Skip to main content

Singapura

Pesalah dadah baru bawah 30 tahun bentuk 60% diberkas, trend 'membimbangkan', kata Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
Pesalah dadah baru bawah 30 tahun bentuk 60% diberkas, trend 'membimbangkan', kata Dr Faishal

Biro Narkotik Pusat (CNB). (Gambar: Laman web HomeTeam)

Diterbitkan : 10 Feb 2022 10:27PM Dikemas Kini : 11 Feb 2022 01:55PM

SINGAPURA: Jumlah pesalah dadah yang berusia 30 tahun dan ke bawah terus membentuk 60 peratus pesalah baru yang diberkas dan ini adalah trend "yang membimbangkan".

Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim menerusi catatan di laman Facebooknya hari ini (10 Feb).

Lantaran itu, beliau berkata perlu untuk menekankan kepada golongan remaja tentang bahaya dan kesan penyalahgunaan dadah.

Tahun lalu, jumlah pesalah dadah yang diberks merosot  11 peratus manakala jumlah pesalah dadah baru pula turun 19 peratus. 

Kemerosotan itu mungkin disebabkan interaksi sosial yang dihadkan menyusuli langkah-langkah COVID-19, menurut laporan Biro Narkotik Pusat (CNB) hari ini.

“Penguatkuasaan ketat oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) telah membantu Singapura memerangi ancaman dadah. Ini penting kerana jumlah besar dadah yang dirampas tahun lalu menunjukkan bahawa sindiket dadah akan terus mencari cara kreatif untuk memperolehi dan mengedarkan dadah, seperti melalui aplikasi selamat bagi penghantaran dan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV)," kata Dr Faishal.

Menurut laporan CNB juga, sebahagian "besar" pesalah dadah yang ditangkap pada 2021 merupakan pesalah baru, dengan kebanyakan daripada mereka berusia bawah 30 tahun.

“Ia adalah trend yang membimbangkan bahawa jumlah orang muda (mereka yang berumur di bawah 30 tahun) terus membentuk 60 peratus pesalah dadah baru yang diberkas,” menurut Dr Faishal.

Beliau menambah, sesetengah negara lain - yang gagal menangani masalah dadah dengan berkesan - mengambil pendekatan strategi pengurangan bahaya atau tidak menganggapnya sebagai satu jenayah atau membenarkannya di sisi undang-undang.

“Oleh itu, kita perlu memberi kesedaran kepada remaja kita tentang bahaya dan akibat daripada penyalahgunaan dadah. Dadah bukan sahaja memudaratkan pesalah dadah, tetapi rakan dan keluarga mereka juga.”

Dr Faishal juga mengalu-alukan orang ramai supaya menyumbang usaha dalam membina Singapura sebagai negara yang bebas dadah.

“Saya menyeru semua orang untuk membantu menjadikan Singapura sebuah negara bebas dadah untuk generasi kita akan datang”, ujar beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/KF/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita