Skip to main content

Singapura

Pesawat Boeing 737 MAX 9 yang digantung di Amerika tidak terbang ke dan dari SG: CAAS

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat Boeing 737 MAX 9 yang digantung di Amerika tidak terbang ke dan dari SG: CAAS

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 09 Jan 2024 11:51PM Dikemas Kini : 10 Jan 2024 12:13AM
SINGAPURA: Sejenis pesawat yang mendarat di Amerika Syarikat (AS) selepas sebahagian badan pesawat pecah ketika dalam penerbangan, tidak terbang ke dan dari Singapura.

Demikian menurut pihak berkuasa di sini pada Selasa (9 Jan) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) membuat kenyataan tersebut selepas sebuah panel tingkap tercabut pada Jumaat daripada sebuah pesawat Boeing 737 MAX 9, kendalian Alaska Airlines.

Insiden berkenaan sekali gus mendorong Jabatan Penerbangan Persekutuan (FAA) untuk menggantung operasi 171 pesawat Boeing MAX 9, kendalian syarikat-syarikat penerbangan Amerika atau di wilayah Amerika, bagi menjalani pemeriksaan keselamatan.

"CAAS sedang berhubung rapat dengan FAA dan Boeing dan memantau isu itu dengan teliti," ujar Encik Alan Foo, pengarah kanan kumpulan peraturan keselamatan di CAAS, pada Selasa.

Seorang jurucakap bagi Singapore Airlines (SIA) mengatakan bahawa SIA dan pesawat tambang jimat Scoot tidak mengendalikan mana-mana pesawat Boeing 737 MAX 9, dan syarikat penerbangan itu tidak terjejas oleh arahan FAA.

Tujuh minit selepas berlepas dari Oregon di Amerika, sebahagian badan pesawat Alaska Airlines pecah.

Ini menimbulkan masalah tekanan dalam pesawat tersebut, menyebabkan pelitup oksigen jatuh dari siling. Sebuah lubang juga muncul di bahagian sisi pesawat.

Panel sedemikian menutup pintu keluar kecemasan yang tidak digunakan dalam pesawat, dan kelihatan serupa dengan tingkap biasa. Kedua-dua tempat duduk di sebelah panel berkenaan yang tercabut dalam pesawat Alaska Airlines kosong pada masa itu.

Tiada seorang pun daripada 171 penumpang, termasuk empat kanak-kanak yang tidak ditemani orang dewasa, tiga bayi yang duduk di pangkuan pengasuh mereka dan enam anak kapal, cedera parah semasa kejadian tersebut berlaku.

SEJARAH PESAWAT BOEING 737 MAX YANG BERMASALAH

Ini bukan kali pertama pesawat Boeing 737 menjadi tumpuan.

Pesawat jenis model 737 MAX 8, yang dikeluarkan sebelum 737 MAX 9, pernah terlibat dalam dua nahas maut yang mencetuskan krisis bagi pembuat pesawat AS dan penggantungan semua pesawat 737 MAX di seluruh dunia selama hampir dua tahun dari Mac 2019.

Walaupun Singapore Airlines mengendalikan 16 pesawat Boeing 737 MAX 8, model ini bukanlah subjek arahan terbaharu FAA, yang hanya berkaitan dengan 737 MAX 9.

APA YANG SEDANG DILAKUKAN SYARIKAT PENERBANGAN ITU BERIKUTAN INSIDEN INI?

Menurut firma analisis penerbangan Cirium, lapan syarikat penerbangan menggunakan pesawat Boeing 737 MAX 9 ialah: Alaska Airlines, United Airlines, Panama's Copa Airlines, Aeromexico, Turkish Airlines, Icelandair, FlyDubai dan SCAT Airlines di Kazakhstan.

Alaska Airlines telah membatalkan 60 penerbangan pada Ahad dan menyatakan bahawa gangguan terhadap penerbangan tersebut dijangka berterusan sehinga sekurang-kurangnya pertengahan minggu ini.

Sebagai respons kepada insiden Alaska Airlines, seorang jurucakap Boeing berkata bahawa firma tersebut "sedang berusaha untuk mengumpul lebih banyak maklumat dan berhubung dengan pelanggan syarikat penerbangan kami".

Syarikat itu juga menyatakan bahawa pihaknya menyokong sepenuhnya keputusan FAA untuk melakukan pemeriksaan ke atas pesawat 737 MAX 9 dengan konfigurasi yang serupa seperti pesawat yang terjejas berkenaan. Ia juga bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita