Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peruntukan hampir S$500 juta bantu sokong pemulihan pelancongan S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Apr 2022 11:59AM Dikemas Kini : 06 Apr 2022 09:15PM

SINGAPURA: Sektor pelancongan akan menerima suntikan hampir setengah bilion dolar untuk menyokong pemulihannya daripada pandemik COVID-19 sedang Singapura berusaha untuk berhubung semula dengan seluruh dunia, umum Menteri Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan pada Rabu (6 Apr).

Pengumuman itu dibuat ketika Singapura membuka semula sempadannya kepada pelawat yang sudah lengkap divaksin dan memansuhkan keperluan untuk menjalani ujian COVID-19 serta perintah kuarantin.

Berucap di Persidangan Industri Pelancongan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Rabu (6 Apr), Encik Tan berkata dana itu akan digunakan untuk menyokong dan mengekalkan keupayaan tenaga kerja strategik dalam sektor pelancongan, mengimbangi kos perniagaan serta memperkukuhkan pelan pemulihan antarabangsa kami "untuk tahun-tahun akan datang".

Beliau menambah bahawa dana itu juga akan memacu pemulihan pelancongan antarabangsa dan membantu industri bangkit tampil lebih teguh dengan produk dan pengalaman baru melalui geran serta skim STB.

"Tahun ini, kami akan menggandakan usaha untuk SingapoReimagine, kempen pemulihan antarabangsa kami bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong untuk merealisasikan minat mereka terhadap pelancongan menerusi pengalaman baru lagi inovatif di Singapura," kata Encik Tan.

Sepanjang dua tahun lalu, pemerintah menyalurkan lebih S$1 bilion kepada sektor itu untuk membantu mengurangkan kos seperti pengecualian bayaran sewa dan lesen serta menyokong pembangunan pekerjaan dan keupayaan.

Pemerintah juga sudah memperuntukkan S$320 juta untuk memacu permintaan dalam negeri menerusi skim baucar SingapoRediscovers.

Meskipun prospek bagi perjalanan antarabangsa kelihatan cerah, Encik Tan menekankan sektor pelancongan mesti kekal tangkas dan bersedia untuk menghadapi cabaran dan halangan yang mungkin datang menerpa pada masa hadapan.

Beliau menyeru pihak berkepentingan dan rakan kongsi industri agar memanfaatkan sokongan pemerintah untuk mengubah perniagaan mereka dan membangunkan keupayaan baru.

KEMAMPANAN DAN KESEJAHTERAAN

Kemampanan dan kesejahteraan khususnya digariskan sebagai bidang tumpuan untuk sektor pelancongan Singapura disebabkan oleh permintaan antarabangsa yang semakin meningkat.

Dengan Singapura meyasarkan untuk menjadi destinasi pelancongan yang mampan, Encik Tan mengumumkan sebuah program baru akan dilancarkan untuk menyokong perniagaan pelancongan dalam usaha kemampanan masing-masing.

Program Kemapanan Pelancongan (TSP) akan memberi tumpuan kepada membangunkan keupayaan, memacu inovasi serta pendidikan dan kesedaran.

Untuk menggalakkan inovasi, Pemerintah akan menyokong pembangunan dan uji cuba huraian kemampanan yang inovatif melalui Pemacu Pelancongan Singapura.

Encik Tan menarik perhatian bahawa pasaran kesejahteraan pelancongan sejagat dianggarkan bernilai lebih AS$720 bilion (S$979 bilion) pada 2019.

Bagaimanapun, dengan pandemik COVID-19 meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan diri, jumlah itu diunjurkan meningkat dalam tempoh lima tahun seterusnya untuk mencapai AS$1.1 trilion (S$ 1.4 trilion) menjelang 2025, menurut pertubuhan tidak meraih untung, Global Wellness Institute.

Encik Tan menambah terdapat banyak peluang untuk Singapura mencipta pengalaman kesejahteraan yang akan membina identitinya sebagai sebuah Bandar dalam Alam Semula Jadi dan ruang-ruang hijaunya.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan