Skip to main content

Singapura

Pesawat RSAF dalam perjalanan ke Riyadh untuk bawa pulang rakyat Singapura yang terkandas di Timur Tengah

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat RSAF dalam perjalanan ke Riyadh untuk bawa pulang rakyat Singapura yang terkandas di Timur Tengah
Pesawat RSAF A330 MRTT berlepas dari Pangkalan Udara Changi pada 10 Mac 2026 ke Riyadh untuk memindahkan rakyat Singapura dari Arab Saudi. (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)
Diterbitkan : 10 Mar 2026 01:58PM Dikemas Kini : 10 Mar 2026 01:59PM
SINGAPURA: Sebuah pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) berlepas dari Pangkalan Udara Changi ke Riyadh, Arab Saudi, pada Selasa (10 Mac) untuk memindahkan rakyat Singapura di Timur Tengah.

Ia akan membawa pulang rakyat Singapura lewat pada Selasa, dengan penerbangan penghantaran pulang kedua dari Arab Saudi dirancang pada 12 Mac.

Di tengah-tengah perang ke atas Iran, ramai rakyat Singapura telah meminta bantuan untuk pulang ke tanah air kerana kurang pilihan penerbangan komersial, menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad dalam catatan di Facebook.

"Pemerintah Singapura mengerahkan MRTT untuk membawa mereka pulang. Ini adalah misi penting dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan semua orang kembali dengan selamat," tambah Encik Zaqy.

"Saya berterima kasih atas komitmen dan keberanian anggota tentera RSAF kami yang tampil secara sukarela untuk misi ini, meskipun mereka tahu rantau itu masih menghadapi serangan."

Penerbangan komersial dari Singapura ke Riyadh mengambil masa antara lapan hingga sembilan jam.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan pada Isnin (9 Mac) bahawa pesawat A330 MRTT akan dikerahkan untuk membantu pemindahan rakyat Singapura dari Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi.

Pesawat A330 MRTT boleh membawa kira-kira 200 penumpang.

Mereka yang menaiki pesawat itu tidak akan dikenakan bayaran untuk penerbangan tersebut, dengan satu hidangan disediakan untuk semua penumpang sepanjang perjalanan.

"Ruang udara di Arab Saudi kekal dibuka ketika ini dan pelepasan diplomatik yang diperlukan telah diminta untuk mengendalikan penerbangan membawa pulang rakyat Singapura. MRTT akan menggunakan laluan penerbangan yang digunakan pesawat awam untuk memastikan keselamatan," kata Kementerian Pertahanan pada Isnin.

Pemerintah menyediakan dua penerbangan untuk membawa pulang rakyat Singapura pada hujung minggu lalu dari Muscat, Oman. Penerbangan tersebut menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Singapura di Oman dan Emiriah Arab Bersatu - negara di mana kira-kira 60 peratus rakyat Singapura yang berdaftar secara elektronik dengan MFA berada.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita