Skip to main content

Singapura

Pesalah belia kerap berdepan cabaran habiskan probesyen; perlu sokongan keluarga

Pesalah lebih muda kerap berdepan dengan cabaran menghabiskan perintah probesyen disebabkan pelbagai faktor individu dan sosial seperti sikap terburu-buru dan mudah dipengaruhi rakan-rakan, menurut Kementerian Pembangunan Keluarga dan Sosial (MSF).

Anggaran Waktu Membaca:
Pesalah belia kerap berdepan cabaran habiskan probesyen; perlu sokongan keluarga
Diterbitkan : 26 Jun 2021 10:15AM Dikemas Kini : 26 Jun 2021 01:33PM

SINGAPURA: Pesalah lebih muda lebih berdepan dengan cabaran menghabiskan perintah probesyen disebabkan pelbagai faktor individu dan sosial seperti sikap terburu-buru dan mudah dipengaruhi rakan-rakan, menurut Kementerian Pembangunan Keluarga dan Sosial (MSF).

Menurut laporan tahunan kementerian tersebut yang diterbitkan awal bulan ini, kadar pesalah yang menghabiskan arahan probesyen oleh Mahkamah Belia, menurun buat dua tahun berturut-turut pada 2020.

Ia 73 peratus pada 2018 sebelum turun kepada 66 peratus pada 2019 dan 64 peratus pada 2020.

Kadar menghabiskan arahan probesyen paling rendah dalam kalangan mereka bawah 16 tahun iaitu pada 66 peratus tahun lalu.

"Para belia di peringkat perkembangan ini rata-rata lebih mengikut gerak hati, lebih berkemahuan untuk kepuasan mereka segara dipenuhi, mudah dipengaruhi rakan-rakan dan masih sedang membangunkan fungsi kognitif mereka.

"Ini boleh menyebabkan mereka menghadapi lebih banyak cabaran dalam membuat keputusan yang munasabah dan berfikir tentang kesan daripada tingkah laku mereka apabila berdepan dengan situasi-situasi berisiko," kata seorang jurucakap MSF.

Kementerian itu juga mengemukakan faktor lain seperti penyertaan belia dalam tenaga kerja atau dalam pendidikan.

"Faktor-faktor individu seperti kawalan kendiri, daya tindak, penyertaan dalam kegiatan-kegiatan membina seperti pendidikan atau pekerjaan dan kecekapan sosial juga boleh mempengaruhi mereka dalam menghabiskan perintah probesyen," tambah beliau.

Malah, kadar menghabiskan perintah probesyen juga terjejas dengan keadaan keluarga, pengawasan keluarga dan penglibatan mereka dalam kegiatan-kegiatan, pendidikan atau pekerjaan belia itu, menurut jurucakap itu lagi.

KADAR MENGHABISKAN PERINTAH PROBESYEN BAGI MEREKA BAWAH 16 TAHUN

Bagi para pesalah bawah 16 tahun yang didakwa di Mahkamah Belia, MSF menyatakan mereka biasanya mempunyai "risiko dan keperluan lebih tinggi".

"Ini mungkin boleh menjelaskan kes-kes lebih rumit yang diletakkan di bawah arahan probesyen oleh Mahkamah Belia. Para belia ini biasanya pernah melanggar undang-undang, bercampur dengan rakan-rakan yang cenderung melakukan jenayah dan menjalani gaya hidup atau mempunyai tabiat mengambil risiko lantas memerlukan campur tangan yang lebih intensif," kata jurucakap MSF itu.

Namun, jumlah pesalah bawah 16 tahun yang dikenakan tuduhan semakin berkurangan sepanjang tahun-tahun sudah.

"Ini sebahagiannya disebabkan pendekatan mengalihkan pesalah belia kali pertama yang melakukan kesalahan kecil daripada perlu hadir di mahkamah, susuli siasatan polis," dedah MSF sambil menambah bahawa para pesalah itu sebaliknya boleh dikehendaki menjalani program-program pemulihan yang dikendalikan oleh agensi-agensi khidmat sosial.

"Ini memberi para belia peluang mendapatkan bimbingan dalam masyarakat tanpa didedahkan kepada sistem mahkamah," tambah kementerian itu.

Kebanyakan mereka yang dikenakan arahan probesyen dari mahkamah tahun lalu melakukan kesalahan berhubung pencurian dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja. "Sebahagian kecil" terbabit dalam pinjaman wang haram, vandalisme dan perbuatan nakal.

MANFAAT TEKONOLOGI, SANTUNI KELUARGA

Dengan profil-profil pesalah yang lebih kompleks, ada keperluan untuk memahami isu-isu dasar yang mempengaruhi mereka melakukan kesalahan, kata jurucakap MSF. Ini termasuk tekanan daripada rakan-rakan, sikap, kepercayaan, hubungan keluarga dan motivasi peribadi.

Kementerian itu mendapati bahawa teknologi boleh digunakan untuk mendampingi para pesalah belia dan menggalak keluarga mereka untuk turut serta.

"Menyedari akan sifat semula jadi belia kami yang bijak menggunakan teknologi dan wujudnya budaya bermain permainan digital dalam kalangan mereka, usaha pendigitalan dua program pemulihan utama kami, Kesan kepada Mangsa serta Undang-Undang dan Ketenteraman, sedang diusahakan untuk beralih kepada format permainan," dedah jurucakap itu.

Khidmat Probesyen dan Pemulihan Masyarakat juga sedang menyediakan intervensi bersasar dan meningkatkan tahap program-program kendaliannya. Misalnya, mereka yang menjalani probesyen akan melalui bimbingan yang khusus bergantung jenis kesalahan yang dilakukan seperti mencuri atau pencegahan bagi kekerasan, untuk mengurangkan kemungkinan pesalah mengulangi kesalahan itu.

Oleh sebab keluarga adalah kunci dalam pemulihan para belia, MSF juga melaksanakan pendekatan dan program bagi keluarga, seperti program Terapi Kegiatan Keluarga.

Sejak Januari tahun lalu, pihak berkuasa sudah merintis program Probesyen Keluarga Berfungsi untuk mereka bawah 18 tahun. Pesalah yang menjalani probesyen dan keluarganya bersama-sama menyertai hampir kesemua sesi yang dianjurkan oleh pegawai probesyen dan dengan itu ia bertujuan memperkasa dan menggalak keluarga tersebut "menangani isu-isu dan berusaha mencari huraian bersama".

"MSF akan terus bekerjasama dengan rakan masyarakat yang utama seperti institut pendidikan dan majikan untuk mengukuhkan sekitaran yang menyokong dan memberi bimbingan bagi para pesalah belia," kata jurucakap itu.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita