Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesawat MRTT S'pura bakal turut serta latihan bersama angkatan udara Thailand, AS

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat MRTT S'pura bakal turut serta latihan bersama angkatan udara Thailand, AS

(Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 23 Mar 2022 04:52PM Dikemas Kini : 23 Mar 2022 09:30PM

SINGAPURA: Satu latihan ketenteraan tiga pihak antara angkatan udara Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat (AS), yang ditunda selama dua tahun disebabkan COVID-19, sedang dijalankan di Pangkalan Udara Korat di Thailand. 

Lebih 1,100 peserta dan kira-kira 70 kenderaan menyertai edisi ke-26 Latihan Cope Tiger dari 13 hingga 25 Mac.

Demikian menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini (23 Mac). 

Sebanyak 24 pesawat daripada Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) terlibat tahun ini, termasuk Pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 RSAF. Ini merupakan kali pertama sebuah pesawat yang boleh diisi minyak sewaktu penerbangan itu turut serta dalam Latihan Cope Tiger.

Tujuh pesawat pintas F-15SG, enam F-16C/D dan enam F-16D+, satu pesawat Amaran Awal G550, satu pesawat pengangkutan C-130 dan dua Kenderaan Udara Tanpa Pemandu Heron 1 merupakan antara pesawat RSAF yang juga menyertai latihan itu. 

Lima kenderaan darat dan lebih 550 kakitangan RSAF juga terlibat, menurut MINDEF. 

Latihan itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dan persefahaman antara para pegawai dari tiga negara tersebut, menurut MINDEF lagi. 

"Latihan Cope Tiger memberi peluang latihan kepada pasukan tentera udara kami," menurut Pengarah Latihan RSAF, Kolonel David Kok. 

"Ia membantu mengasah keupayaan kami untuk merancang dan melaksanakan operasi tempur besar-besaran yang realistik untuk misi pertahanan dan serangan udara, agar kami sentiasa berupaya dan bersiap sedia untuk melindungi ruang udara Singapura." 

Selain latihan ketenteraan, kakitangan daripada tiga angkatan udara itu juga mengambil bahagian dalam program-program sosiosivik bersama-sama, sekali gus menyumbang kepada masyarakat-masyarakat tempatan di sekitar Pangkalan Udara Korat, tambah MINDEF. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan