Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesawat SIA dipukul angin kencang; tergelincir ketika mendarat di Heathrow

Ketika Ribut Eunice menumbangkan pokok, memusnahkan bumbung dan mengganggu bekalan elektrik di United Kingdom (UK), angin sekencang 112 kilometer sejam yang dibawanya turut menjejas landasan di Lapangan Terbang Heathrow sehingga pesawat-pesawat menghadapi kesukaran untuk mendarat. Bahkan, sesetengah daripadanya terpaksa berpatah balik.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat SIA dipukul angin kencang; tergelincir ketika mendarat di Heathrow

Pesawat SQ306 SIA tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Heathrow pada 18 Feb 2022. (Petikan video: Big Jet TV)

SINGAPURA: Ketika Ribut Eunice menumbangkan pokok, memusnahkan bumbung dan mengganggu bekalan elektrik di United Kingdom (UK), angin sekencang 112 kilometer sejam yang dibawanya turut menjejas landasan di Lapangan Terbang Heathrow sehingga pesawat-pesawat menghadapi kesukaran untuk mendarat. Bahkan, sesetengah daripadanya terpaksa berpatah balik.

Pada Jumaat (18 Feb), sebuah pesawat Singapore Airlines SQ306 mengalami nasib serupa.

Pesawat Boeing 777-300ER itu, yang tiba di London dari Singapura, dibadai angin kencang ketika berada hanya beberapa meter dari tanah sebelum mendarat. Keadaan pesawat itu dipukul tiupan angin kencang hanya beberapa meter dari tanah sebelum melakukan pendaratan dirakam dalam satu penstriman live yang menjadi tular.

Pesawat berkenaan kemudian tergelincir ke bahagian kanan landasan sebelum akhirnya berhasil menstabilkan pendaratannya sedang ia memperlahankan kelajuannya semasa mendarat.

Semua itu dirakamkan oleh Encik Jerry Dyer, seorang warga Britain yang mengendalikan saluran YouTube Big Jet TV.

Ulasan secara langsung beliau menarik perhatian ramai orang di seluruh pelusuk dunia. Penstriman langsung beliau selama hampir lapan jam itu ditontoni lebih tujuh juta kali setakat pukul 6.00 petang Ahad.

Apabila SQ306 mendarat sekitar jam 12.35 tengah hari waktu London pada Jumaat, Encik Dyer berteriak: "Apabila anda berada dalam sebuah kapal terbang dan ia bergoyang sedemikian rupa, ia satu perkara yang gila. Amat gila."

“Anda juga merasakannya. Ia ibarat anda di dalam sebuah mesin pembasuh."

Dalam ulasannya sewaktu penstriman langsung itu, Encik Dyer berkata banyak pesawat juga terpaksa membatalkan pendaratan disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk pada hari tersebut.

Menurut laporan-laporan media, tiga minggu lalu semasa Ribut Corrie melanda, sebuah pesawat British Airways hampir terbalik ketika membuat percubaan yang sama untuk mendarat di Heathrow. Insiden itu turut dirakam oleh Encik Dyer.

Mujur, juruterbang pesawat itu berjaya menghindari sebarang nahas daripada berlaku.

SQ306 juga nampaknya terselamat daripada mengalami kerosakan, menurut penjejak pesawat online FlightAware, yang menyatakan kapal terbang berkenaan sudahpun melakukan dua lagi perjalanan dari Singapura ke Heathrow sejak Jumaat.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap SIA berkata tiada laporan mengenai sebarang kecederaan pada penumpang mahupun anak kapal yang berada di dalam pesawat tersebut.

Kakitangan khidmat penumpang SIA turut menghulurkan bantuan kepada penumpang selepas mereka meninggalkan pesawat itu.

Jurucakap itu menambah pesawat tersebut berada dalam "keadaan yang boleh digunakan sepenuhnya" dan kembali ke Singapura pada hari yang sama.

"Juruterbang kami dilatih untuk melakukan keberangkatan dan pendaratan dalam semua keadaan cuaca. Mereka dipandu oleh peraturan ketat yang mengawal had persekitaran maksimum (angin, penglihatan, siling awan, misalnya) untuk operasi keberangkatan dan pendaratan.

"Dalam kejadian ini, had angin semasa fasa mendarat berada dalam had operasi yang ditetapkan dan jurutera kami berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat sekalipun di tengah-tengah ribut," kata beliau.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan