Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesakit kencing manis berisiko hadapi kegagalan ginjal, kadar pesakit Melayu paling tinggi

Gaya hidup tidak sihat serta pemakanan yang tidak seimbang Cik Bibah Ghani menyebabkan dirinya didiagnos dengan penyakit kencing manis (Jenis 2) pada usia 50 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Gaya hidup tidak sihat serta pemakanan yang tidak seimbang Cik Bibah Ghani menyebabkan dirinya didiagnos dengan penyakit kencing manis (Jenis 2) pada usia 50 tahun.

Beliau kini sudah mencecah usia 74 tahun.

"Saya dahulu makanan tidak jaga. Makan banyak, gula pun banyak," kongsi Cik Bibah kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

"Doktor sudah berikan ubat, perlu makan ubat sehari dua kali. Fungsi ubat untuk kurangkan gula. Kalau boleh kata doktor, saya perlu berhenti makan gula, tetapi saya kata kalau berhenti tidak boleh, mungkin kurangkan. Doktor kata okey, kalau minum kopi pada waktu pagi, itu perlu kurangkan," tambah beliau lagi.

Pada ketika itu, Cik Bibah menganggap ubat yang diberikan doktor sudah cukup untuk mengawal keadaan kencing manisnya itu.

Pada 2017 pula, doktor menambah jumlah ubat buat Cik Bibah.

Menurutnya, doktor menjelaskan kepadanya bahawa ubat tambahan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk buah pinggangnya.

Tidak merasakan sebarang rasa sakit mahupun simptom, Cik Bibah akui bahawa beliau jarang memakan ubat untuk ginjal yang diberikan doktor.

"Saya pergi umrah pada 2017, saya tidak makan ubatnya, saya tidak bawa ubat pun. Apabila saya balik, saya ada makan sedikit. 2018 pun saya pergi umrah. Saya tidak bawa ubat itu juga. Di rumah saya kadang-kadang makan, kadang-kadang tidak. Pada 2019, saya pergi haji pun saya tidak bawa juga sebab tidak rasa apa-apa. Saya mula lemah apabila di Arafah, saya lemah dan jatuh dan perlu dibawa ke hospital," ujar Cik Bibah.

Beberapa bulan selepas itu, Cik Bibah juga sudah mula kurang selera untuk makan, bahkan berat badannya juga susut sebanyak 10 kilogram.

Tanpa diduganya, penyakit kencing manisnya itu membawa kepada satu lagi masalah kesihatan iaitu penyakit ginjal kronik.

Cik Bibah disahkan hidapi penyakit ginjal pada 2020.

Beliau diberitahu doktor bahawa ianya disebabkan penyakit kencing manis.

"Saya tidak terkata-kata. Saya seperti tidak boleh terima yang saya perlu lakukan dialisis. Saya tidak mahu tetapi doktor tegaskan saya perlu juga lakukannya," ujar Cik Bibah.

Selain tidak makan ubat, Cik Bibah juga merasakan ia kerana beliau tidak berpantang makan.

"Kadang-kadang (makanan) pun terlajak juga. Kalau pisang yang potasium tinggi, kita tidak boleh makan banyak, saya tetap makan," tambah beliau.

KADAR PESAKIT GINJAL DALAM MASYARAKAT MELAYU/ISLAM PALING TINGGI

Cik Bibah kini menjalani dialisis tiga kali seminggu di Yayasan Dialisis Buah Pinggang (KDF) yang terletak di kawasan perumahan Ghim Moh.

Beliau merupakan antara hampir 300 pesakit di sana.

Menurut yayasan itu, hampir 20 peratus daripada jumlah tersebut adalah daripada golongan Melayu/Islam.

Di peringkat nasional, kadar jumlah penduduk Melayu yang menghidapi penyakit ginjal juga lebih tinggi berbanding kaum lain.

Konsultan Kanan di One Future Kidney Care, Dr Wong Weng Kin menjelaskan: "Di Singapura, kadar kegagalan buah pinggang masyarakat Melayu tiga kali lebih tinggi daripada masyarakat Cina. Menurut satu tinjauan yang dijalankan sejak 2022, kadar untuk masyarakat Melayu adalah 459 untuk setiap sejuta penduduk. Untuk masyarakat Cina, ia hanya 150 untuk setiap sejuta penduduk,"

Menurut Dr Wong, ini ada kaitannya dengan kadar penyakit kencing manis dalam kalangan penduduk Melayu.

"Kita juga mendapati bahawa masyarakat Melayu juga mempunyai kadar penyakit yang menghidapi kencing manis yang tinggi. Orang Melayu secara amnya, makanannya mempunyai kadar karbohidrat yang tinggi dan sangat manis. Pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan mereka terdedah kepada penyakit kencing manis dan sekali gus, penyakit buah pinggang. Ini perlu diubah, untuk menggalakkan masyarakat Melayu, mengurangkan karbohidrat dan gula," tambah beliau.

BAGAIMANA PENYAKIT KENCING MANIS BOLEH AKIBATKAN PENYAKIT BUAH PINGGANG?

Menurut Dr Wong, penyakit kencing manis merupakan penyebab utama kegagalan buah pinggang.

"Dua pertiga daripada kadar penyakit buah pinggang di Singapura adalah disebabkan penyakit kencing manis. Pada 2022, kadar penyakit kencing manis di Singapura, agak tinggi iaitu 8.5 peratus daripada keseluruhan penduduk. Dengan gaya hidup dan cara pemakanan yang tidak baik, lebih ramai penyakit akan menghidapi penyakit buah pinggang," ujar Dr Wong.

Beliau juga menjelaskan bagaimana penyakit kencing manis boleh menyebabkan penyakit buah pinggang.

"Penyakit kencing manis akan merosakkan saluran di dalam buah pinggang. Itulah peringkat pertamanya. Buah pinggang kemudian akan perlu bekerja lebih keras kerana adanya kadar gula yang berlebihan. Oleh kerana itu, para pesakit akan mula mengalami simptom seperti buih pada air kencing. Itulah simptom utama penyakit buah pinggang yang disebabkan penyakit kencing manis. Apabila ini berterusan tanpa perubatan, ia akan akhirnya menyebabkan kegagalan buah pinggang," kata Dr Wong.

Beliau juga menjelaskan bahawa selalunya, para pesakit memang tidak akan merasakan sebarang simptom bagi kerosakan buah pinggang.

Dr Wong berkata: "Selalunya memang tidak ada simptom sehinggalah ia mencapai peringkat akhir. Ini akan menjadi terlalu lewat untuk dirawat. Pada peringkat akhir, kaki mereka akan mula bengkak, sama juga pada muka mereka. Mereka juga akan mudah merasa penat dan sukar bernafas. Kadangkala, ada juga yang mula tidak rasa selera untuk makan."

Oleh itu, Dr Wong menggalak masyarakat untuk kerap melakukan saringan kesihatan.

"Para pesakit Melayu saya, ramai yang kurang sedar tentang penyakit ini. Mereka juga sukar untuk buat tindakan susulan, bukan sahaja pemeriksaan. Mereka menghadapi kesukaran untuk datang untuk temu janji dan tindakan susulan. Ada juga di antara mereka yang mempunyai cabaran kewangan dan sosial yang menyebabkan perkara ini sukar untuk dilakukan," ujar Dr Wong.

Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2023, saringan kesihatan bagi penyakit kronik adalah pada kadar 62.6 peratus.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan