Skip to main content

Singapura

Pesakit demensia capai impian tunaikan haji tahun ini

Menjejakkan kaki di tanah suci - satu impian yang dinanti-nantikan Encik Rosli Anjang, 59 tahun sejak sekian lama.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jun 2023 06:48PM Dikemas Kini : 15 Jun 2023 12:02PM

BERITAmediacorp: Menjejakkan kaki di tanah suci - satu impian yang dinanti-nantikan Encik Rosli Anjang, 59 tahun sejak sekian lama.

Namun baginya yang menghidapi penyakit Demensia Permulaan Muda (YOD) dan Demensia 'Lewy Body' sejak 17 tahun yang lalu, peluang itu terasa lebih berharga.

Apabila didiagnos doktor sekitar tujuh tahun yang lalu, Encik Anjang tekad dan berusaha untuk mempercepatkan permohonannya untuk menunaikan haji.

"Saya minta pada Allah supaya saya dapat jejak kaki saya insya-Allah di tanah suci dan saya bawa apa yang saya sudah siapkan sekarang ke sana. Saya mahu mengosongkan diri saya benar-benar untuk Allah," kata Encik Anjang, sambil mengalirkan air mata.

Beliau dan isteri sepatutnya berangkat ke tanah suci pada tahun lalu.

Namun, ujian PCR pra-keberangkatan Encik Anjang positif sehari sebelum tarikh penerbangannya.

Oleh itu, beliau tidak dapat meneruskan perjalanan itu dan isterinya ke tanah suci seorang diri.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Doktor cakap dia tidak akan hidup lama kerana keadaan dia, demensia dia. Jadi Encik Anjang pun sudah memang, dia sudah berdoa, dia cakap kalau boleh dia nak pergi haji dengan Cik, kalau boleh sebelum dia pergi, Allah Ta’ala ambil nyawa dia.

"Terus Cik hari itu juga, Anjang dia telefon Halijah Travels, cakap kita nak pergi daftar untuk haji. Terus Cik dengan dia pergi Halijah, buat pendaftaran haji tapi kita pergi MUIS dulu. Kita pergi MUIS, daripada MUIS, MUIS cakap pergi agensi itu, baru kita pergi tempat GSA itu bawa surat doktor," kata isteri Encik Anjang, Cik Sarimah Mohd Tajudin.

RASA GEMENTAR MENGHADAPI LEBIH 2.5 JUTA JEMAAH

Apabila peluang terbuka baginya untuk pergi lagi tahun ini, beliau berasa begitu ghairah kerana akhirnya dapat menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Namun sebagai seorang pesakit demensia, perasaan gementar itu tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi apabila perlu berdepan dengan lebih 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia.

"Sebagai seorang pesakit demensia, kita senang kena pencetus atau 'triggers', serangan panik. Kalau orang banyak, saya tak boleh. Saya akan macam menggelupur macam ikan keluar daripada air," kata Encik Anjang yang turut mengalami penyakit Parkinson's.

Sebagai langkah persiapan, beliau sudah terlebih awal berunding dengan GSA yang akan menguruskan perjalanannya, Halijah Travels tentang cara-cara menangani serangan panik jika terjadi sepanjang 23 hari di Arab Saudi.

"Saya sudah bincang dengan mutawif, dengan ustaz-ustaz yang nak bawa saya. Saya sudah terangkan, saya sudah berikan video-video (tentang penjagaan saya)," ujarnya yang merakam dan memuatnaikkan videonya di YouTube.

BUAT SENARAI UNTUK BANTU PARA JEMAAH LAIN MEMAHAMI KEADAANNYA

Prihatin akan jemaah-jemaah lain yang mungkin tidak biasa dengan keadaannya, Encik Anjang juga mengambil inisiatifnya sendiri dengan membuatkan senarai.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Pertama saya akan senaraikan bagaimana untuk berbual dengan orang-orang demensia. Kedua bila mereka melihat saya dalam keadaan diam, dalam keadaan panik dalam keadaan apa semua, apa yang harus mereka lakukan.

"Saya harap jemaah-jemaah yang akan bersama-sama saya faham keadaan saya dan mereka memantau saya. Itu saja," jelas Encik Anjang, yang juga aktif menyokong usaha pertubuhan 'The Chapal Malay Dementia Community' yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang demensia atau 'nyanyuk'.

Meskipun dengan langkah-langkah yang akan diambil, beliau tidak menafikan sekiranya sesuatu kejadian yang tidak diingini boleh berlaku.

Beliau juga akur bahawa para pegawai Halijah nanti akan sibuk perlu menguruskan jemaah-jemaah lain.

Justeru, beliau sudahpun melakarkan strategi bagi memastikan keadaan lebih terkawal.

"Saya akan adakan satu strategi di mana saya akan berada di satu tempat, senang untuk mereka (Halijah Travels) untuk pantau saya. Saya tak nak menyusahkan sesiapa," tambahnya.

Menurut Encik Anjang, beliau juga tidak begitu risau kerana pihak Halijah Travels sudah memberinya jaminan untuk laksanakan 'buddy system' serta 'tag' dengan butiran penting bagi pengenalan diri.

"Di sana pun mereka ada gelang untuk kita pakai. Alhamdulillah pun kita ada aplikasi. Jadi saya tak berapa risau sangat," ujarnya, yang mempunyai tiga cahaya mata dan tujuh orang cucu.

Encik Anjang juga tidak berapa risau kerana ada pasukan perubatan oleh Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) yang akan dapat membantu keperluan perubatannya di sana.

JEMAAH, ISTERI BERIKAN SEPENUH KEYAKINAN KEPADA HALIJAH TRAVELS

Keyakinan itu turut dirasakan isterinya.

Walaupun tidak dapat berada di sisi suami semasa ibadah haji nanti, beliau berasa lega kerana langkah-langkah yang diambil pihak GSA.

"Masa yang taklimat sudah berbual juga dengan mereka (Halijah Travels) jadi nanti masa hari keberangkatan akan datang pada hari Khamis, mereka akan bawa Anjang terus masuk ke dalam lepas jumpa keluarga, terus pergi masuk dalam, mereka yang akan uruskan Anjang. Jadi saya tak sudah tak payah risau lagi," kata Cik Sarimah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Meskipun sudah menjalani kursus haji sejak dua tahun yang lalu, penyakit yang dialami Encik Anjang itu menjejas sedikit sebanyak daya ingatannya.

"Nanti mereka beri 'earpiece', jadi Ustaz baca doa biar dia dengar ikut 'earpiece' kerana dia tak boleh hafal. Buku-buku yang kita belajar semua dia tak akan hafal," ujar Cik Sarimah.

Meskipun pasangan itu pernah ke tanah suci untuk ibadah Umrah lebih dua dekad lalu, perjalanan kali ini adalah perjalanan "besar" pertama Encik Anjang sejak disahkan hidapi demensia.

Bagi isterinya, beliau hanya dapat berdoa untuk keselamatan suami dan semua jemaah dan hanya tawakal.

"Saya dah serahkan, serahkan kepada Allah. Saya cakap biar Allah yang jaga dia dengan Ustaz pun saya cakap Ustaz, jangan risau, saya sudah serahkan Anjang kepada Allah biar Allah yang jaga Anjang di sana," tambahnya.

Encik Anjang akan berangkat ke tanah suci pada 22 Jun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita