Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesakit buah pinggang boleh berpuasa tapi perlu berwaspada: Pakar

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Para pesakit buah pinggang digalakkan untuk berpuasa selagi paras gula dalam darah mereka terkawal dan dalam keadaan normal.

Doktor juga menasihatkan mereka untuk terus menjaga pemakanan mereka pada bulan Ramadan ini.

Demikian nasihat Dr Srinivas Subramanian, seorang pakar buah pinggang di Klinic Perubatan & Buah Pinggang, Dr Sri, Hospital Parkway East.

Beliau berkata selain mengimbangi keperluan menjalani rawatan dialisis dan pengambilan air.

"Ia berkemungkinan dan sesuai untuk menjalani Ramadan yang sihat. Saya tahu ini kerana saya sendiri mempunyai pengalaman dengan pesakit yang berpuasa semasa Ramadan dan mereka yang menjalaninya dengan baik juga adalah mereka yang bekerja rapat dengan doktor mereka," kata Dr Srinivas.

Menurut beliau, para pesakitnya yang dapat tahan berpuasa adalah mereka yang sudahpun membuat penyesuaian kepada pemakanan dan perubatan mereka untuk bulan Ramadan.

Namun, untuk golongan warga emas khususnya, mereka harus lebih berwaspada kerana bimbang ada risiko kekurangan gula dalam darah.

"Bukannya para pesakit itu tidak patut berpuasa tetapi setiap keputusan perlu bergantung kepada setiap individu. Mereka perlu berbincang dengan doktor mereka tentangnya.

"Pemakanan sihat perlu diteruskan walaupun semasa Ramadan. Jadi diet yang seimbang perlu diteruskan sama ada semasa berbuka puasa atau bersahur," ujar Dr Srinivas.

Selain faktor usia, tahap kegagalan buah pinggang seseorang pesakit juga perlu dipertimbangkan.

JALANI DIALISIS DI RUMAH SETIAP MALAM BOLEHKAN NUR AISYAH PUASA DI SIANG HARI

Antara pesakit buah pinggang yang menuruti nasihat doktor itu dan tetap bertekad untuk berpuasa ialah Cik Nur Aisyah Mohamed Ridhuan, 32 tahun.
(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)
Selepas diserang tekanan darah tinggi sewaktu hamil pada 2016, Cik Nur Aisyah Mohamed Ridhuan, disahkan menghidapi kegagalan buah pinggang.

"Saya dapat tahu apabila saya dimasukkan ke hospital sebab penglihatan saya agak kabur. Jadi bila pergi hospital dan diperiksa, mereka dapati tekanan darah tinggi saya sangat tinggi sekitar 200. Jadi sudah dimasukkan, mereka periksa dan memberitahu buah pinggang saya teruk dan semakin merosak," kata Cik Aisyah yang mempunyai seorang cahaya mata.

Berita itu sangat mengejutkan bagi Cik Aisyah kerana beliau sebelum ini mengamalkan gaya hidup yang aktif.

"Saya tanya diri sendiri mengapa saya kerana saya masih muda dan masih banyak lagi perkara yang ingin dilakukan macam kenapa sekarang tapi saya belajar macam mana untuk menerimanya, menanganinya dan ia sebahagian dari diri saya sekarang," ujarnya yang kini sudah tidak lagi bekerja.
Cik Aisyah juga menjalani dialisis 'peritoneal' yang boleh dilakukan sendiri di rumah.

Berbanding dialisis di pusat, prosesnya antara 8 hingga 10 jam dan perlu dilakukan setiap malam.

Namun, beliau lebih selesa dengan kaedah tersebut kerana boleh dilakukan sewaktu masa tidur.

Malah ketika bersahur juga, beliau masih boleh menjalani rawatan.

"Ia agak mudah bagi saya. Sebab setiap malam bila saya ingin tidur, saya pasang ini semua dan ia untuk 10 jam. Setiap malam saya kena lakukan dialisis ini," ujarnya.

TETAP BERPUASA PADA HARI-HARI TIADA DIALISIS

Untuk pesakit yang perlu menjalani dialisis secara tetap dan kerap seperti Encik Eddie Iskandar Muhamad, 51 tahun, dia akan cuba berpuasa pada hari beliau tidak perlu ke pusat dialisis.
 
Akibat gaya hidup yang kurang sihat, disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada usia 30-an tahun.

Encik Eddie perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu dan terpaksa berhenti kerja kerana buah pinggangnya hanya sudah separuh berfungsi.

"Air kencing itu berbuih, kemudian bila lepas bila pergi ke tandas, ada semut. Kemudian tekak pun selalu rasa haus dan sebelum itu juga apa ada pemeriksaan mata dan dikatakan apa mata ada pendarahan di dalam.

"Tahap saya sudah tidak boleh buang air kecil, jadi kena kawal air dalam 750 ml satu hari sebab kalau saya minum banyak air, ia akan memberi tekanan kepada jantung," kongsi Encik Eddie.

Keputusan untuk memulakan dialisis juga bukan sesuatu yang mudah baginya, dan mengambil sekitar enam bulan untuk membuat keputusan.

"Saya tersentaklah nak jalani dialisis. Kemudian saya kata baiklah doktor, saya akan ambil masa untuk berbincang dengan isteri saya," kata Encik Eddie.

Disebabkan perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu, ia menjejas tugasnya sehingga terpaksa berhenti kerja.

"Saya bekerja sebagai jurutera IT. Usaha mencari kerja ialah yang paling susah sebab apa saya perlu menjalani dialisis 3 hari seminggu kemudian majikan perlukan bekerja 5 hari atau 5.5 hari. Jadi mencari kerja tetap memang susah," tambah Encik Eddie yang kini hanya menjual barangan secara online.

Menurut Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), jumlah pesakit ginjal Melayu yang dirawat dipusat dialisisnya meningkat lebih seganda berbanding sedekad lalu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan