Peruntukan tambahan $40j untuk ganti perkakasan, selenggara sistem bagi lanjutkan sistem tiket lama: LTA
Belanjawan tambahan S$40 juta (AS$29.8 juta) yang diperuntukkan bagi menyokong penggunaan berterusan kad-kad EZ-Link dan NETS Flashpay akan digunakan untuk menggantikan perkakasan dan penyelenggaraan sistem, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (22 Jan).

(Gambar: CNA)
Menyusuli pengumuman bahawa para penumpang tidak lagi perlu menukar kepada wadah pembayaran SimplyGo untuk menaiki pengangkutan awam, Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat berkata pemerintah akan membelanjakan "jumlah tambahan sebanyak S$40 juta supaya para penumpang boleh terus menggunakan" sistem tiket yang lama jika mereka mahu berbuat demikian.
Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp pada Isnin (22 Jan), seorang jurucakap LTA berkata belanjawan itu akan digunakan untuk menggantikan perkakasan dan penyelenggaraan sistem yang diperlukan bagi melanjutkan Sistem Tiket Berlandaskan Kad (CBT).
"Tambang pengangkutan awam ditetapkan berdasarkan satu formula. Kos menyediakan sistem bayaran tambang secara khusus tidak disertakan dalam formula tersebut," kata jurucakap LTA berkenaan.
"Sungguhpun begitu, ia merupakan purata kecil daripada keseluruhan kos menyediakan pengangkutan awam."
LTA juga menyatakan ia telah menjalankan ujian pemasaran dan sesi kumpulan fokus bersama para penumpang dewasa dan pemegang kad konsesi sebelum pelan peralihan SimplyGo dimuktamadkan.
Ia menyatakan bahawa kad-kad sistem tiket berlandaskan akaun (ABT) diberikan kepada lebih daripada 1,000 pemegang kad konsesi pada 2021 untuk mereka menguji dan memberikan maklum balas berdasarkan pengalaman mereka.
"Lazimnya, golongan seperti individu berkeupayaan khas, pelajar politeknik dan universiti dan anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) menyokong sistem ABT dan tidak kisah jika jumlah tambang atau baki tambang tidak terpapar pada skrin," menurut LTA.
"Para ibu bapa pelajar juga mendapati sistem ABT berguna kerana ia membolehkan mereka untuk menokok kad anak-anak mereka menerusi telefon bimbit."
LTA juga menarik perhatian bahawa warga emas merupakan individu yang paling prihatin mengenai ketiadaan paparan tambang dan baki tambang di pintu masuk MRT dan skrin pembaca dalam bas disebabkan oleh cara urus niaga pengangkutan awam SimplyGo diproses.
"Ini membimbing keputusan LTA untuk melanjutkan sistem CBT bagi kad-kad konsensi dari awal supaya pemegang kad konsesi seperti warga emas tidak terjejas oleh pusingan perubahan kali ini," menurut LTA.
LTA sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa walaupun para penumpang "secara teknikal mungkin boleh" menggunakan kad EZ-Link SimplyGo untuk memeriksa maklumat tambang di pintu masuk stesen MRT dan skrin pembaca bas, ia akan "menjejas penumpang lain yang ingin keluar masuk bas atau stesen kereta api".
Penumpang yang menggunakan kad SimplyGo dan tidak dapat melihat maklumat tambang pada pintu masuk stesen MRT dan skrin pembaca dalam bas merupakan salah satu isu besar sejak LTA mengumumkan peralihan ke SimplyGo pada 9 Januari lalu. Ramai yang membantah keputusan itu dengan sesetengah penumpang juga menghadapi kesukaran menaik taraf kad masing-masing.
Semalam, LTA menyatakan keputusan untuk membuat peralihan itu "hanya ditentukan" selepas ia menilai bahawa dua daripada tiga urus niaga tambang dewasa dilakukan menerusi SimplyGo menggunakan kad-kad bank dan kad nilai tambang, dan ia juga menarik perhatian terhadap maklum balas yang diterima.
"Kami mendengar dan maklum mengenai keprihatinan para penumpang yang ingin terus melihat baki nilai dan jumlah tambang yang dipotong daripada kad masing-masing di pintu masuk stesen MRT dan skrin pembaca dalam bas," menurut LTA.
"Kami melanjutkan sistem CBT dewasa supaya mereka dapat terus menikmati ciri-ciri itu dan menggunakan kad EZ-Link dan NETS Flashpay mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.