Pesilat muda Kenny Peh terus berjuang walau berdepan cabaran
Perpaduan yang lebih kukuh antara perguruan-perguruan silat tempatan serta penglibatan generasi muda sebagai pelapis merupakan aset penting dalam meningkatkan prestasi silat tanah air.

Pesilat Kenny Peh Kang Tin, 19 tahun, tidak membiarkan cabaran peribadi menghalangnya daripada terus beraksi di gelanggang silat. (Gambar: Hakim Irwan)
SINGAPURA: Perpaduan yang lebih kukuh antara perguruan-perguruan silat tempatan serta penglibatan generasi muda sebagai pelapis merupakan aset penting dalam meningkatkan prestasi silat tanah air.
Setiausaha Persekutuan Silat Singapura (PERSISI), Encik Mohamad Azni Abdul Ghani, menekankan kepentingan itu semasa Kejohanan Pencak Silat Kebangsaan (NPSC) ke-44 yang berlangsung petang tadi (23 Feb).
Tahun ini, kejohanan menyaksikan penyertaan lebih 470 pesilat dari 21 perguruan, menandakan peningkatan sokongan dalam komuniti silat tempatan.
"Kami melihat lebih banyak sokongan daripada ahli-ahli gabungan PERSISI yang mana sangat kami alu-alukan sebab dalam usaha kami menyatukan fraterniti silat yang ada di tanah air ini. Ada lebih kurang empat kumpulan baharu yang menyertai NPSC 2025. Sesuatu yang agak menggalakkan adalah kemampuan dan juga bakat yang mereka tampilkan walaupun untuk julung-julung kalinya," ujar Encik Azni.
Selain penyertaan lebih luas, kejohanan kali ini turut menonjolkan bakat pesilat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan.
"Kami juga melihat penglibatan pesilat-pesilat muda yang baru muncul dan yang berbakat dan ini pastinya akan disalurkan kepada pasukan kebangsaan dan ini akan menguatkan lagi usaha kita dalam mempertingkatkan silat tanah air ini di persada dunia," tambah beliau.
KEKURANGAN UPAYA TIDAK HALANG KENNY PEH KAN TING CEBURI SUKAN SILAT
Semangat juang dan ketabahan terserlah di Kejohanan Pencak Silat Kebangsaan (NPSC) tahun ini menerusi penyertaan Kenny Peh Kang Tin, 19 tahun, yang tidak membiarkan cabaran peribadi menghalangnya daripada terus beraksi di gelanggang silat.
Walaupun didiagnosis dengan kurang upaya intelektual ringan (MID), Kenny yang merupakan pelajar di APSN Delta Senior School tetap berusaha mengembangkan bakatnya dalam seni mempertahankan diri.
“Saya tertarik untuk belajar lebih banyak tentang silat dan seni mempertahankan diri. Saya juga merasakan, mengapa tidak saya menyertai silat adalah untuk mewakili Singapura suatu hari nanti di masa depan,” kata Kenny yang menyertai kejohanan itu sebagai pesilat dari perguruan Sendeng Teratai.
Kejohanan ini merupakan penyertaan kedua bagi Kenny sejak mula menceburi sukan silat pada usia 13 tahun.
Walaupun belum lagi mencatat kemenangan dalam mana-mana perlawanan dan tersingkir di pusingan awal, semangatnya tetap tidak luntur.
“Apa yang saya pelajari adalah untuk tidak pernah menyerah, kalah, dan cuba lagi, tidak kira apa pun, tidak kira cabaran yang kita hadapi, kerana kalah adalah sebahagian yang lebih besar dalam sukan,” ujarnya penuh tekad.
INGIN GUNAKAN KEJAYAAN DALAM SILAT SEBAGAI MOTIVASI UNTUK GOLONGAN SEBAYA, GENERASI MUDA
Kejohanan kali ini menyaksikan kejayaan pesilat berpengalaman, Muhammad Zikry Mohamed Hanifar, yang muncul juara dalam kelas D (60-65kg) peringkat 'Senior'.

Pesilat perguruan Cekak Serantau itu tidak menyembunyikan kegembiraannya selepas menempuh perjalanan panjang dalam sukan silat sebelum meraih kejayaan besar.
"Saya rasa sangat gembira dapat menjadi juara dalam kategori saya. Saya dapat menimba banyak pengalaman baharu dalam kejohanan ini dan saya rasa segala matlamat telah tercapai kali ini," ujar Zikry.
Zikry, 24 tahun, bukanlah nama baharu dalam arena silat kebangsaan.
Sejak mula berkecimpung dalam sukan itu pada usia 12 tahun, beliau sudah menyertai sekitar 10 kejohanan kebangsaan.
Namun, kejayaan sebagai juara hanya dikecapi setelah memasuki peringkat 'Senior' enam tahun lalu.
"Saya tidak pernah benar-benar meraih banyak kejayaan. Namun, saya percaya kesabaran adalah kunci, terutama dalam perjalanan ini. Saya adalah salah seorang yang lebih tua di awal perjalanan ini," katanya.
Dengan pengalaman dan pencapaiannya kini, Zikry berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi pesilat yang lebih muda untuk terus berusaha mencapai impian mereka.
"Jadi, pertama sekali, saya ingin memberi inspirasi kepada mereka yang sebaya dengan saya yang sedang mengimbangi banyak komitmen, dan kepada yang lebih muda untuk menunjukkan bahawa seorang lelaki biasa seperti saya juga boleh berjaya," tambahnya.
Kejayaan Zikry bukan sahaja menjadi bukti ketekunan dan kecekalan, tetapi juga dorongan kepada pesilat muda untuk terus berjuang dan mencapai kecemerlangan dalam sukan silat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.