Peruntukan Fasa 2C bagi Pendaftaran Darjah 1 digandakan; keutamaan bagi anggota alumni disemak
Jumlah tempat yang diperuntukkan di bawah Fasa 2C bagi Pendaftaran Darjah 1 akan digandakan dari 20 kepada 40 mulai tahun depan.
SINGAPURA: Jumlah tempat yang diperuntukkan di bawah Fasa 2C bagi Pendaftaran Darjah 1 akan digandakan dari 20 kepada 40 mulai tahun depan.
Fasa 2B pula tetap akan menawarkan 20 tempat, manakala Fasa 2A1 dan 2A2 akan digabungkan menjadi satu fasa.
Semasa mengumumkannya pada Khamis (9 Sep), Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa ia komited untuk memastikan sekolah-sekolah arus utama tetap dapat diakses oleh kanak-kanak dari semua latar belakang sambil "memelihara hubungan yang erat dengan masyarakat dan budaya yang sudah dibina oleh sekolah-sekolah kita sejak sekian lama".
Pada awal tahun ini, MOE mengumumkan bahawa ia akan menyemak semula rangka kerja pendaftarannya untuk mungkin menambah jumlah tempat di bawah Fasa 2C.
Perubahan-perubahan itu akan dikuatkuasakan mulai pendaftaran pada 2022 bagi kanak-kanak yang akan memulakan Darjah 1 pada 2023.
LEBIH BANYAK TEMPAT BAGI FASA 2C
Fasa 2C iaitu bagi kanak-kanak tanpa ikatan dengan sesebuah sekolah, juga biasanya adalah fasa yang paling sengit. Keutamaan diberikan berdasarkan jarak antara rumah dengan sekolah, dengan keutamaan diberikan kepada rakyat Singapura yang tinggal dalam lingkungan 1 kilometer dari sekolah.
Bagi pendaftaran tahun ini, 64 sekolah atau satu daripada tiga sekolah disertakan dalam pengundian di bawah Fasa 2C bagi rakyat Singapura yang tinggal dalam lingkungan 1 kilometer dari sekolah, menurut MOE. Ini satu peningkatan berbanding satu daripada empat sekolah bagi pendaftaran pada 2014.
Fasa 2B iaitu bagi kanak-kanak dengan ibu bapa yang menjadi relawan atau ibu bapa yang mempunyai ikatan dengan gereja atau anggota sesebuah suku akan terus menyediakan 20 tempat.
Ini bermakna, di bawah rangka kerja baru itu, akan terdapat sebanyak 60 tempat yang diperuntukkan di setiap sekolah bagi Fasa 2B dan 2C pada permulaan Pendaftaran Darjah 1.
Sekiranya terdapat tempat kosong daripada fasa-fasa lebih awal, sepertiga tempat akan diperuntukkan untuk Fasa 2B dan dua pertiga bagi Fasa 2C.
FASA 2A
Bermula dengan pendaftaran pada 2022, Fasa 2A1 dan 2A2 akan digabungkan menjadi satu fasa, umum MOE.
Fasa 2A1 adalah bagi kanak-kanak dengan ibu bapa yang merupakan alumni sekolah yang menyertai persatuan alumni sebelum 30 Jun pada tahun sebelum pendaftaran Darjah 1. Kanak-kanak dengan ibu bapa yang merupakan anggota jawatankuasa penasihat atau pengurusan sekolah juga termasuk dalam fasa tersebut.
Fasa 2A2 pula adalah bagi kanak-kanak dengan ibu bapa atau adik-beradik yang sebelum ini menuntut di sekolah itu atau ibu bapanya adalah kakitangan sekolah tersebut. Kanak-kanak dari Tadika MOE yang ditempatkan di sekolah rendah berkenaan juga layak mendaftarkan diri di bawah fasa itu.
"Lama-kelamaan, lebih ramai pihak berkepentingan seperti bekas murid dan persatuan alumni giat menyumbang dengan cara mereka tersendiri kepada sekolah masing-masing. Sudah sampai masanya untuk mengkaji pembezaan keutamaan yang tidak begitu ketara semasa memberikan keutamaan kepada pihak-pihak berkepentingan dalam Fasa 2A1 dan 2A2 itu," menurut MOE.
JARAK ANTARA RUMAH DENGAN SEKOLAH
MOE juga akan memberi kemas kini tentang bagaimana ia mengira jarak antara rumah dan sekolah.
Mulai 2022, ia akan dikira berdasarkan sempadan tapak sekolah atau sebarang lokasi di sempadan sekolah ke alamat berdaftar kanak-kanak tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.