Peserta kali pertama NDP teruja, giat berlatih untuk persembahan 9 Ogos
SINGAPURA: Seronok namun gementar untuk berbaris di depan penonton yang ramai buat julung-julung kalinya.
Itulah yang dirasakan Darwisyh Arfan Abdul Jalil, 15 tahun yang menyertai Kontinjen Perbarisan Pengakap untuk Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP)
Darwisyh merupakan antara lebih 2,000 peserta yang ambil bahagian dalam segmen Perbarisan dan Upacara (P&C) dan kini giat berlatih menjelang Hari Kebangsaan pada 9 Ogos ini.
"Untuk salah satu bahagian bagi kontinjen perbarisan, kami mengubah tanda Pertahanan Mutlak 40 (TD40), dan (pada mulanya) kita tidak tahu banyak perkara jadi untuk percubaan pertama, kita terkial-kial dan saya pun takut saya buat kesilapan," kongsi Darwisyh kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Selepas itu, saya dapat menanganinya dengan banyak berlatih di rumah dan semasa latihan," tambah pelajar Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim itu.
INGIN BANGGAKAN IBU BAPA
Darwisyh bagaimanapun amat menghargai peluang itu dan ingin membanggakan ibu bapanya.
Lebih manis lagi, dia juga akan sertai NDP bersama adik kembarnya, Danish Azri Abdul Jalil, yang ambil bahagian sebagai Pasukan Kadet Pertahanan Awam Kebangsaan (NCDCC).
"Saya dapat menyertai NDP dengan kembar saya dan ini sangat seronok kerana saya juga dapat mengunjungi kontinjennya. Rakannya juga sering keliru apabila nampak kita berdua dan ini (menakjubkan)," ujar Darwisyh.
"Saya menyertai NDP 2024 kerana saya ingin menunjukkan kepada ibu bapa saya bahawa saya adalah anak yang baik untuk mereka dan apabila mereka lihat saya berbaris, mereka juga bahagia," tambahnya.
NUR SAFEERA SUHAIMI ANTARA PESERTA TERMUDA UNTUK PERBARISAN & UPACARA
Lagi seorang peserta yang pertama kali mengambil bahagian ialah Privet (PTE) Nur Safeera Mohamed Suhaimi.
Pelajar berusia 13 tahun itu bangga dapat jadi antara peserta termuda dalam Tatu Tentera-Pancaragam Gabungan.
"Saya berasa bangga dan saya pun rasa gementar sedikit kerana saya ada banyak jangkaan daripada pelajar 'senior' dan guru-guru dan saya bimbang saya tidak dapat mencapai jangkaan mereka itu tetapi pada akhirnya, saya dapat menangani cabaran ini dan juga mencapai jangkaan mereka," kongsi Safeera kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ialah apabila saya membuat kawan baharu dalam Tatu Tentera kerana saya terlupa gerakan saya tetapi mereka mengingatkan saya tentang langkah-langkah itu. Apabila mereka juga lupa di mana untuk berdiri (dalam formasi), saya juga akan mengingatkan mereka," tambah pelajar Sekolah Menengah Swiss Cottage itu.
Menerusi latihan itu, Safeera pelajari untuk tidak berputus asa dan sentiasa memperbaiki prestasinya.
"Apa saya buat untuk menangani cabaran-cabaran ialah untuk mengikut jejak pelajar 'senior' apabila mereka membuat persembahan pada minggu itu agar saya dapat menjadi lebih biasa dengan gerak geri dan dapat membuat persembahan dengan lancar," ujar Safeera.
CPL SHAHRIZUAN BERBESAR HATI DAPAT JADI PEGAWAI YANG KENDALIKAN MERIAM 25-POUNDER
Bagi Korporal (CPL) Muhammad Shahrizuan Hidayat, 22 tahun pula, peluang untuk beraksi sebagai pegawai yang mengendalikan meriam 25-pounder untuk Tembak Hormat Kepresidenan adalah amat bermakna.
Ini lebih-lebih lagi dapat 'berlayar' lebih dekat lagi dengan penonton.
"Peranan saya adalah untuk menjadi pegawai ke-enam, yang terakhir daripada yang lain dan yang membuat pusingan mengikut arahan untuk pusingan pertama," kongsi CPL Shahrizuan.
"Ini adalah kali pertama saya berada dalam Pelantar Terapung Tentera M3G dan untuk menembak meriam 25-pounder itu, saya rasa sangat berbesar hati kerana tidak ramai orang yang boleh membuat apa yang saya dan rakan-rakan saya dapat lakukan," tambah pegawai NSF itu.
PENGALAMAN BERMAKNA UNTUK BERKHIDMAT BAGI NEGARA
"Saya masih ingat kali pertama saya berada dalam pelantar M3G itu, sangat meletihkan dan mengejutkan bagi saya. Apabila saya di Taman Merlion, saya lihat ramai orang dengan kamera mereka untuk menyaksikan Tembak Hormat Kepresidenan itu," ujar CPL Shahrizuan.
"Ini amat bermakna bagi saya sebagai rakyat Singapura untuk berkhidmat bukan sahaja bagi unit saya malah bagi rakyat-rakyat Singapura yang sudah jadikan Singapura seperti mana ia wujud hari ini," tambah beliau.
Layar lalu dalam NDP kali ini juga merupakan yang paling lama dengan laluan terpanjang dalam kawasan Lembangan Marina.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.