Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesalah pengubahan wang haram berbilion dolar diusir Kemboja selepas dideportasi dari SG

Anggaran Waktu Membaca:
Pesalah pengubahan wang haram berbilion dolar diusir Kemboja selepas dideportasi dari SG

Rakyat China Zhang Ruijin (kiri) diusir dari Kemboja oleh Jabatan Imigresen Umum Kemboja (GDI) pada 16 Jun 2024. (Gambar: GDI Official/Facebook)

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 45 tahun, yang dihantar pulang ke Kemboja selepas dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan pada April lalu atas pelibatannya dalam salah satu kes pengubahan wang haram terbesar di Singapura, diusir dari negara tersebut.

Dalam satu catatan Facebook pada Rabu (17 Jul), Jabatan Imigresen Umum Kemboja (GDI) menyatakan Zhang Ruijin dihantar pulang sehari sebelumnya. Rakyat China itu berada di negara tersebut lebih sebulan selepas dia "diusir" dari Singapura.

GDI menyatakan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai Zhang serta pelibatannya dalam kes pengubahan wang haram berkenaan pada Selasa dan bahawa beliau sudahpun tiba di Kemboja pada 15 Jun selepas dihantar pulang.

Menurut jabatan tersebut, Timbalan Perdana Menteri Kemboja merangkap Menteri Dalan Negeri Sar Sokha mengarahkan GDI supaya mencari Zhang dan "melaksanakan prosedur-prosedur pengusiran" dari negara itu.

Kemboja merupakan salah satu anggota Kumpulan Asia/Pasifik berkait Pengubahan Wang Haram (APG), yang memastikan standard antipengubahan wang haram yang dipersetujui pada peringkat antarabangsa dikuatkuasakan sejajar dengan saranan-saranan Pasukan Bertindak Tindakan Kewangan (FATF), yang merupakan badan pemerhati jenayah kewangan antarabangsa.

GDI bagaimanapun tidak mendedahkan ke mana Zhang dihantar tetapi sedia maklum bahawa dia memegang pasport dari Saint Kitts dan Nevis, sebuah pulau kecil di Caribbean.

Zhang merupakan individu kelima daripada 10 yang tertuduh yang ditangani oleh mahkamah Singapura berhubung kes pengubahan wang haram bernilai S$3 bilion. Asetnya berjumlah kira-kira S$118 juta disita negara ini, iaitu sekitar 90 peratus daripada aset bernilai S$131 juta yang sebelumnya dirampas oleh pihak polis.

Kes tersebut, yang selesai pada Jun lalu, melibatkan 10 warga asing dan aset bernilai berbilion-bilion dolar termasuk wang tunai, hartanah mewah, barangan berjenama, mata wang kripto dan minuman keras.

Kira-kira S$944 juta aset dirampas berhubung 10 penjenayah yang terlibat dalam siasatan wang pengubahan wang haram terbesar di Singapura yang disita negara ini, sementara 10 individu yang didakwa dipenjara antara 13 dengan 17 bulan.

Siasatan masih dijalankan ke atas 17 suspek lain, yang tidak berada di Singapura buat masa ini. Aset yang dikaitkan dengan suspek-suspek terbabit membentuk baki S$3 bilion yang dirampas itu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan