Skip to main content

Singapura

Pesilat RP, NYP dan Sekolah Sukan S'pura antara terunggul di Kejohanan Silat Antara Institusi Pengajian Tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Meskipun pertama kali menyertai Kejohanan Silat Antara Institusi Pengajian Tinggi (TSC), para pesilat dari Sekolah Sukan Singapura berjaya mencatat sejarah setelah muncul sebagai antara pasukan terunggul dalam pertandingan itu.

Mereka berjaya merangkul tujuh pingat emas.

Para pesilat dari pasukan Politeknik Republik (RP) dan Politeknik Nanyang (NYP) juga muncul sebagai antara pasukan terunggul dalam kalangan 12 Institusi Pendidikan Tinggi (IHL) yang menyertai Kejohanan Silat Antara Institusi Pengajian Tinggi (TSC) tahun ini.

Selepas tiga hari menunjukkan taring masing-masing dalam gelanggang silat, tiga pasukan itu berjaya memungut mata tertinggi.

Pasukan NYP berjaya meraih enam pingat emas, 11 perak dan tiga gangsa.

Bagi para pesilat RP pula, mereka berjaya merangkul lima pingat emas, dua perak dan tujuh gangsa.

Antara pingat emas itu diraih menerusi acara seni tunggal puteri oleh Nurin Insyirah Mohamed Aidil.

Langkah dan gerakan srikandi dari RP itu ternyata berhasil dalam menawan hati para juri, sekali gus mengalahkan pesaingnya dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dengan kemenangan tipis.

Nurin Insyirah berjaya memungut 9.915 mata berbanding pesaingnya dengan 9.890 mata.
Gambar: Syazwani Sanep
“Kemenangan ini sebenarnya tidak dijangkakan kerana semua pesilat sebenarnya hebat dan saya tidak sangka saya dapat pingat emas tetapi Alhamdulilah, saya dapat pingat ini juga,” ujar Nurin Insyirah.

Nurin Insyirah bukan sahaja menyumbang pingat emas bagi pasukan RP malah dia turut meraih pingat perak dalam acara tanding ‘Kategori B’ bagi pasukannya.

Sementara itu, suasana bertambah gamat pada malam kemuncak TSC dengan kedengaran sorakan dari pasukan Institut Teknologi Singapura (SIT) sejurus selepas pesilat Muhammad Isqandar Dzulfiqar dinobatkan sebagai juara bagi acara tanding ‘Kategori B’.
Gambar: Syazwani Sanep
Kegagalan dalam penampilan sulungnya semasa Kejuaraan Dunia Pencak Silat 2022 Julai lalu membakar semangat Isqandar untuk gigih berlatih memperbaiki prestasinya.

Berkat kesungguhan mengatur strategi dengan penuh teliti, pesilat dari SIT itu berjaya menumpaskan pesaing dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Strategi saya berubah dari setiap perlawanan sebab setiap pesaing saya berlawan dengan cara yang berbeza dan saya harus sentiasa menukar cara permainan saya dan syarat-syarat juga berubah dalam masa yang cukup singkat, oleh itu saya harus menyesuaikan diri dengan peraturan baru," kongsi Isqandar.

Kejayaan yang dikecapi pendekar itu menepati jangkaannya memandangkan dia sudah bersungguh-sungguh berlatih buat beberapa bulan menjelang kejohanan itu.

PEMBAHARUAN BAGI TSC EDISI KE-19

Setelah tiga tahun ditiadakan akibat pandemik, TSC kembali diadakan dengan cukup meriah terutama sekali dengan kehadiran para penyokong yang memenuhi ruang penonton di Anjung@Wisma Geylang Serai.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) itu menyaksikan penyertaan daripada 367 pesilat dari 12 Institusi Pendidikan Tinggi (IHL) di Singapura.

Sambutan diterima bagi temasya tersebut, bahkan disifatkan sebagai amat “baik” oleh pihak penganjur dengan bilangan penyertaan melepasi sasaran PERSISI, iaitu seramai 300 peserta.

Edisi ke-19 kejohanan ini juga memperkenalkan beberapa pembaharuan.

Ini termasuk kategori baru iaitu kategori seni tunggal kreatif dan kategori tanding bagi berat badan bawah 45 kg.

Secara keseluruhan, 33 kategori dipertandingkan bagi kejohanan kali ini.

Selain itu, kejohanan kali ini turut menyaksikan penggunaan Peranti Penolong Pengadil Video (VAR) buat julung-julung kalinya.
Gambar: Syazwani Sanep
Peranti VAR itu dipasang di setiap penjuru di keliling gelanggang.

Fungsi peranti VAR tersebut adalah untuk membantu para wasit dan jurulatih mendapatkan kepastian bagi sebarang kesalahan yang dikenal pasti mahupun keputusan yang dibuat dalam gelanggang perlawanan itu.

Mengulas mengenai penggunaan VAR dalam TSC edisi ini, Mohd Yasrin Mohd Yasil, Presiden PERSISI berkata: “Kami, PERSISI, telah mengambil langkah untuk memperkenalkan VAR dalam undang-undang yang baru, yang sudah dibawa ke Sukan SEA dan Kejuaraan Dunia yang telah sudah. Ia terbukti sangat baik kerana lebih nyata.”

Keberkesanan penggunaan peranti itu bagi kejohanan edisi kali ini dalam memastikan kepuasan bagi keputusan yang dibuat, menggalakkan PERSISI untuk meneruskan langkah tersebut bagi pertandingan Silat yang selanjutnya di negara ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita