Pesalah berulang dipenjara 18 bulan kerana curi 70 tin susu tepung yang dijual semula untuk raih untung

Gambar: CNA
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 38 tahun dijatuhi hukuman penjara 18 bulan pada Ahad (7 Ogos) kerana mencuri 70 tin susu tepung dari pasar raya, yang kemudiannya dijual semula untuk meraih keuntungan.
James Ho mencuri susu tepung bernilai S$6,700 antara Oktober hingga Disember 2021. Dia juga mengaku menerima empat tin susu tepung yang dicuri, bernilai kira-kira S$480.
Dia mengaku bersalah atas lima tuduhan mencuri, dengan lagi 14 tuduhan diambil kira.
Ho dijatuhi hukuman tambahan 233 hari di penjara memandangkan dia melakukan kesalahan tersebut sementara berada di bawah perintah pengampunan untuk hukumannya sebelum ini. Dia didakwa atas kesalahan mencuri yang serupa pada Mac 2020 tetapi melakukan kesalahan tersebut lagi tidak lama kemudian setelah dibebaskan.
Dalam kes yang terbaru ini, dia dipercayai mencuri majoritinya dari pasar raya Sheng Siong di cawangan berbeza serta dua cawangan NTUC FairPrice.
Bagi setiap tuduhan mencuri, Ho boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.