Perusahaan bioteknologi S'pura dapat rangsangan baru
Perusahaan bioteknologi Singapura kini mendapat satu rangsangan besar. Menerusi pelancaran sebuah makmal bersama oleh pihak swasta, ini akan memberikan syarikat-syarikat pemula bioteknologi ruang inkubasi yang baru untuk meluaskan operasi.
SINGAPURA: Perusahaan bioteknologi Singapura kini mendapat satu rangsangan besar.
Menerusi pelancaran sebuah makmal bersama oleh pihak swasta, ini akan memberikan syarikat-syarikat pemula bioteknologi ruang inkubasi yang baru untuk meluaskan operasi.
Pemerintah pula akan terus mengukuhkan ekosistem bioteknologi dengan meluaskan kemudahan-kemudahan sedemikian di Biopolis.
Peralatan berteknologi tinggi yang digunakan para pengkaji itu bernilai jutaan dolar. Namun dengan memanfaatkan kemudahan bersama di NSG Biolabs, para saintis boleh menjimatkan kos tersebut.
Mereka juga boleh mendapatkan lebih banyak dana daripada para pelabur menerusi sekitaran tempat kerja secara bersama ini.
Sokongan sedemikian adalah penting kepada sektor bioperubatan yang merupakan bahagian penting ekonomi Singapura. Sektor tersebut menyumbang sekitar 4% kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.
Berucap di pelancaran makmal tersebut, Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Dr Koh Poh Koon berkata, empat daripada 10 ubat paling utama dunia, dihasilkan di Singapura.
Untuk syarikat-syarikat tempatan menyahut cabaran itu, ia perlukan lebih banyak ruang untuk berkembang. Maka itu, pemerintah menyokong syarikat-syarikat pemula bioteknologi dengan menambah ruang kajian seluas 35,000 meter persegi di Biopolis.
Kemudahan tersebut akan siap menjelang pertengahan 2022.
"Syarikat-syarikat pemula adalah satu laluan penting untuk kita membuka nilai komersil usaha-usaha kajian dan pemgembangan kita, dengan membawa huraian-huraian baru kepada pasaran," kata Dr Koh.
"Syarikat-syarikat pemula melengkapi usaha-usaha syarikat-syarikat besar seperti MNC (syarikat berbilang negara) dan menambah kerancakan dan persaingan ekosistem bioperubatan kita."
Selain prasarana, Dr Koh menambah syarikat-syarikat pemula perlu bimbingan mentor dan akses ke pelbagai rangkaian agar cepat berkembang.
Itulah sebabnya pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan hab-hab inovasi sejagat untuk menghubungkan syarikat-syarikat Singapura dengan institusi-institusi kajian, inkubator dan usahawan modal.
Menurut Enterprise Singapore, syarikat-syarikat pemula biofarmaseutikal dan teknologi perubatan menerima dana lebih S$21 juta dalam sembilan bulan pertama tahun ini.
Lebih 80 syarikat pemula biotech pula diperbadankan antara 2010 hingga 2018.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.