Pesalah berulang dijel lagi ambil gambar bawah skirt guna kamera dalam kasut
Seorang pesalah berulang yang sudah beberapa kali diberkas memetik gambar bawah skirt sepanjang lima tahun lalu, dihukum penjara lagi selepas mengulangi kesalahan itu sebaik sahaja dibebaskan dari penjara.

Gambar hiasan.
SINGAPURA: Seorang pesalah berulang yang sudah beberapa kali diberkas memetik gambar bawah skirt sepanjang lima tahun lalu, dihukum penjara lagi selepas mengulangi kesalahan itu sebaik sahaja dibebaskan dari penjara.
Cara dia melakukan jenayah itu tidak berubah dengan menggunakan kamera yang disembunyikan dalam kasutnya.
Tham Heng Yew, 29 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 bulan pada Isnin (15 Nov). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan mengintai dengan tuduhan kedua diambil kira.
Tham dihukum penjara 44 minggu pada Mac 2020 atas 30 tuduhan, sebahagian besarnya kerana mencabuli kehormatan wanita dengan lagi 138 tuduhan diambil kira.
Dia memotong lubang di dalam kasut untuk menyelitkan telefonnya di dalam dengan kamera menghadap ke atas. Tham kemudian merakam video bawah skirt wanita sedang dia berjalan-jalan di pusat beli-belah dan di sekolahnya.
Tidak lama selepas dibebaskan, Tham melakukan kesalahan lagi.
Pada 21 Januari tahun ini, dia telah pergi ke cawangan Daiso di Plaza Singapura. Seorang wanita yang sedang berbelanja di situ mendapati Tham mengekorinya dan berada dekat dengannya.
Beliau mendapati kaki Tham rapat dengan kakinya dan terdapat lubang di bahagian atas kasutnya itu. Mangsa juga ternampak lensa kamera dalam lubang itu.
Wanita itu menunggu hingga Tham meninggalkan cawangan itu sebelum memanggil teman lelakinya untuk memberitahu tentang apa yang berlaku. Mereka memaklumkan kepada kakitangan Daiso yang membuat panggilan kepada pengawal keselamatan pusat beli-belah itu.
Tham cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan teman lelaki wanita itu. Pengawal keselamatan kemudian menahannya hingga polis tiba dan merampas telefonnya.
Siasatan menunjukkan Tham pergi pusat ke beli-belah itu untuk merakam video bawah skirt dan menggunakan gunting untuk menusuk lubang di bahagian atas kasut kirinya untuk menyembunyikan telefon bagi merakam video bawah skirt wanita.
Antara 6.00 petang dengan 7.45 malam pada hari itu, dia merakam lima video bawah skirt keseluruhannya.
Dalam membuat rayuan, Tham berkata dia amat menyesali perbuatannya itu dan ketika melakukan kesalahan tersebut dia dalam keadaan "amat buntu" dan "sedih".
Menurutnya dia gagal mendapatkan kerja selepas keluar dari jel dan dia merasa "amat murung".
Bagi kesalahan mengintai, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.