Perusahaan mesti terus wujudkan dunia mampan; bukan setakat utamakan keuntungan
Sedang syarikat-syarikat perusahaan berusaha untuk meraih keuntungan dan pulangan yang tinggi, ia juga mesti membuat pelaburan untuk terus melatih para kakitangan mereka dan memenuhi tanggungjawab bagi memastikan agar dunia ini menjadi kediaman yang mampan dan sesuai didiami oleh semua orang.
SINGAPURA: Sedang syarikat-syarikat perusahaan berusaha untuk meraih keuntungan dan pulangan yang tinggi, ia juga mesti membuat pelaburan untuk terus melatih para kakitangan mereka dan memenuhi tanggungjawab bagi memastikan agar dunia ini menjadi kediaman yang mampan dan sesuai didiami oleh semua orang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings Ho Ching hari ini (19 Jan).
Semasa berucap di Forum Singapura sempena Simposium St Gallen 2019, Cik Ho berkata syarikat-syarikat mempunyai tanggungjawab memenuhi keperluan masyarakat serta membantu memperbaiki mutu kehidupan.
"Bagi syarikat-syarikat perusahaan, keuntungan setakat untuk menunjukkan daya maju dan kedudukan kewangan. Perniagaan-perniagaan hanya boleh maju sekiranya ia berjaya memenuhi keperluan para pelanggan sebagai misi utamanya, tetapi itu saja belum cukup untuk menjamin penakatannya," kata beliau.
Dengan perubahan iklim mengancam penakatan manusia, Cik Ho menggesa syarikat-syarikat perusahaan dan pertubuhan-pertubuhan supaya memikirkan semula matlamat di sebalik penggunaan modalnya supaya ia boleh membantu masyarakat serta mengambil tindakan segera terhadap perubahan iklim.
"Suhu cuaca di Singapura meningkat sekitar suku darjah (Selsius) setiap dekad sejak tahun 1940an tetapi sejak lima tahun lalu, suhu cuaca di bahagian tengah Singapura naik 1 darjah Selsius - naik tujuh kali ganda lebih pantas berbanding tempoh sebelum ini," katanya.
Singapura sudah berikrar untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - iaitu satu komitmen untuk membasmi kemiskinan dan mencapai pembangunan mampan menjelang 2030.
Bagaimanapun, Cik Ho berkata Singapura perlu bertindak dengan lebih pantas untuk beralih kepada sebuah negara yang rendah karbon dan cekap menggunakan tenaga.
Beliau juga menggesa syarikat-syarikat dan pertubuhan-pertubuhan supaya terus melabur dalam pembangunan tenaga kerja masing-masing untuk membantu mereka membuat peralihan kepada masa hadapan yang kian berubah-ubah.
"Pemerintah-pemerintah boleh membantu menyokong pendidikan awal asas, tetapi industri-industri dan pertubuhan-pertubuhan yang mengetahui keperluan serta hala tuju kemajuan teknologi mesti memainkan peranan untuk mempertingkatkan pendidikan tenaga kerja kita," katanya.
Cik Ho menambah para pesara perlu menajamkan kemahiran mereka serta memperolehi kemahiran baru supaya mereka boleh terus aktif dan terlibat dalam usaha ini walaupun semasa meniti usia senja.
"Pelaburan terhadap rakyat tidak boleh berhenti. Tidak cukup setakat melatih mereka di sekolah sahaja. Teknologi akan menjadikan kemahiran lama tidak lagi relevan dan ia juga akan mewujudkan permintaan untuk kemahiran baru," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.