Skip to main content

Singapura

Pesalah berulang dipenjara 4 tahun; cabul kehormatan lelaki muda dalam bas awam, stesen MRT

Seorang lelaki berusia 53 tahun dipenjara empat tahun pada Jumaat (5 Nov) kerana meraba lelaki muda di dalam bas awam dan stesen kereta api. Mangsanya termasuk seorang budak berusia 12 tahun. Pelaku itu mempunyai sejarah panjang melakukan jenayah mencabul kehormatan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pesalah berulang dipenjara 4 tahun; cabul kehormatan lelaki muda dalam bas awam, stesen MRT

Gambar fail: Jeremy Long

Diterbitkan : 05 Nov 2021 03:27PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 03:56PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 53 tahun dipenjara empat tahun pada Jumaat (5 Nov) kerana meraba lelaki muda di dalam bas awam dan stesen kereta api. Mangsanya termasuk seorang budak berusia 12 tahun. Pelaku itu mempunyai sejarah panjang melakukan jenayah mencabul kehormatan.

Nooraman Mohd Noor mengaku bersalah di mahkamah atas dua tuduhan mencabul kehormatan. Dua lagi tuduhan serupa dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Hukumannya bermula pada 10 Februari apabila dia pertama kali ditahan reman.

Peguam Nooraman, Sofia Bakhash, memberitahu Mediacorp bahawa anak guamnya mengalami skizofrenia dan keadaannya itu ada kaitan penyumbang kepada jenayah yang dilakukan.

Seorang pakar psikiatri di Institut Kesihatan Mental (IMH) berkata dalam satu laporan perubatan bahawa Nooraman berisiko tinggi mengulangi kesalahannya dan "amat kurang faham tentang keadaannya serta memerlukan ubat psikiatrik".

Temu bual Nooraman bersama IMH dan tingkah lakunya di mahkamah sebelum ini juga mencadangkan dia tidak berhasrat untuk mengambil ubat, kata pakar psikiatri itu.

Nooraman pernah dipenjarakan enam kali sejak 1997 dan mengulangi kesalahannya sebaik dibebaskan.

Pada 2013, dia dipenjara dua tahun dan dikenakan empat sebatan rotan kerana mencabul kehormatan seorang belia berusia 19 tahun dalam bas awam SBS Transit.

Pada 2019 pula, dia dipenjara dua tahun dengan tambahan tiga bulan sebagai ganti kepada sebatan rotan, kerana mencabul kehormatan seorang lelaki 31 tahun di dalam kereta api.

APA PULA YANG BERLAKU KALI INI

Mahkamah diberitahu bahawa pada 21 Januari 2021, Nooraman menyasarkan seorang pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun yang menaiki bas SBS Transit nombor 22.

Nooraman duduk di sebelah budak lelaki itu di barisan paling belakang bas, menyelubungi dirinya dengan kemeja lengan panjang dan sandar ke arah remaja berkenaan.

Remaja itu kemudian merasakan bahagian sulitnya diraba.

Budak itu bingkas bangun dengan Nooraman terus merenungnya sehinggalah pelajar berkenaan turun dari bas.

Lebih dua minggu kemudian pada 8 Februari, Nooraman dan seorang penuntut politeknik, 20 tahun, menaiki bas Tower Transit nombor 169 apabila Nooraman meraba alat sulit pelajar itu.

Mangsa menghubungi polis dan memaklumkan bahawa Nooraman sedang berjalan menuju ke kantin di Politeknik Republik dengan berpakaian jeans serta baju pendek.

Pelajar berkenaan menambah: "Lelaki itu berpakaian wanita dan datang serta meraba alat sulit saya, saya langsung jauhinya. Saya ternampak dia meraba alat sulit lelaki lain juga."

Pada hari yang sama, Nooaraman meraba seorang remaja berumur 18 ketika mangsa sedang turun dari bas. Mangsa seterusnya pada hari berkenaan adalah budak lelaki, 12 tahun. Dia mencabul mangsa di Stesen MRT Ang Mo Kio dari belakang ketika berada di tangga bergerak.

Nooraman menangis di mahkamah apabila seorang jurubahasa membacakan keputusan hakim.

Nooraman kemudian bertanya sama ada dia boleh dikenakan hukuman lebih ringan tetapi Hakim Daerah Mesenas berkata beliau sudahpun mengenakan hukuman yang ringan.

Mereka yang didapati bersalah mencabul kehormatan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau disebat atau mana-mana gabungan ketiga-tiga hukuman itu.

Di bawah undang-undang, pesalah berusia 50 tahun atau lebih tua tidak boleh disebat.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita