Pesakit NKF terjejas jalani dialisis di pusat khusus MOH, susuli kemunculan kelompok COVID-19
Para pesakit yang terjejas oleh kemunculan kelompok baru sebanyak tiga kes COVID-19 di pusat dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) di Blok 19 Upper Boon Keng Road, akan pergi ke pusat dialisis khusus Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menjalani rawatan dialisis semasa tempoh kuarantin.
SINGAPURA: Para pesakit yang terjejas oleh kemunculan kelompok baru sebanyak tiga kes COVID-19 di pusat dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) di Blok 19 Upper Boon Keng Road, akan pergi ke pusat dialisis khusus Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menjalani rawatan dialisis semasa tempoh kuarantin.
Menjawab pertanyaan media, NKF hari ini (10 Ogos) menyatakan bahawa "para pesakit dengan syif yang terjejas" serta petugas barisan hadapan di Pusat Dialisis Sakyadhita-NKF sudah pun dikenakan kuarantin.
Pada Isnin (9 Ogos), MOH melaporkan kelompok jangkitan yang baru di pusat dialisis berkenaan. Dalam kemas kini pada keesokan hari, NKF menyatakan bahawa kesemua tiga kes yang berhubung kait dengan kelompok itu merupakan pesakit NKF dan buat masa ini sedang menerima rawatan perubatan di hospital.
"Mereka berada dalam keadaan stabil dan tiada yang dimasukkan ke dalam unit jagaan rapi (ICU)," ia menyatakan.
NKF juga mengaktifkan dan mengerahkan Pasukan Respons Kecemasan COVID-19 ke pusat dialisis terjejas bagi memastikan jagaan berterusan dan mengurangkan gangguan serta pergerakan lanjut.
Kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh dan pembasmian kuman di pusat itu diadakan pada 7 Ogos, ia menambah.
Para pesakit dialisis perlu menjalani rawatan tiga kali seminggu tidak kira apa pun keadaannya, menurut NKF.
"NKF akan terus memantau keadaan selama 24/7 dan menyesuaikan langkah-langkah kami sewajarnya bagi memastikan para pesakit dapat terus menerima rawatan dialisis secara selamat dan tanpa gangguan dan ini merupakan keutamaan," ia menambah.
"Semasa tempoh sukar ini, NKF akan menghulurkan sokongan dan bantuan sebaik mungkin kepada para pesakit dan keluarga mereka."
NKF menambah bahawa ia sedang bekerjasama dengan MOH untuk memastikan langkah-langkah keselamatan sewajarnya diambil bagi membendung penularan lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.