Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesalah bentan ditahan 12 tahun setelah cabul kehormatan murid 10 tahun

Sekitar 10 bulan setelah dibebaskan daripada penahanan pencegahan selama 10 tahun atas kesalahan mencabul mangsa bawah umur, seorang lelaki berusia 61 tahun sekali lagi melakukan kesalahan serupa dengan menyerang seorang kanak-kanak perempuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesalah bentan ditahan 12 tahun setelah cabul kehormatan murid 10 tahun

(Gambar: Unsplash/Joseph Chan)

Diterbitkan : 18 Jan 2021 03:27PM Dikemas Kini : 18 Jan 2021 03:29PM

SINGAPURA: Sekitar 10 bulan setelah dibebaskan daripada penahanan pencegahan selama 10 tahun atas kesalahan mencabul mangsa bawah umur, seorang lelaki berusia 61 tahun sekali lagi melakukan kesalahan serupa dengan menyerang seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Salim Abdul Rahman, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah pusat beli-belah ketika melakukan kesalahan tersebut, dikenakan penahanan pencegahan selama 12 tahun pada Isnin (18 Jan) atas satu tuduhan mencabul budak bawah umur, dengan dua lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Penahanan pencegahan dikenakan ke atas pesalah bentan bagi melindungi orang awam daripada pesalah sedemikian. Hukuman penjara yang dijatuhkan adalah antara tujuh hingga 20 tahun, dengan tiada kelonggaran diberikan sekalipun jika pesalah menunjukkan kelakuan yang baik.

Salim dikenakan penahanan pencegahan 10 tahun pada 2009 atas beberapa tuduhan mencabul budak bawah umur. Dia dibebaskan pada lewat Disember 2019 dan mula bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan di sebuah pusat beli-belah di Serangoon.

Pada 1 Okt tahun lalu, dia ternampak seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang memakai uniform sekolah menaiki bas yang sama dengannya. Dia turun dari bas berkenaan di perhentian bas yang sama dengan murid Darjah 4 itu dan menghampirinya dengan "niat yang jahat", menurut mahkamah.

Dia menghampiri budak perempuan itu ketika dia sedang berjalan dan menyentuh bahunya. Dia bertanya di mana mangsa tinggal dan sekolah mana dia bersekolah, tetapi budak tersebut tidak menjawabnya kerana dia tidak mengenali Salim.

Salim berkeras mahu terus berbual dengan budak perempuan itu, sambil memberinya S$1.50. Budak perempuan itu mengambil wang itu kerana dia takut ia akan membuat Salim marah jika dia menolaknya.

Salim memegang tangan budak itu lalu menyuruh budak tersebut mengikutnya ke rumahnya. Dia membawa mangsa ke bahagian tangga di sebuah blok HDB, tetapi mangsa enggan menurutinya dengan berkata bahawa dia mahu pulang ke rumah untuk makan tengah hari.

Salim kemudian mencabul mangsa. Budak perempuan yang ketakutan itu bergegas pulang dan menangis apabila bertemu dengan datuk dan neneknya, yang kemudian membawa budak perempuan itu untuk membuat aduan polis.

Identiti Salim dikenal pasti dan dia diberkas pada hari yang sama dan direman selepas itu. Keadaannya dinilai di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan dia didapati tidak mengalami sebarang gangguan psikiatri atau penyakit. Dia dinilai berisiko tinggi melakukan kesalahan sekali lagi.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan