Skip to main content

Singapura

Pesawat ronda maritim P-8A Boeing milik SG dijangka mula operasi awal 2030-an: Chan Chun Sing

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Sep 2025 02:01PM Dikemas Kini : 13 Sep 2025 10:53PM
IDAHO: Empat pesawat rondaan maritim Boeing P-8A yang akan diperoleh Singapura dijangka mula beroperasi sekitar awal 2030-an, kata Menteri Pertahanan Chan Chun Sing pada Sabtu (13 Sep).

Bercakap kepada media di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home di wilayah Idaho semasa lawatan pertamanya ke Amerika Syarikat sebagai Menteri Pertahanan, Encik Chan menambah bahawa platform lain mungkin akan diperoleh untuk melengkapi keupayaan P-8A.

Pesawat P-8A akan menggantikan pesawat Fokker-50 sedia ada milik Singapura, yang sudah digunakan selama lebih 30 tahun.

Ini adalah sebahagian daripada fasa pertama usaha Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk memperbaharui keupayaan keselamatan maritimnya, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) awal minggu ini.

Dilengkapi dengan keupayaan peperangan anti-kapal selam, P-8A turut mempunyai pelbagai sistem penderia dan radar yang boleh digunakan dalam pelbagai misi maritim.

“Kami mahu memastikan bahawa kami mempunyai pelbagai platform dengan pelbagai keupayaan untuk menambah baik kesedaran situasi secara menyeluruh,” kata Encik Chan pada Sabtu.

Menteri itu juga mengulas mengenai 20 jet pejuang F-35 yang diperoleh Singapura, dengan penghantaran pertama dijangka tiba pada penghujung tahun 2026.

Skuadron baharu akan ditubuhkan di Pangkalan Pengawal Negara Udara Ebbing di bandar Fort Smith, wilayah Arkansas, di mana Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) akan menjalani latihan bersama rakan sejawatan dari negara-negara lain yang menjalankan operasi menggunakan platform serupa.

Sebagai sebahagian daripada lawatan pengenalan beliau ke Amerika, Encik Chan melawat pegawai SAF yang mengambil bahagian dalam Latihan Forging Sabre - latihan tentera dwitahunan yang berlangsung dari 6 hingga 21 September.

Beliau diberi taklimat mengenai peranan dan operasi mereka; serta berinteraksi dengan keluarga anggota tentera yang menetap di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home.
Related article image
Menteri Pertahanan Chan Chun Sing berinteraksi dengan peserta Latihan Forging Sabre di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home di Idaho, Amerika Syarikat pada 12 Sep 2025. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Mengulas mengenai Latihan Forging Sabre tahun ini, iaitu edisi ke-10, Encik Chan menyatakan bahawa tumpuannya adalah kepada keupayaan untuk menyepadukan pelbagai sistem dan menyesuaikan diri dengan senario yang rumit.

Lebih banyak dron digunakan kali ini, termasuk dron komersial yang dibeli di pasaran terbuka, dengan SAF mengambil pengajaran daripada konflik baru-baru ini di seluruh dunia.

Mengendalikan platform tanpa pemandu ini bersama dengan sistem jet pejuang dan helikopter serangan adalah antara komponen utama dalam latihan terbaharu SAF.

FAHAMI AMERIKA SYARIKAT

Mengimbas kembali lawatannya yang berakhir pada Sabtu, Encik Chan menekankan bahawa Amerika Syarikat adalah sebuah negara besar dan tidak harus dianggap mempunyai pandangan yang "monolitik" atau seragam.

Sepanjang beberapa hari lawatannya, beliau berkata beliau dapat memahami kepelbagaian perspektif dalam kalangan pihak pentadbiran Amerika, yang membantu Singapura memahami titik tolak pandangan mereka dan apa yang mereka cuba capai.

“Ia membantu kami memahami keutamaan mereka, fokus mereka, dan rancangan pembinaan keupayaan masa depan mereka,” tambah Encik Chan.

“Selagi kami dapat memahami keperluan dan perancangan mereka dengan lebih baik, ia akan membolehkan kami menawarkan nilai yang lebih baik dalam setiap interaksi kami dengan mereka.”
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita