Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesalah berulang bentuk lebih separuh dari 558 syarikat melanggar keselamatan tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Nov 2022 04:43PM Dikemas Kini : 29 Nov 2022 08:34PM
SINGAPURA: Pesalah berulang membentuk lebih separuh daripada 558 firma yang didenda kerana melanggar peraturan keselamatan di tempat kerja dalam satu operasi penguatkuasaan baru-baru ini, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad di Parlimen pada Selasa (29 Nov).

Jumlah tersebut dicatatkan meskipun tempoh "keselamatan dipertingkatkan" selama enam bulan dari 1 September hingga 28 Februari tahun depan, serta "peringatan berulang" oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), katanya.

Operasi penguatkuasaan MOM yang dijalankan dari 15 Ogos hingga 17 Okt bertujuan untuk mengurangkan kejadian pekerja tergelincir, tersandung dan terjatuh, yang merupakan punca utama kecederaan di tempat kerja pada separuh pertama tahun ini.

Pesalah berulang menerima denda lebih berat seperti denda komposisi lebih tinggi berbanding pesalah kali pertama, kata Encik Zaqy dalam responsnya kepada Anggota Parlimen (AP) Melvin Yong (PAP-Radin Mas).

Syarikat-syarikat yang mempunyai prestasi keselamatan dan kesihatan (WSH) yang buruk juga kerap diperiksa.

"Sebagai contoh, DA Engineering Pte Ltd, pesalah berulang, dikenakan arahan berhenti kerja dan didenda S$8,000 apabila operasi penguatkuasaan mendapati sejumlah keadaan tidak selamat di tempat kerja tersebut," katanya.

Secara keseluruhan, 1,828 tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 588 syarikat, merangkumi sektor binaan, pengeluaran pengangkutan dan penyimpanan, serta sektor penginapan dan perkhidmatan makanan.

Operasi itu menemui pelanggaran biasa seperti keadaan membahayakan yang tidak dikenalpasti ketika penilaian risiko, langkah pengawalan tidak dilaksanakan bagi lantai yang tidak dijaga dengan baik, serta pekerja tidak memakai kasut yang sesuai, kata Encik Zaqy.

Beliau menambah bahawa "peningkatan ketara" bagi amalan tidak selamat di tempat kerja menjangkaui denda yang dikenakan.

Oleh itu, MOM memerlukan syarikat-syarikat yang mana pekerjanya mengalami kecederan parah, supaya mendapatkan khidmat juruaudit untuk melakukan semakan menyeluruh terhadap amalan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terbabit, dan melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah insiden tersebut dari berulang, kata Encik Zaqy.

Di bawah program StarSAFE yang dimulakan oleh Majlis WSH, syarikat kecil dan sederhana mempunyai akses kepada perunding keselamatan dan kesihatan yang menyediakan nasihat profesional dan bimbingan secara amali.

Sebelum 1 September, secara purata terdapat hampir 4.5 kemalangan membawa maut setiap bulan. Kadar tersebut jatuh kepada sekitar dua setiap bulan selepas tempoh "keselamatan dipertingkat" dilaksanakan, kata Encik Zaqy.

Lebih 30 syarikat diarah mendapatkan khidmat juruaudit luar untuk menyemak proses keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Dua firma dilarang mengambil pekerja asing baru sehingga tiga bulan, dan CEO syarikat terbabit perlu bertanggungjawab kepada MOM untuk membetulkan kesilapan mereka, kata Encik Zaqy.

Setakat ini, sebanyak 42 kematian di tempat kerja dicatatkan di Singapura tahun ini, melebihi 37 kematian yang dilaporan pada 2021.

Kematian terbaru dilaporkan pada 25 November dan 26 November.
Singapura melaporkan kadar kematian di tempat kerja yang lebih tinggi pada separuh pertama tahun ini, dengan kadar kematian 0.8 bagi setiap 100,000 pekerja.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan