Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesalah teruja dapat berbuka puasa bersama keluarga di rumah peralihan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Terjerat dalam kancah dadah, 'Ahmad', 71 tahun sudah enam kali keluar masuk penjara.

Dia masih menjalani hukuman dan sedang menjalani tempoh hukumannya di Pusat Peralihan Selarang.

'Ahmad' dijangka keluar penjara dan bebas sepenuhnya pada November 2025.

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

Buat masa ini, dia menjalani proses pemulihan dan dibenarkan keluar setiap hari untuk tugasnya sebagai pekerja pembersihan.

Apabila tibanya Ramadan, 'Ahmad' kembali rindukan detik menyambut bulan mulia ini bersama anak dan cucunya.

Ibarat bulan jatuh ke riba, 'Ahmad' mendapat khabar gembira bahawa dia berpeluang untuk berbuka puasa dengan anak dan cucunya di rumah peralihan itu.

Perasaan gembira itu tidak dapat digambarkannya.

"Saya rindukan cucu dan anak saya. Sudah lama saya berpisah sungguhpun mereka datang jumpa saya setiap minggu pun tapi tidak semesra seperti macam ini. Kali ini saya rasa terharu betul dapat berjumpa semua sekali rakan-rakan saya," kata Encik 'Ahmad' kepada wartawan Syawal Yusoff.

LEBIH 50 PENGHUNI, KELUARGA MAKAN SEDULANG

Ini merupakan hasil kerjasama antara Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan gerakan Bapa Sepanjang Hayat (BSH).

Majlis berbuka puasa yang berlangsung pada Khamis (4 Apr) itu diadakan buat pertama kalinya bagi menggalakkan bekas pesalah dalam proses integrasi diri mereka ke dalam masyarakat.

Lebih 50 penghuni dan keluarga mereka hadir untuk makan secara berdulang di rumah peralihan tersebut.

Selain sesi bergambar, setiap keluarga juga dapat membawa pulang pek habuan makanan sumbangan FairPrice Group yang turut hadir untuk bermesra dengan para penghuni dan keluarga mereka itu.

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

"Acara iftar amat penting untuk keluarga, anak-anak mereka, makan bersama, merapatkan silaturahim dan memahami tentang makan bersama," kata Pengerusi BSH, Bramsha Osman.

Prihatin tentang hubungan antara bapa dengan anak-anak, Encik Bramsha berkongsi pihaknya juga menganjurkan banyak kegiatan lain bersama pihak penjara.

SPS dan BSH juga sudah menjalinkan kerjasama sejak 2018.

"Setiap tahun kita akan bergabung dan bekerjasama dengan SPS untuk acara Hari Bapa. Selalunya kita buat kad Hari Bapa untuk anak-anak berikan kepada bapa-bapa yang di dalam (penjara). Semasa Hari Kanak-Kanak juga, kita akan mengundang anak-anak ke dalam penjara dan kita buat aktiviti supaya bapa dan anak-anak akan mencipta memori untuk mereka," tambah Encik Bramsha.

Dalam pada itu, Encik Bramhsa turut berkongsi lebih banyak kegiatan bersama Rumah Peralihan Selarang akan dianjurkan menjelang Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah pada Jun nanti.

Rumah Peralihan Selarang turut memahami keperluan para penghuninya yang beragama Islam di bulan Ramadan.

"Kami menyediakan juadah sahur dan berbuka kepada penduduk kami yang berpuasa. Kami juga menyesuaikan waktu mereka keluar supaya mereka ada waktu yang mencukupi untuk menunaikan kewajipan agama mereka sebelum mereka pulang ke Rumah Peralihan Selarang. Pihak Rumah Peralihan Selarang juga bekerjasama dengan pihak SPS untuk memberi cuti di rumah sekali sahaja kepada penduduk yang ada sokongan ahli keluarga mereka di musim perayaan," kata Pengurus Kes Reben Kuning, Fathin Afifah Mohamad Kambali.

BERITA Mediacorp difahamkan, mereka juga akan dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambut lebaran bersama keluarga mereka pada Hari Raya nanti.

SOKONGAN MENYELURUH KE ARAH INISIATIF PEMBETULAN 2030

Turut sama menyerikan acara itu ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau memuji usaha tersebut kerana dapat memberikan wadah yang positif kepada badan-badan kemasyarakatan untuk hulurkan sokongan selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Saya dapat melihat bahawa ekosistem sokongan dan pertolongan bagi para banduan dan juga keluarga mereka semakin kukuh. Saya harap kita boleh terus mengukuhkannya supaya kita mahukan setiap individu di Singapura bersama keluarga mereka untuk hidup dengan lebih baik, mendapatkan sokongan dan proses yang kita lakarkan untuk membangunkan Singapura lebih inklusif. Lebih banyak keihsanan yang kita berikan. Bukan sahaja daripada badan-badan sosial ataupun organisasi yang sedia ada tetapi daripada masyarakat," kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara.

Menurutnya, usaha menganjurkan majlis berbuka puasa tersebut adalah antara pendekatan lebih menyeluruh ke arah proses pemulihan Pembetulan 2030 yang diumumkan baru-baru ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan