Skip to main content

Singapura

Peserta SG Nuraziana Mohd Said dinobat naib johan Majlis Tilawah Al-Quran Braille di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kehilangan daya penglihatan tidak menghalang Nuraziana Mohd Said menjalankan kehidupan biasa seperti insan lain.

Cik Nuraziana menghidap penyakit gluokoma sejak usia 9 tahun, di mana beliau kehilangan hampir 95 peratus penglihatannya.

Meskipun demikian, beliau tidak berhenti menimba ilmu, dan sering menghadiri kelas-kelas agama.

Beliau diperkenalkan kepada kelas membaca al-Quran braille tahun lalu, yang dijalankan oleh Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) di Masjid Al-Istighfar.

Dedikasinya membuahkan hasil apabila beliau digelar naib johan bagi kategori murattal wanita dalam Majlis Tilawah al-Quran Braille (MTQB) di Kuala Lumpur.

Edisi ke-8 MTQB dianjurkan oleh Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan kerjasama Yayasan Maghfirah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan diadakan dari 4 hingga 7 Disember 2025.

Ia juga merupakan kali pertama Cik Nuraziana menyertai pertandingan tersebut.

"Sebenarnya saya tidak sangka kerana niat asalnya ialah untuk mempertingkatkan ilmu, memperhalusi bacaan, untuk belajar daripada peserta-peserta lain di Malaysia, mereka pastinya lebih terdedah kepada ilmu al-Quran," kongsi Cik Nuraziana.
FORMAT BACAAN DITUKAR DUA BULAN SEBELUM PERTANDINGAN

Persiapan Cik Nuraziana 41 tahun, berdepan rintangan dua bulan sebelum pertandingan, apabila format bacaan diubah.

"Dalam masa dua bulan, agak sukar dan boleh katakan ia lebih mencabar," kata Cik Nuraziana.

"Jadi dalam masa dua bulan itu, saya banyak mengambil masa dalam jadual yang memang sedia padat, untuk latih membaca dengan sendirinya dan guru-guru saya," tambahnya.

Sebulan sebelum pertandingan, beliau turut mengadakan latihan hampir setiap hari selama sejam untuk menyesuaikan diri dengan format bacaan baharu.
KEKURANGAN UPAYA BUKAN PENGHALANG MERAIH KEJAYAAN

Bagi Cik Nurziana, yang bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), kekurangan upaya bukan alasan untuk mencapai kejayaan.

"Banyak perkara yang boleh kita pelajari, dan al-Quran adalah satu-satunya. Ada cara untuk mempelajarinya, dan ada asatizah yang boleh membantu," kata Cik Nuraziana.

Salah seorang tunggak sokongannya adalah suaminya sendiri, Mohamed Iskandar Misran, yang juga hilang daya penglihatan.

"Sangat sangat menyokong, dia yang sentiasa berada dengan saya. Dia yang melihat susah payah saya daripada hari ke hari untuk mengatur masa untuk melaksanakan kerja harian untuk ke tempat kerja dan tambah lagi dengan kegiatan-kegiatan kami yang lain," kata Cik Nuraziana.

Menurut gurunya, Ustazah Siti Nur Qurratu’ain Mohd Noh, yang juga bertugas sebagai pembantu pentadbiran di BYSD, setiap insan mempunyai hak untuk mempelajari al-Quran.

"Al-Quran bukan khusus untuk insan biasa sahaja, kita tidak perlu pinggirkan mereka yang kurang upaya, dan kita perlu beri peluang kepada mereka untuk belajar al-Quran," tambahnya lagi.

Cik Nuraziana membawa pulang sijil dan wang tunai RM800 (S$250).
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita