Tengku Indra yang lahir di Istana Kampong Gelam dan dibesarkan di sana sehingga usianya 26 tahun, turut meminjamkan dua gambar yang mencerminkan aspek kehidupan secara rasmi dan tidak rasmi di pekarangan Istana Kampong Gelam.

Antaranya merupakan majlis perkahwinan yang terakhir diadakan di Istana Kampong Gelam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan