Skip to main content

Singapura

Pesakit ginjal tidak lagi perlu ke hospital untuk bersihkan tiub tersumbat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Oct 2023 11:35PM Dikemas Kini : 14 Oct 2023 11:44PM
SINGAPURA: Para pesakit buah pinggang kini tidak lagi perlu mengunjungi hospital untuk membersihkan kateter yang tersumbat.

Kateter ialah tiub yang digunakan semasa rawatan dialisis.

Sebelum ini, membersihkan kateter tersumbat hanya boleh dilakukan di hospital.

Bagaimanapun para jururawat di pusat-pusat dialisis masyarakat kini sudah dilengkapi dengan kemahiran tersebut.

Sudah 15 tahun Cik Mesum Reswat mengalami kegagalan ginjal.

Beliau menjalani dialisis tiga kali seminggu di sebuah pusat yang terletak 15 minit sahaja dari rumahnya.

Setiap dialisis mengambil masa empat jam.

Bagi sesetengah pesakit, kateter perlu dimasukkan ke dalam urat besar di leher, dada atau pangkal paha semasa sesi dialisis.

Ia memudahkan proses keluar masuk darah semasa dialisis.

Namun, komplikasi boleh berlaku sekiranya kateter tersumbat.

Perunding Kanan Jabatan Perubatan Renal Hospital Besar Singapura Dr Tan Tu Yu berkata: "Sebab utama kateter tersumbat sebenarnya adalah pembekuan yang terbentuk dalam kateter. Apabila ini berlaku, sejenis ubat boleh dimasukkan ke dalam kateter untuk mencairkan pembekuan dan kateter itu boleh berfungsi semula untuk menjalani dialisis."

Sebelum ini, para pesakit seperti Mesum Reswat perlu ke hospital untuk membersihkan pembekuan.

"Jauh, sangat jauh. Kadang-kadang, sangat susah. Saya perlu tunggu enam jam untuk dapatkan bilik," katanya.

Kini, para jururawat di pusat-pusat dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dilatih oleh Hospital Besar Singapura (SGH) untuk melakukan prosedur ini di pusat-pusat berkenaan.

Bermakna, pesakit terjejas tidak perlu ke hospital.

Timbalan Pengarah Khidmat Rawatan NKF Pauline Tan berkata: "Kami harap ini akan menjadi prosedur yang akan dibiasakan dalam masyarakat.Apabila mereka ke hospital, rawatan dialisis mereka tertangguh. Apabila ia ditangguhkan, mereka akan sakit, dengan kalium yang tinggi, toksin yang tinggi dalam tubuh, dan apabila mereka pulang, mereka rasa tidak sihat. Tapi jika ia dilakukan di pusat dialisis, hanya sejam selepas membersihkan kateter yang tersumbat, dialisis boleh diteruskan."

Menurut NKF, 100 jururawat daripada semua pusat dialisisnya sudah terlatih untuk melakukan proses ini, dan lebih ramai lagi akan dilatih jika perlu.

Di Singapura, hampir 9,000 penduduk menghidap kegagalan buah pinggang, dengan enam pesakit baharu disahkan menghidapinya setiap hari.

Dianggarkan bahawa lima pusat dialisis perlu dibangunkan setiap tahun untuk menangani kenaikan ini.
 
Sumber : CNA/IA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita