Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesakit angin ahmar Melayu berusia 15 hingga 27 tahun naik 2 kali ganda

Hari ini (29 Okt) ialah Hari Angin Ahmar Sedunia. Tahukah anda, masyarakat Melayu tempatan mencatat trend kenaikan tertinggi jumlah kes angin ahmar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hari ini (29 Okt) ialah Hari Angin Ahmar Sedunia. Tahukah anda, masyarakat Melayu tempatan mencatat trend kenaikan tertinggi jumlah kes angin ahmar.

Bilangannya naik 50 peratus pada tahun 2017 berbanding 2008. Jika pada tahun 2008 bilangannya ialah 806 kes angin ahmar, 10 tahun kemudian ia melonjak kepada 1,212 kes.

Malah dalam tempoh itu juga, pesakit angin ahmar berusia antara 15 dengan 27, naik dua kali ganda - daripada 5 kepada 14 kes.

Namun ada sejenis strok yang kurang diketahui ramai. Jenis angin ahmar yang bukan berpunca dari longgokan lemak dalam pembuluh darah. Strok itulah yang dialami anak muda berusia 24 tahun ini.

LENGAN BERASA KEBAS SELAMA 10 JAM

Sejak kecil lagi, sakit kepala yang sering dialami Mohammad Nuruddin Zahidi dianggap berpunca daripada tekanan darah rendah.

Namun sekitar tiga bulan lalu, belia ini dikejutkan dengan berita dua bahagian dalam pembuluh darah otaknya tersumbat.

Akibatnya, beliau mengalami serangan 'angin ahmar sepintas' (transient ischaemic attack) kerana mengalami penyakit 'Moyamoya'. Serangan tersebut mengakibatkan lengan kanannya berasa kebas berterusan selama 10 jam lamanya.

"Saya ingatkan itu cuma satu sengal-sengal yang biasa. Tangan saya mulai rasa sakit dari bahagian leher sampai ke siku, macam jarum cucuk-cucuk," cerita Nuruddin kepada BERITAmediacorp.

APA ITU PENYAKIT MOYAMOYA?

Penyakit Moyamoya sebahagian besarnya berpunca daripada masalah genetik atau baka. Ia menyebabkan otot dalam dinding pembuluh darah menjadi besar.

Ini membuatkan pembuluh darah berkenaan menjadi sempit dan mencegah aliran darah secara normal.

Disebabkan kurangnya aliran darah, saluran darah halus baru pula terbentuk.

Bagaimanapun saluran halus baru ini mempunyai risiko pecah dan menyebabkan pendarahan otak.

Dr Carol Tham daripada Institut Neurosains Nasional (NNI) menjelaskan pembedahan pintasan otak yang dipanggil STA-MCA dapat membantu serangan 'angin ahmar sepintas' seumpama ini.

"Ia satu prosedur atau pembedahan yang dilakukan ke atas pesakit dengan penyakit Moyamoya. Jadi sebatang pembuluh darah digunakan untuk memintas bahagian sempit otak, agar otak mendapat bekalan darah dengan lebih baik.

"Penyakit Moyamoya lazimnya menjejas orang muda. Jika anda ke hospital dengan segera, ada banyak intervensi perubatan yang boleh dijalankan untuk mencegah kerosakan lanjut ke atas otak," kata Dr Tham.

TIDAK DAPAT SELESAIKAN LATIHAN GUARDS

Bakal menjalani pembedahan tersebut bulan depan, Nuruddin tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa kerana tidak dapat menyelesaikan latihan Perkhidmatan Negara Guards disebabkan keadaannya.

(Gambar: Ihsan Mohd Nuruddin Zahidi)

"Saya amat sedih kerana saya tahu saya harus meninggalkan kesemuanya. Bila saya fikirkan balik apa yang terjadi (penyakit Moyamoya), kalau saya mengambil satu langkah yang cepat, mungkin dapat elakkan benda ini daripada terjadi," luah Nuruddin.

Setiap tahun, 35 hingga 94 indvidu daripada setiap 1 juta orang mengalami penyakit Moyamoya.

Bagaimanapun bagi angin ahmar keseluruhannya, Persatuan Angin Ahmar Sedunia menganggarkan 1 daripada setiap 4 individu akan mengalaminya sekali dalam seumur hidup mereka.

Kebanyakan strok yang berlaku tetap berpunca daripada faktor risiko seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan merokok. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan