Skip to main content

Singapura

Pesawat Scoot terpaksa patah balik ke Changi akibat kerosakan radar cuaca

Sebuah pesawat Scoot terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Changi semalam (8 Jan), kurang sejam setelah ia berlepas ke Melbourne disebabkan oleh kerosakan pada alat radar cuaca pesawat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat Scoot terpaksa patah balik ke Changi akibat kerosakan radar cuaca

Pesawat Scoot Boeing 787. (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 09 Jan 2019 07:42AM Dikemas Kini : 09 Jan 2019 07:47AM

SINGAPURA: Sebuah pesawat Scoot terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Changi semalam (8 Jan), kurang sejam setelah ia berlepas ke Melbourne disebabkan oleh kerosakan pada alat radar cuaca pesawat itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, syarikat penerbangan berkenaan menyatakan bahawa pesawat jenis Boeing 787-8 itu mendarat semula di Singapura pada sekitar 12.49 tengah hari - iaitu hanya 48 minit setelah ia berlepas.

"Akibat kerosakan yang dikesan pada komponen radar cuaca pesawat itu selepas ia berlepas, pesawat Scoot TR24 yang dijadual berlepas dari Singapura ke Melbourne pada pukul 11.00 pagi waktu tempatan pada 8 Januari terpaksa berpatah balik ke Singapura hanya 48 minit selepas ia memulakan penerbangan," menurut Scoot.

Penerbangan itu kemudian dijadualkan semula pada pukul 5.00 petang pada hari yang sama, namun ia hanya berlepas pada pukul 6.07 petang. Kesemua 268 penumpang yang terjejas "diberikan makanan sementara isu itu dihuraikan", menurut syarikat penerbangan itu lagi.

Penerbangan bagi pesawat TR25 dari Melbourne ke Singapura yang dijadual berlepas pada pukul 10.30 malam pada Selasa (8 Jan) juga ditangguhkan sehingga 7.30 pagi pada Rabu (9 Jan).

BEBERAPA PENANGGUHAN KEBELAKANGAN INI

Syarikat penerbangan tambang murah milik Singapore Airlines itu mengalami beberapa penangguhan sejak kebelakangan ini, dengan sekurang-kurangnya dua insiden berlaku pada bulan lalu.

Lebih 350 penumpang menyambut kedatangan Tahun Baru dalam pesawat selepas penerbangan dari Taipei ditangguhkan sekurang-kurangnya 28 jam akibat masalah teknikal.

Pesawat penerbangan TR899 sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Taoyuan pada pukul 4.10 petang pada 30 Disember, namun ia tidak melakukan demikian disebabkan oleh "kerosakan pada komponen elektrik".

Penerbangan itu kemudian dijadualkan semula kepada pukul 11.00 pagi pada keesokan hari sedang bahagian-bahagian gantian diterbangkan dari Singapura. Bagaimanapun, masalah itu tidak dapat dihuraikan sehinggakan syarikat penerbangan tersebut terpaksa mengaturkan dua "penerbangan penyelamat" bagi para penumpang.

Pada awal Disember lalu pula, para penumpang terkandas di Athens selama hampir tiga hari akibat penangguhan pada penerbangan Scoot. Pesawat TR713 dijadual berlepas dari Athens ke Singapura pada pukul 11.20 pagi pada 18 Disember, tetapi ia hanya berlepas pada sebelah petang 20 Disember.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita