Skip to main content

Singapura

Pesalah berulang, dipenjara setahun selepas cabul remaja dua kali dalam bas

Anggaran Waktu Membaca:
Pesalah berulang, dipenjara setahun selepas cabul remaja dua kali dalam bas

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 19 Jul 2023 10:21PM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang merupakan pesalah berulang yang mencabul wanita dalam pengangkutan awam dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada Rabu (19 Jul) selepas mengaku bersalah terhadap satu tuduhan mencabul kehormatan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di dalam bas.

Ho Ah Chye, 57 tahun, yang bekerja sebagai pembantu di kedai kopi pada masa itu, menyasarkan remaja yang berpakaian seragam sekolah menengah itu sekali lagi. Ho telah mencabulnya sebulan sebelum itu dalam bas di laluan yang sama.

Insiden pertama ini diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Ho juga pernah didapati bersalah bagi kesalahan serupa pada tahun 2019 dan 2021, di mana dirujuk ke pakar psikologi di Institut Kesihatan Mental (IMH) selepas dibebaskan dari penjara pada Februari lalu untuk menjalani sesi psikoterapi.

Tidak dinyatakan sama ada sesi itu adalah keperluan wajib diarahkan mahkamah untuk membantu mencegahnya mengulangi kesalahan.

Nama mangsa tidak boleh disiarkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya.

APA YANG BERLAKU

Mahkamah diberitahu bahawa pada 20 April lalu, Ho telah menaiki bas SBS Transit dua tingkat untuk ke kerja.

Apabila dia naik ke tingkat atas bas itu, Ho ternampak remaja 14 tahun itu dan masih ingat mangsa pernah dicabulnya.

Meskipun, ada banyak tempat duduk yang kosong, Ho memilih untuk duduk di antara remaja itu dan seorang penumpang lain.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Huo Jiongrui berkata, mangsa turut mengenali Ho sebagai orang yang mencabulnya sebulan lalu tetapi berasa takut dan tidak tahu apa yang boleh dia boleh buat.

Ketika bas itu dalam perjalanan di Ekspreswe Tampines (TPE), Ho meletakkan tangan kanannya pada paha kiri remaja itu di atas skirt seragam sekolahnya.

Meski mangsa menolaknya, Ho menjadi semakin berani dan meletakkan tangan ke dalam skirt mangsa.

Menurut dokumen mahkamah mangsa berasa takut kerana tidak dapat melarikan diri kerana Ho menghalang laluannya.

Pada ketika itu, Encik Koh Ming Bin, 23 tahun, yang duduk di sebelah lagi Ho kebetulan menoleh ke arahnya dan melihat tangan kanan Ho di dalam skirt remaja itu.

Ho kemudian dengan pantas menarik tangannya dan cuba bangun dari tempat duduk untuk melarikan diri tetapi Encik Koh menghalangnya dan menghubungi polis.

Encik Koh kemudian turun untuk memaklumkan kepada pemandu bas mengenai kejadian itu.

Pemandu bas itu menghentikan bas di Pasir Ris Drive 1 dan mengarahkan semua penumpang lain untuk turun kecuali Ho, Encik Koh dan remaja itu. Dia kemudian mengunci pintu bas untuk menunggu ketibaan polis.

Ho boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau dirotan, atau mana-mana gabungan hukuman ini kerana mencabul remaja itu.
Sumber : Today/AT/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita