Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesakit dewasa COVID-19 tidak divaksin dos penggalak biaya sendiri bil perubatan

"Layanan istimewa" Pemerintah yang merangkumi kos-kos rawatan perubatan bagi COVID-19 tidak tertakluk kepada mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas, yang masih tidak mendapatkan vaksinasi "atas pilihan sendiri", kata Rahayu Mahzam.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesakit dewasa COVID-19 tidak divaksin dos penggalak biaya sendiri bil perubatan

Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin COVID-19. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 10 Jan 2022 11:00PM Dikemas Kini : 10 Jan 2022 11:03PM

SINGAPURA: Para pesakit COVID-19 berusia 18 tahun dan ke atas yang tidak mendapatkan suntikan dos penggalak dalam tempoh sembilan bulan daripada dos terakhir perlu menanggung sendiri bil perubatan mereka.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam pada Isnin (10 Jan).

Buat masa ini, "layanan istimewa" Pemerintah yang merangkumi kos-kos rawatan perubatan bagi COVID-19 tidak tertakluk kepada mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas, yang masih tidak mendapatkan vaksinasi "atas pilihan sendiri", kata beliau.

"Begitu juga bagi individu-individu berusia 18 tahun dan ke atas yang tidak mendapatkan suntikan dos penggalak dalam tempoh 270 hari atau sembilan bulan daripada dos terakhir mereka, tambah Cik Rahayu.

Mulai 14 Februari, mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak dalam tempoh 270 hari selepas lengkap menerima dua dos pertama untuk mengekalkan status lengkap divaksin terhadap COVID-19.

Cik Rahayu bercakap tentang bil-bil perubatan itu sedang beliau menekankan tentang pentingnya vaksinasi semasa memberikan respons kepada Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Hazel Poa, yang mengusulkan penangguhan bagi langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi.

MATA PENCARIAN PEKERJA TIDAK DIVAKSIN "BERDEPAN RISIKO"

Cik Poa berkata beliau "khususnya berasa terganggu" dengan langkah-langkah terkini pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi yang menyatakan mulai 15 Januari, para pekerja yang tidak divaksin, kecuali mereka yang tidak layak divaksin atas alasan perubatan, tidak dibenarkan kembali ke tempat kerja meskipun mempunyai keputusan negatif ujian praacara.

Langkah itu bermakna mata pencarian para pekerja yang tidak divaksin "berdepan risiko", kata NCMP itu.

"Langkah-langkah terbaru itu pada dasarnya adalah lesen untuk memberhentikan (pekerja)," ujar Cik Poa.

Beliau menambah, meskipun beliau faham bahawa Pemerintah bimbang tentang kesihatan para pekerja yang tidak divaksin, para pekerja sedemikian "pasti mempunyai alasan yang munasabah berdasarkan keadaan masing-masing".

"Berasa ragu terhadap vaksinasi bukanlah sesuatu yang tidak munasabah. Apabila berdepan dengan keadaan yang masih agak baru dan di mana terdapat banyak jurang dalam pengetahuan dan maklumat, ia adalah idea yang baik untuk berfikiran terbuka," kata beliau.

Cik Poa juga meminta perangkaan jumlah pekerja tidak divaksin berdasarkan usia dan industri dan jumlah mereka yang dijangka kehilangan kerja.

"Sudahkah Pemerintah mengkaji kesannya ke atas 52,000 pekerja tidak divaksin dan jumlah tidak diketahui dalam kalangan pekerja bekerja sendiri yang tidak divaksin sebelum membuat keputusan?" tanya Cik Poa, sambil merujuk kepada perangkaan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada 19 Disember 2021.

Langkah-langkah yang mengancam mata pencarian "tidak seharusnya dipandang ringan", tambah beliau.

48,000 PEKERJA TIDAK DIVAKSIN

Cik Rahayu pula berkata langkah itu disokong oleh perikatan tiga pihak, yang "mengiktiraf pentingnya vaksinasi bagi kesihatan awam dan bahawa ia mustahak untuk mengekalkan kegiatan perniagaan demi melindungi mata pencarian".

"Tenaga kerja yang lengkap divaksin dapat beroperasi dengan selamat dan mampan," kata Cik Rahayu.

Cik Rahayu juga mendedahkan kemas kini jumlah pekerja yang tidak divaksin. Setakat 2 Januari 2022, 48,000 pekerja belum divaksin - lebih rendah daripada 52,000 yang diberikan pada 19 Disember 2021.

Sepertiga, atau 16,000 daripada mereka berusia antara 30 dengan 39 tahun, kata beliau.

Beliau menambah para pekerja yang secara perubatan diiktiraf tidak layak mendapatkan vaksin di bawah kempen vaksinasi nasional dibenarkan kembali ke tempat kerja, memandangkan mereka hanya tergolong dalam kalangan 0.3 peratus pekerja yang tidak divaksin - "jumlah yang amat kecil".

Dalam responsnya kepada satu lagi keprihatinan yang dibangkitkan oleh Cik Poa, Cik Rahayu berkata buat masa ini tiada perancangan untuk melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi bagi kanak-kanak dalam kalangan masyarakat, di tempat awam, prasekolah dan persekitaran sekolah bagi mereka yang berusia 12 tahun dan ke bawah.

Tumpuannya kali ini adalah untuk memastikan kanak-kanak dilindungi dengan baik terhadap COVID-19, kata beliau.

"Dari masa ke semasa kami akan menyemak semula dasar-dasar kami sedang program vaksinasi nasional COVID-19 dilanjutkan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun," tambah Cik Rahayu.
 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan