Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesakit COVID-19 jatuh dari tempat tinggi, tiada perbuatan khianat disyaki, kata polis

Tiada perbuatan khianat disyaki dalam kes pesakit COVID-19 yang ditemui dalam keadaan tidak bergerak di lantai tingkat tiga Hospital Khoo Teck Puat pada April, setelah jatuh dari tempat tinggi. Pegawai penyiasat memberitahu mahkamah koroner perkara tersebut pada Khamis (24 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Pesakit COVID-19 jatuh dari tempat tinggi, tiada perbuatan khianat disyaki, kata polis

Alagu Periyakarrupan bersama isteri dan dua anak beliau yang berusia 11 dan 6 tahun. (Gambar: A Panjali dan ItsRainingRaincoats)

Diterbitkan : 24 Sep 2020 03:53PM Dikemas Kini : 24 Sep 2020 03:58PM

SINGAPURA: Tiada perbuatan khianat disyaki dalam kes pesakit COVID-19 yang ditemui dalam keadaan tidak bergerak di lantai tingkat tiga Hospital Khoo Teck Puat pada April, setelah jatuh dari tempat tinggi. Pegawai penyiasat memberitahu mahkamah koroner perkara tersebut pada Khamis (24 Sep).

Encik Alagu Periyakaruppan, seorang warga India berusia 46 tahun, maut akibat kecederaan yang dialami selepas terjatuh, kata pegawai itu.

Satu bedah siasat mendapati, beliau mengalami kecederaan seperti jantung pecah, pendarahan pada bahagian dada, keretakan tulang rusuk dan pendarahan pada permukaan otak. Tiada tanda pesakit mengalami penyakit radang paru-paru, tambah pegawai penyiasat itu lagi.

Laporan polis menyatakan bahawa Encik Periyakaruppan kemungkinan besar membuka kaca tingkap bersebelahan katil beliau dalam sebuah wad, tempat beliau berehat bersama seorang lagi pesakit COVID-19. Beliau kemudian memanjat keluar dan jatuh dari tingkat tujuh ke tingkat tiga.

Encik Periyakaruppan dimasukkan ke hospital pada 19 April ketika beliau mengalami rasa pening dan demam. Ujian swab kemudian mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19.

Pada sekitar 5.30 pagi pada 23 Apr, Encik Periyakaruppan merakam dua video dalam tandas wadnya.

Dalam salah satu video itu, beliau berkata: "Doktor mengatakan saya ada COVID-19. Saya tidak mahu terus hidup. Saya bersedia untuk mati. Tiada orang atau apa-apa yang ada kaitan dengan perkara ini. Saya merakam ini dalam keadaan waras."

Pada sekitar 6.15 pagi, seorang jururawat yang menyarung peralatan perlindungan peribadi di luar bilik Encik Periyakaruppan terdengar bunyi benda jatuh. Apabila beliau tidak menemui Encik Periyakaruppan dalam tandas, beliau ke katilnya dan mendapati salah satu keping kaca tingkap sudah ditanggalkan dan diletakkan di lantai. Cangkuk besi kemudian ditemui bersebalahan tingkap itu yang mungkin digunakan untuk menanggalkan kaca tingkap.

Sepasang selipar hitam turut ditemui di sebelah tingkap. Usaha untuk mencari Encik Periyakaruppan segera dimulakan.

Beliau ditemui di kawasan tangga luar bangunan di tingkat tiga dalam baju hospitalnya. Encik Periyakaruppan cuba diselamatkan tetapi beliau disahkan meninggal dunia pada pagi itu.

Kes berkenaan disahkan sebagai kes koroner tidak lama selepas itu dan siasatan mula dijalankan.

Encik Periyakaruppan merupakan seorang pekerja binaan di Multi-Lines Engineering, dan isteri beliau memberitahu Mediacorp selepas kematiannya bahawa beliau tidak tahu menahu Encik Periyakaruppan dimasukkan ke hospital kerana jangkitan COVID-19.

Anak saudara Encik Periyakaruppan menghadiri perbicaraan pada Khamis (24 Sep) dan bertanya jika beliau boleh mendapatkan sijil kematian untuk tuntutan insurans. Koroner akan mengeluarkan dapatannya pada satu tarikh kelak.

TIADA KELEMAHAN DIKESAN: JAWATANKUASA HOSPITAL

Pengerusi jawatankuasa yang dibentuk oleh hospital itu selepas Encik Periyakaruppan meninggal dunia, memberitahu mahkamah bahawa tiada kelemahan dikesan dalam jagaan klinikal yang diberikan kepada Encik Periyakaruppan.

Beliau berkata kejadian itu sudah diteliti semula dan "kami berasa jagaan telah disediakan kepadanya dengan betul". "Tiada tanda bahawa pesakit menunjukkan beliau ingin membunuh diri" dan kejadian itu "tidak dapat dijangkakan mahupun dicegah", kata Dr Goh Kah Hong.

Beliau berkata Encik Periyakaruppan seharusnya juga telah diberitahu, sebagaimana yang dilakukan kepada pesakit COVID-19 lain, bahawa beliau boleh pulih dari jangkitan itu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan