Skip to main content

Singapura

Pesawat pertama RSAF bagi operasi bawa pulang rakyat SG dari Saudi tiba di Changi

Lebih 200 warga Singapura dan tanggungan mereka dalam penerbangan pulang pertama pihak tentera bagi operasi pemindahan dari Arab Saudi disambut ahli keluarga dalam keadaan mengharukan, dengan linangan air mata dan pelukan erat, sebaik sahaja mereka tiba di Singapura pada Rabu (11 Mac).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Mar 2026 10:25AM Dikemas Kini : 20 Mar 2026 10:03PM
SINGAPURA: Lebih 200 warga Singapura dan tanggungan mereka dalam penerbangan pulang pertama pihak tentera bagi operasi pemindahan dari Arab Saudi disambut ahli keluarga dalam keadaan mengharukan, dengan linangan air mata dan pelukan erat, sebaik sahaja mereka tiba di Singapura pada Rabu (11 Mac).

Pengangkutan Tangki Berbilang Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada Rabu, sekitar pukul 6.00 pagi.

Pesawat itu, yang berangkat ke Arab Saudi pada pagi Selasa, merupakan yang pertama daripada dua penerbangan tentera untuk membawa pulang rakyat Singapura di Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi.
Related article image
Para penumpang menaiki pesawat MRTT A330 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) di Riyadh, Arab Saudi, pada 10 Mac 2026. (Gambar: MINDEF)
Related article image
Para penumpang di dalam pesawat MRTT A330 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) di Riyadh, Arab Saudi, pada 10 Mac 2026. (Gambar: MINDEF)
Penerbangan kedua dirancang untuk dilaksanakan pada Khamis, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Salah seorang yang tiba di lapangan terbang ialah Encik Nick Nassier, yang disambut ahli keluarganya di sana.

Beliau melakukan perjalanan selama kira-kira lapan jam dari Doha ke Riyadh untuk menaiki penerbangan pulang tersebut.

“Kami tidak dapat melahirkan rasa terima kasih dan syukur dengan secukupnya ... Rasanya sangat seronok dapat pulang ke tanah air,” kata beliau kepada Mediacorp.

“Segalanya diuruskan dengan sangat baik oleh pegawai MFA.”

Bagi Cik Malathi Keshvani, suami dan dua anaknya - menaiki pesawat di Riyadh dan melihat askar-askar Singapura memberi mereka keyakinan bahawa mereka akan pulang dengan selamat.

“Cara mereka bercakap dengan kami, cara Singapura membuat anda rasa dihargai.

“Dan kemudian juruterbang berkata ia adalah satu penghormatan untuk membawa anda pulang - apa yang lebih baik daripada itu? Kami sudah berasa selamat, walaupun kami tahu kami akan terbang melalui ruang udara tersebut.

“Ada sedikit rasa takut bagi saya, tetapi sebaik sahaja juruterbang berkata sedemikian, saya rasa seperti ... kami selamat.”

Keluarga itu melakukan perjalanan dari Doha ke Riyadh dengan menaiki bas untuk menaiki penerbangan tersebut.

Beliau berkata ahli keluarga mereka di Singapura sentiasa memberi sokongan dan bertanya khabar berhubung keadaan mereka.

“Kami berasa sangat lega melihat mereka turun dari pesawat, melihat mereka kembali bersama keluarga dan orang tersayang,” kata Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad pada Rabu.
Related article image
Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad bercakap kepada media di Lapangan Terbang Changi pada 11 Mac 2026. (Gambar: CNA/Justin Tan)
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan RSAF kerana membawa pulang warga Singapura dan tanggungan mereka.

“Apabila dikerahkan, mereka mempamerkan keberanian, walaupun mengetahui dengan sepenuhnya bahawa memasuki rantau tersebut bermakna mereka berdepan kemungkinan diserang.

"Ini sesuatu yang membuat saya hormat terhadap mereka, keberanian mereka, dan ini sesuatu yang mereka lakukan tanpa ragu-ragu.

“Ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Ini tanggungjawab kami untuk membawa warga Singapura pulang.”

MINDEF sebelum ini menyatakan ruang udara di Arab Saudi masih terbuka dan kelulusan diplomatik yang diperlukan sudah diperoleh untuk melaksanakan penerbangan pulang tersebut.

Menurut kementerian itu, pengerahan pesawat tersebut dilakukan semata-mata untuk menyokong operasi ppemindahan pulang yang dibantu.

Amerika Syarikat dan Iran meningkatkan ancaman pada Selasa sedang perang di Timur Tengah terus memuncak.

Setiausaha Perang Amerika Syarikat Pete Hegseth memberi amaran berhubung “hari dengan serangan paling sengit” di Iran, manakala Speaker Parlimen Iran berkata negara itu sama sekali tidak berhasrat untuk mencapai gencatan senjata.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita