Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesawat RSAF bawa pusingan ke-7 bantuan kemanusiaan Gaza berlepas ke Jordan

Sebuah pesawat Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) yang membawa sekitar sembilan tan bekalan bantuan untuk Gaza kini dalam perjalanan ke Jordan selepas berlepas dari Singapura pada Rabu (12 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat RSAF bawa pusingan ke-7 bantuan kemanusiaan Gaza berlepas ke Jordan

Bantuan kemanusiaan SG untuk Gaza dipunggah ke dalam pesawat MRTT RSAF. (Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 12 Feb 2025 01:56PM Dikemas Kini : 12 Feb 2025 01:58PM
SINGAPURA: Sebuah pesawat Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) yang membawa sekitar sembilan tan bekalan bantuan untuk Gaza kini dalam perjalanan ke Jordan selepas berlepas dari Singapura pada Rabu (12 Feb).

Ini merupakan pusingan ketujuh bantuan kemanusiaan dari Singapura bagi wilayah itu.

Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan A330 Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) itu yang membawa bekalan perubatan, makanan dan produk kebersihan dari Kementerian Kesihatan (MOH), Relief SG, Mercy Relief dan Caritas Humanitarian Aid serta Relief Initiatives Singapore (CHARIS) berlepas dari Pangkalan Udara Changi pada pagi Rabu, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan bersama.

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan Zaqy Mohamad serta Duta Jordan ke Singapura Samer Anton Naber dan Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Jordan Shamsher Zaman hadir untuk menyaksikan pesawat itu berlepas.

Wakil Singapura ke Penguasa Palestin Hawazi Daipi dan wakil daripada pertubuhan bukan pemerintah (NGO) yang mengambil bahagian turut hadir.

"Singapura mungkin jauh, tetapi kita akan lakukan sedaya upaya untuk membantu," kata Dr Balakrishnan.

"Ini mencerminkan belas kasihan daripada kepelbagaian masyarakat Singapura. Kita berbesar hati kerana kita boleh, dengan cara kita sendiri, membuat perbezaan dalam kehidupan dan kesihatan saudara kita di Palestin."
Seorang wakil CHARIS menyediakan palet berisi bantuan kemanusiaan. (Gambar: MINDEF)
Sumbangan bekalan perubatan MOH dihantar ke Pangkalan Udara Changi. (Gambar: MINDEF)

Dr Balakrishnan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jordan dan Raja Jordan kerana membantu dalam penghantaran bekalan bantuan.

"Kami tidak akan dapat menghantar bantuan kemanusiaan secara berturut-turut tanpa rangkaian dan kerjasama yang sangat rapat dengan rakan-rakan kami di Timur Tengah," katanya.

Sejak bermula konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, Singapura telah menghantar tujuh pusingan bantuan kemanusiaan ke Gaza, di mana ia bernilai lebih S$19 juta.

Pada bulan lalu, Singapura menghantar pusingan keenam bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang bernilai sekitar S$1.3 juta.

"Kami berharap menerusi bantuan kemanusiaan yang telah kita sediakan, terutama sekali menjelang bulan Ramadan ini, kami dapat memberi kelegaan kepada penduduk Gaza, penduduk Palestin yang terjejas oleh krisis kemanusiaan ini," kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia.

Encik Zaqy yang akan berada di Amman, Jordan untuk menghantar pakej bantuan kemanusiaan untuk Gaza menerusi Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO) juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang terlibat dalam misi itu dan pelbagai agensi bantuan yang bantu menyediakan pakej dan bantuan sewajarnya.

MINDEF dan MFA menyatakan Singapura akan terus bekerja rapat dengan rakan-rakan kongsi di rantau ini serta pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tempatan bagi menyokong keperluan kemanusiaan yang mendesak di Gaza.

"Tentu sekali, kami sedang mengikuti perkembangan di Timur Tengah, dan kami berharap perdamaian berkekalan dapat dicapai, dan huraian serta pembangunan semula Gaza dapat dilaksanakan," kata Encik Zaqy.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan