Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesalah bentan didenda S$16 juta, dijel 39 bulan atas kesalahan rokok seludup

Seorang lelaki warga Singapura didenda S$16 juta dan dipenjara 39 bulan atas kesalahan berkaitan urusan rokok tidak dibayar cukai, menurut Kastam Singapura hari ini (1 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Jul 2021 11:43AM Dikemas Kini : 01 Jul 2021 09:51PM

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura didenda S$16 juta dan dipenjara 39 bulan atas kesalahan berkaitan urusan rokok tidak dibayar cukai, menurut Kastam Singapura hari ini (1 Jul).

Loh Hu Seong dihantar pulang dari Malaysia dan ditahan Kastam Singapura pada 15 Januari lalu bagi jenayah-jenayah terbarunya.

Sebagai seorang pesalah berulang, Kastam Singapura menyatakan lelaki berusia 58 tahun itu dijatuhi "hukuman lebih berat" bagi kes terkininya.

Pada 25 Jun, Mahkamah Negara menjatuhkan hukuman penjara selama 39 bulan dan didenda S$16,001,500 ke atas Loh kerana terkait dengan rokok tidak dibayar cukai di bawah Akta Kastam. Ini selain peranannya berkomplot dalam urus niaga rokok tidak dibayar cukai di bawah Kanun Jenayah.

Memandangkan Loh tidak membayar denda, Kastam Singapura menyatakan dia akan menjalani tempoh penjara tambahan selama 25 bulan dan satu hari.

SOROK ROKOK DI BAHAGIAN MESIN PENGOREK

Siasatan mendedahkan bahawa sekitar September 2018, Loh berkomplot dengan seorang lelaki Malaysia dan seorang lagi lelaki yang tidak diketahui untuk menyeludup rokok tidak dibayar cukai dari Malaysia ke Singapura.

Dia dijanjikan upah sebanyak S$1,000 hingga S$2,000 bagi setiap penghantaran yang lolos.

Loh dan lelaki Malaysia itu memasuki Singapura pada 14 September 2018 untuk mencari bahagian mesin pengorek bagi digunakan sebagai penutup kepada muatan yang berisi rokok tidak dibayar cukai.

Pada masa yang sama, mereka juga mencari gudang dan Loh akhirnya menyewa sebuah unit perindustrian di Tuas South Street 1 bagi kegunaan menanggalkan dan mendapatkan rokok itu. Siasatan sedang dijalankan ke atas lelaki Malaysia berkenaan, menurut Kastam Singapura.

Kastam Singapura kemudian melancarkan operasi pada 7 November 2018 di sebuah unit perindustrian di Tuas South Street 1 dan menemui 5,428 karton serta 25 paket rokok tidak dibayar cukai tersembunyi di dalam bahagian penggali sebuah mesin pengorek dikitar semula, diimport dari Malaysia.

Menurut Kastam Singapura, lima lelaki kemudian ditangkap dan mereka sudahpun ditangani secara berasingan.

Jumlah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dielakkan masing-masing berjumlah sekitar S$514,900 dan S$37,510.

Atas peranannya dalam kes ini, Loh disabit kesalahan di bawah Akta Kastam kerana berurusan dengan barang yang tidak diisytiharkan. Tuduhan lain berkaitan dengan GST yang dielakkan daripada rokok tanpa cukai turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Siasatan mendedahkan bahawa antara September hingga Oktober 2018, Loh terlibat dalam satu komplot jenayah bersama seorang lelaki Singapura.

Dia membeli penggali mesin pengorek dari lelaki berkenaan dan memberitahunya bahawa lubang-lubang perlu dibuat pada mesin tersebut untuk menyembunyikan rokok tidak dibayar cukai itu.

Atas peranannya dalam skim ini, Loh disabit kesalahan di bawah Kanun Jenayah kerana terlibat dalam konspirasi jenayah untuk berurus niaga dengan rokok tidak dibayar cukai. Prosiding mahkamah terhadap lelaki Singapura itu sedang dijalankan.

SABIT KESALAHAN SEBELUM INI PADA 2016

Loh sebelum ini disabit pada 6 September 2016 dan dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana berurus niaga dengan rokok tidak dibayar cukai dengan cukai serta GST yang dielakkan masing-masing bernilai S$136,570 dan S$13,740

Penolong Ketua Pengarah Kastam Singapura (Risikan dan Siasatan) Yeo Sew Meng mengatakan hukuman penjara dan denda itu sebagai peringatan hukuman berat yang dihadapi oleh pesalah.

Perbuatan membeli, menjual, menyampaikan, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurus niaga dengan barangan tidak dibayar cukai adalah satu kesalahan yang serius di bawah Akta Kastam serta Akta GST.

Pesalah boleh didenda sehingga 40 kali jumlah cukai atau GST yang dielak dan/atau dipenjara sehingga enam tahun.

Pesalah berulang yang ditangkap dengan lebih 2 kilogram produk tembakau juga akan menghadapi hukuman penjara.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan