Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesanan beberapa penjual Lazada dibatalkan secara salah dek 'kesilapan operasi'

Anggaran Waktu Membaca:
Pesanan beberapa penjual Lazada dibatalkan secara salah dek 'kesilapan operasi'

Gambar: Facebook/ Lazada SG Seller Community

SINGAPURA: Beberapa penjual Lazada mendapati pesanan mereka dibatalkan secara salah sejak beberapa hari kebelakangan ini. Syarikat e-dagang itu menyatakan ia adalah "akibat kesilapan operasi".

Penjual-penjual itu merungut di media sosial dan berkongsi pengalaman masing-masing menerusi catatan di halaman Facebook, Lazada SG Seller Community, yang diuruskan oleh pasaran online tersebut.

Seorang penjual berkongsi mesej yang dikatakan dihantar oleh Lazada pada Isnin (21 Mac) malam, menyatakan bahawa ia "sedang menyiasat kejanggalan pembatalan pesanan awal", yang menjejaskan pesanan-pesanan yang dibuat dari 17 hingga 21 Mac.

Pesanan-pesanan yang dibuat dalam tempoh tersebut dibatalkan lantas menyebabkan pembeli menerima bayaran balik secara automatik.

Pembeli yang terjejas juga mungkin kehilangan baucar yang digunakan bagi membeli produk mereka kerana bayaran balik biasanya dikeluarkan hanya untuk jumlah yang dibayar.

Sebaliknya, beberapa penjual yang ditemu bual Mediacorp mengatakan mereka tidak pasti sama ada barang-barangan mereka, yang sebahagiannya sudahpun hantar, akan dikembalikan kepada mereka.

Penjual juga prihatin tentang kos lain, seperti buruh dan pengiklanan, yang ditanggung untuk pesanan yang dibatalkan.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Lazada menyatakan pada Selasa (22 Mac) bahawa syarikat itu memandang "serius insiden ini dan sudahpun mengambil langkah-langkah untuk mengelakkannya daripada berlaku sekali lagi".

Ia sudah memaklumkan kepada pelanggan yang terjejas dan memberikan baucar kepada mereka untuk memesan semula barang-barangan yang dibatalkan.

Lazada juga bekerjasama dengan penjual untuk memastikan "mereka tidak mengalami kerugian daripada insiden berkenaan".

Lazada enggan menyatakan berapa jumlah pesanan yang terjejas akibat kesilapan operasi itu.

Dalam perkembangan berasingan, pengguna Shopee - satu lagi laman membeli-belah - turut melaporkan mengalami kesukaran untuk mengakses wadah itu pada Selasa petang.

Salah seorang pegguna itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Gladys, berkata laman web itu tidak berfungsi dan kedua-dua pembeli mahupun penjual tidak dapat mengaksesnya. Masalah itu menghalang beliau daripada membuat 100 pesanan.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Shopee menyatakan pada Selasa malam bahawa aplikasi mudah alihnya sudah kembali beroperasi seperti sedia kala. Ia juga memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

Syarikat berkenaan bagaimanapun tidak menjelaskan tentang punca masalah yang menyebabkan gangguan pada awal hari itu.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan