Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesilat S'pura Muhammad Iqbal mara ke peringkat akhir Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara

Anggaran Waktu Membaca:
Pesilat S'pura Muhammad Iqbal mara ke peringkat akhir Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara

Gambar: Facebook/Persekutuan Silat Singapura (PERSISI)

Diterbitkan : 26 Feb 2022 01:44PM Dikemas Kini : 26 Feb 2022 01:52PM

SINGAPURA: Pesilat seni artistik Singapura Muhammad Iqbal Abdul Rahman berjaya mara ke peringkat akhir Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara, setelah memperolehi markah 9.940.

Hari pertama kejohanan itu bermula semalam (25 Feb) dengan acara seni lelaki perseorangan dan tanding suku dan separuh akhir lelaki di OCBC Arena, Hab Sukan Singapura.

Di peringkat akhir esok (26 Feb), Muhammad Iqbal akan masuk gelanggang untuk bertarung dengan Asep Yuldan Sani dari Indonesia.

Ini merupakan pertandingan silat yang pertama buat Muhammad Iqbal, 28 tahun, sejak pandemik bermula.

"Saya bangga dengan apa yang saya lakukan hari ini. Saya bukan berada pada tahap yang mana biasanya saya boleh katakan pada diri saya bahawa saya sudah lakukan yang terbaik, tetapi saya agak berpuas hati dengan kedudukan saya sekarang.

"Mulai hari ini, saya hanya mahu pastikan diri saya terus cergas. Saya tidak sabar untuk bertanding dalam pertarungan seterusnya, yang juga peringkat akhir bagi saya pada Ahad. Saya ingin lakukan lebih lagi berbanding hari ini," kata beliau.

Juara dunia, Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin turut beraksi dalam Kategori G (75-80kg). Pesilat berusia 25 tahun itu berhempas-pulas untuk mencatat kemenangan 17-15 ke atas lawannya dari Indonesia, I Kadek Adi Budiasta, dalam pusingan suku akhir.

Ferdous, yang mendahului 7-2 sebelum pendekar dari Indonesia itu menyamakan kedudukan pada pusingan akhir, berkata: “Saya sudah bersedia, namun saya rasa darah gemuruh saya menjejas prestasi saya.

"Saya sudah meraih beberapa mata dalam pusingan pertama, tewas dalam pusingan kedua dan pada pusingan ketiga, saya berkata pada diri saya, 'saya tidak boleh tewas, jika tidak saya akan pulang dengan tangan kosong tanpa pingat.'

"Dengan itu, saya beranikan diri dan memberikan satu tendangan yang membawa kemenangan. Saya akan lakukan yang lebih baik lagi di peringkat separuh akhir.

Ferdous akan bertarung dengan jaguh Vietnam, Nguyen Tan Sang.

"Nguyen adalah lawan yang paling kuat dalam kategori ini," tambah Ferdous, yang merupakan juara dunia bagi kategori Kelas 1 (85-90 kg)

"Kami belum pernah bertarung antara satu sama lain dalam pertarungan sebelum ini. Jadi ini satu kejutan buat kami. Sekalipun demikian, saya akan bersiap sedia dengan baik bagi pertarungan seterusnya. Saya berharap prestasi kali ini jauh lebih baik dan akan membawa saya ke peringkat akhir."
Jaguh silat dari seluruh rantau ini mengalu-alukan penganjuran kejohanan tersebut.

Nguyen Duy Tuyen dari Vietnam mengalahkan pendekar Indonesia Ronaldo Neno 32-35 dalam peringkat separuh akhir Lelaki Kelas H (80-85kg).

“Saya gembira kerana dapat datang ke Singapura dan bertanding dalam kejohanan ini. Lawan saya sudah menunjukkan prestasi yang baik dalam pertarungan hari ini dan saya berharap beliau akan teruskan prestasinya dalam peringkat seterusnya," kata Nguyen.

Para pesilat dari Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam akan beraksi dalam Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara ke-8, yang berlangsung dari 25 hingga 27 Februari.

Kejohanan tersebut disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube Persekutuan Silat Singapura (PERSISI).

Saluran YouTube: https://www.youtube.com/c/SingaporeSilatFederation/videos

Kemas kini acara, sorotan dan markah boleh didapatkan di halaman Facebook dan Instagram PERSISI.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan