Pesawat Israel di ruang udara S'pura lakukan 'demonstrasi produk komersil': ST Engineering
Menurut ST Engineering, demonstrasi itu dilakukan hanya di ruang udara dan perairan wilayah Singapura.

(Petikan: FlightRadar24)
SINGAPURA: Sebuah pesawat dari Israel yang mengelilingi ruang udara Singapura awal bulan ini melakukan "demonstrasi produk komersil" untuk syarikat teknologi pertahanan ST Engineering.
Menjawab beberapa rencana online yang menggambarkan bahawa penerbangan itu dilakukan atas tujuan perisikan, seorang jurucakap bagi firma yang disenaraikan di papan utama bursa itu memberitahu Mediacorp bahawa pesawat Boeing 737-400 itu beroperasi dari kemudahan ST Engineering Aerospace di Paya Lebar.
Demonstrasi itu dilakukan hanya di ruang udara dan perairan wilayah Singapura.
"Demonstrasi itu sudah selesai dan persiapan sedang dilakukan untuk pesawat tersebut berlepas dari Singapura," kata jurucakap itu pada Khamis (27 Mei).
Pesawat itu, dengan nombor pendaftaran 4X-AOO, adalah milik anak syarikat Israel Aerospace Industries (IAI), sebuah syarikat pengeluar penerbangan awam dan tentera milik pemerintah.
Pada Selasa, laman berita online Malaysia, MalaysiaNow melaporkan penerbangan empat jam di ruang udara Singapura yang dianggap sebagai langkah yang "boleh mencetuskan ketegangan antara negara itu dengan negara-negara jiran Islam di tengah-tengah peningkatan sentimen anti-Israel di seluruh dunia"
Laman berita tersebut dilancarkan pada September tahun lalu dan menurutnya, ia diterajui oleh "sekumpulan kecil wartawan berpengalaman yang telah bertugas dengan pelbagai portal online selama bertahun-tahun".
Menyifatkan pesawat Boeing 737-400 yang diubah suai itu sebagai pesawat "risikan", MalaysiaNow juga mengaitkan langkah itu dengan pengumuman kerajaan Malaysia minggu lalu.
Para pegawai berkata bahawa negara itu dalam keadaan berjaga-jaga untuk kemungkinan serangan oleh ejen Israel yang menyasarkan pegawai Hamas yang tinggal di Malaysia.
Pertempuran antara tentera Israel dengan kumpulan bersenjata Palestin, yang bermula pada 10 Mei, dengan cepat bertambah buruk sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 21 Mei.
Gencatan senjata tersebut diumumkan pada 20 Mei menyusuli tekanan meningkat daripada masyarakat antarabangsa untuk menamatkan konflik itu, yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 254 rakyat Palestin dan 13 warga Israel.
MalaysiaNow menukil jurnal pertahanan yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Defense Security Asia sebagai menyatakan bahawa pesawat itu adalah pesawat ujian yang mungkin membawa peralatan radar dan intaian sensitif.
Jurnal itu yang memetik sumber-sumber, juga membayangkan bahawa pesawat itu digunakan untuk risikan isyarat rondaan maritim, risikan imej menggunakan radar bukaan sintetik (sistem radar aktif yang dapat menghasilkan gambar resolusi tinggi), dan sistem amaran awal atau pertahanan peluru berpandu untuk pesawat komersil.
Dalam bahasa tentera, risikan isyarat dan elektronik merujuk kepada pengumpulan risikan menerusi pemintasan isyarat untuk menentukan apa yang sedang diperkatakan atau di mana sumber isyarat itu.
Ini berbeza dengan agensi risikan yang boleh melakukan serangan.
ST Engineering tidak mendedahkan perincian mengenai ciri demonstrasi produk komersil itu atau apa yang dibawa oleh pesawat berkenaan.
Berdasarkan semakan Mediacorp di laman jejak penerbangan FlightRadar24, pesawat Boeing yang diubahsuai itu membuat beberapa pusingan di sebelah kawasan barat daya Singapura pada Isnin dan Selasa.
Singapura mempunyai sejarah panjang kerjasama dua hala dengan Israel, yang bermula sejak Republik membentuk pasukan pertahanan setelah berpisah dengan Malaysia pada 1965.
Sejak 2009, Angkatan Tentera Udara Republik Singapura juga telah mengendalikan pesawat amaran awal Gulfstream G550, yang membawa peralatan pengumpulan maklumat risikan yang dibangunkan oleh IAI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.