Pesalah dadah baru bentuk jumlah 'besar' mereka yang ditangkap pada 2021

(Gambar: CNB)
SINGAPURA: Sebahagian "besar" pesalah dadah yang ditangkap pada 2021 merupakan pesalah baru, dengan kebanyakan daripada mereka berusia bawah 30 tahun.
Demikian menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) hari ini (10 Feb).
Menurut laporan statistik pada 2021, biro tersebut menangkap seramai 2,724 pesalah dadah, turun 11 peratus daripada 3,056 individu yang ditangkap tahun lepas.
"Kemerosotan itu mungkin disebabkan interaksi sosial yang dihadkan menyusuli langkah-langkah COVID-19," lapor biro tersebut.
Kira-kira 34 peratus daripada mereka yang ditangkap tahun lalu merupakan pesalah dadah baru, daripadanya 60 peratus berusia bawah 30 tahun, menurut laporan berkenaan.
Jumlah pesalah dadah baru yang ditangkap merosot 19 peratus kepada 937 pada 2021.
Jumlah pesalah dadah baru itu merupakan "trend yang membimbangkan", menurut CNB.
Methamphetamine, heroin dan ganja merupakan tiga dadah yang paling disalahgunakan di Singapura. Kira-kira 92 peratus yang ditangkap menyalahgunakan sekurang-kurangnya satu daripada tiga dadah tersebut.
Daripada kelompok pesalah baru yang ditangkap pada 2021, sekitar 76 peratus menggunakan meth, menurut laporan tersebut.
Terdapat juga "trend pengedaran meth yang semakin meningkat" dan "membimbangkan", menurut CNB.
Jumlah pesalah berulang yang ditangkap jatuh enam peratus kepada 1,787 pada 2021, menurut laporan tersebut lagi.
JUMLAH GANJA YANG DIRAMPAS NAIK 144%
Tahun lalu, CNB mengendalikan operasi penguatkuasaan yang mematahkan 25 sindiket dadah. Dadah yang dirampas pada 2021 nilai anggarannya kira-kira S$18.16 juta.
Jumlah heroin yang dirampas naik 31 peratus kepada 95.45 kilogram pada 2021, berbanding 72.70 kilogram pada 2020.
Manakala jumlah ganja yang dirampas melambung sebanyak 144 peratus kepada 105.18 kilogram pada 2021, naik daripada 43.10 kilogram pada 2020.
Jumlah dadah 'Ice' yang dirampas pula naik tiga peratus kepada 48.11 kilogram pada 2021, berbanding 46.81 kilogram pada 2020.
Menurut laporan CNB itu, jumlah pesalah dadah daripada kaum Cina, Melayu dan India merosot tahun lalu, dengan jumlah pesalah mengikut kaum itu serupa dengan 2020.
Kira-kira 33 peratus pesalah yang diberkas tahun lalu di bawah usia 30 tahun dan kelompok usia antara 20 dengangga 29 tahun kekal sebagai kumpulan yang paling besar.
Jumlah pesalah dadah yang berusia 50an tahun juga naik, sebanyak 16 peratus.
Singapura "kekal tegas" mengambil strategi menyeluruh kawalan dadah, yang menangani permintaan dan juga bekalan dadah. Pendirian tidak bertolak ansur terhadap dadah merupakan "pendekatan yang terbaik" bagi Singapura, menurut CNB.
Pendidikan mencegah dadah, undang-undang tegas antidadah, penguatkuasaan yang ketat, pelibatan antarabangsa serta pemulihan dan pemantauan para pesalah dadah merupakan sebahagian daripada strategi tersebut.
Pendidikan kekal sebagai "benteng utama", menurut biro tersebut lagi.
"Ia bertujuan mengurangkan permintaan bagi dadah dengan mendidik anak-anak muda tentang bahaya bergantung kepada dadah dan melibatkan rakan-rakan masyarakat serta orang awam untuk mengekalkan kesepakatan di peringkat nasional kepada sikap tidak bertolak ansur apabila berdepan dengan penyalahgunaan dadah," tambah CNB.
"Menerusi pendidikan awam yang berkesan, kami berharap untuk menyekat penyalahgunaan dadah sebelum ia menimbulkan masalah-masalah sosial lain dan mendatangkan kemudaratan kepada para pesalah dadah dan juga keluarga mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.