Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesakit cacar monyet yang stabil akan dipindahkan ke kemudahan pengasingan khusus mulai 1 Ogos: MOH

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pesakit cacar monyet yang dinilai oleh hospital awam sebagai stabil secara klinikal akan dipindahkan ke kemudahan pengasingan khusus mulai Isnin (1 Ogos).

Tempoh kuarantin bagi kontak rapat kes cacar monyet juga akan diselaraskan kepada 14 hari disusuli dengan tujuh hari pemantauan gejala melalui panggilan telefon, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Menurut laman web ask.gov.sg, mereka yang dipantau melalui pengawasan telefon boleh meninggalkan rumah mereka jika mereka sihat.

Individu itu harus menghubungi pegawai bertugas MOH sekiranya rasa kurang sihat.

MOH menyatakan langkah-langkah kesihatan awam yang dikemas kini itu selaras dengan data terbaru antarabangsa dan tempatan, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebelum ini, semua kes disahkan cacar monyet diasingkan di hospital sehingga mereka dinilai tidak lagi berjangkit.

Sebagai sebahagian daripada usaha perintis bagi pesakit cacar monyet beransur pulih dalam masyarakat, lapan kes telah dipindahkan dari hospital awam ke kemudahan pengasingan pada 29 Jul, menurut MOH.

Kesemua kes itu dalam keadaan stabil dan mengalami gejala ringan.

Mulai Isnin, semua kes yang disahkan dan dinilai oleh hospital awam sebagai stabil secara klinikal akan dipindahkan ke kemudahan dengan sokongan teleperubatan 24 jam.

"Pesakit itu akan pulih di kemudahan pengasingan cacar monyet sehingga mereka dinilai tidak lagi berjangkit dan boleh pulang ke rumah," umum MOH.

"Kes yang dinilai oleh hospital awam sebagai berisiko tinggi mengalami komplikasi akan terus dirawat di hospital. Ini akan membolehkan hospital menguruskan kapasiti mereka bagi kes dengan gejala lebih teruk ataupun mengalami komplikasi."

Singapura melaporkan 11 kes cacar monyet sejak Jun.
KUARANTIN

Memandangkan penularan virus itu memerlukan sentuhan fizikal ataupun kontak dalam berpanjangan, termasuk sentuhan muka ke muka dan kulit ke kulit seperti hubungan seksual, risiko jangkitan terhadap orang awam kekal rendah, kata Kementerian Kesihatan.

Di bawah langkah yang dikemas kini, kenalan rapat akan dikuarantin selama 14 hari diikuti dengan pemantauan tujuh hari bagi simptom melalui panggilan telefon biasa. Individu ini akan dapat menyelesaikan tempoh kuarantin mereka dari rumah, kata MOH.

Mereka yang tidak dapat menjalani kuarantin di rumah akan dipindahkan ke kemudahan kuarantin pemerintah.

"MOH akan terus memantau keadaan cacar monyet dengan teliti dan menyesuaikan kesiapsiagaan dan tindak balas kami mengikut keperluan," umum MOH.

"Orang awam dinasihatkan agar melaksanakan tanggungjawab peribadi dengan memantau kesihatan diri, menjaga kebersihan dengan baik serta elak aktiviti seksual berisiko tinggi, terutama sekali jika melakukan perjalanan ke luar negara.

"Mereka juga harus elak hubungan rapat dengan individu yang diketahui atau disyaki menghidap jangkitan cacar monyet."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan